"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Radzhi patut letak jawatan Adun Lunas jika ada integriti

Jika beliau komited kepada nilai diri dan integriti yang tinggi, Ahli Dewan Undangan Neg eri (Adun) Lunas, Mohd Radzhi Salleh seharusnya meletak jawatan apabila Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memberi perkenan agar jawatan Exco yang disandangnya sebelum ini digugurkan.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar melihat perkenan Sultan Kedah kepada permintaan Menteri Besar, Dato' Seri Azizan Abdul Razak supaya Radzhi digugurkan boleh ditafsirkan bahawa baginda berkongsi rasa tidak senang majoriti rakyat negeri itu terhadap tindak tanduk Adun Lunas itu.


"Jika baginda mahu, baginda boleh menolak permohonan Ustaz Azizan dan boleh menegaskan bahawa baginda tetap mahukan Radzhi.

"Tetapi, apabila baginda mempersetujuinya, amat jelas baginda berkongsi perasaan majoriti rakyat dan mengutamakan nama baik dan integriti negeri yang baginda perintah," kata Mahfuz.

Ditanya mengenai pandangan umum di Kedah terhadap tindakan Sultan yang menerima permintaan supaya Radzhi digugurkan, beliau berkata: "Rata-rata, di sana-sini rakyat bercakap bahawa Sultan pun tak suka sebab tindak-tanduk Radzhi, yang pada mereka, menjatuhkan maruah baginda sendiri.

"Kepada mereka, kalau Tuanku kekalkan Radzhi, ia boleh menjatuhkan maruah baginda dan baginda juga boleh dituduh tidak mengutamakan prinsip.

"Sebab itulah, kepada mereka, Tuanku murka terhadap perangai Radzhi itu dan saya melihat pandangan mereka itu ada benarnya," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Sebab itulah, tambah Mahfuz, Radzhi perlu sedar bahawa perkenan Sultan supaya beliau digugurkan adalah tanda bahawa Sultan tidak suka kepadanya.

"Bila Sultan tidak suka, beliau sepatutnya tahu apa yang perlu dilakukan dan jangan memekakkan telinga terhadap desakan umum supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Adun Lunas," katanya.

Ketika mengumumkan keluar KeADILan dan menjadi wakil rakyat Bebas baru-baru ini, Mohd. Radzhi enggan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri.

Pada sidang akhbar itu juga, Adun Lunas itu memberitahu akan hanya meletakkan jawatan sebagai Exco kerajaan negeri atas arahan Sultan Kedah.

Akhirnya Selasa lalu, Ustaz Azizan berjaya mendapat perkenan Sultan kedah untuk menggugurkan Radzhi.

Ketua Penerangan PKR, Lateefa Koya menyifatkan tindakan Mohd Radzhi itu tidak menguntungkan Umno-BN.

Mohd Radzhi sering dihebohkan dengan dakwaan mempunyai beberapa rekod buruk sebelum menjadi Adun lagi termasuk semasa dia bertugas di Pejabat Pos Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ketika menjadi Exco pula, dalam keadaan disifatkan sebagai gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat dan juga Exco, beliau masih mengemukakan tuntutan perbelanjaan melampau kepada kerajaan negeri sehingga menyebabkan beliau disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM).
-utaraonline.net-

Tiada ulasan: