"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Renungan buat anak muda

Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

1. Negara kita telah Merdeka . Merdeka sejak lama dulu . Kita selaku anak - anak muda negara belum lagi dilahirkan detik laungan merdeka bergema . Bebas dari belenggu pemerintahan penjajah .

2. Kita hanya mampu membaca sejarah . Menelusuri kronologi berdarah para pejuang kemerdekaan yang mempertaruhkan jasad dan nyawa demi masa depan negara .

3. Ramai dikalangan kita mengetahui erti kemerdekaan melalui pembacaan namun tidak mungkin kita mampu mencapai tahap menghayati kemerdekaan melalui pengalaman juang yang direntas oleh para pejuang - pejuang negara . Oleh kerana kita ditakdir hidup di zaman selepas merdeka , maka saya melihat kita mesti mencipta sejarah kemerdekaan yang tersendiri .

4. Kemerdekaan negara dari belenggu pemerintahan dan penjarahan penjajah telah berjaya dicapai oleh orang terdahulu dan kita tiada pada waktu itu maka tiada apa yang boleh kita lakukan . Namun berjuang untuk kemerdekaan tidak terhad memerdekakan negara dari belenggu pemerintahan penjajah Inggeris semata - mata . Perlu diingat , hasrat pejuang - pejuang kemerdekaan yang sanggup mengorbankan darah dan nyawa mereka bukan terhenti setakat menghalau Inggeris pulang ke kampung mereka tetapi turut melihat bagaimana negara ini pula dibangunkan oleh generasi muda hari ini .

5. Apalah ertinya merdeka setelah Inggeris pulang bergaya , kini anak bangsa sendiri seperti masih terkial - kial mencari identiti diri . Tamaddun yang dibina hanya bersendikan material dengan asas pembangunan dan kemajuan , tetapi malangnya tamaddun ini kering gersang dari pertumbuhan spiritual dan moral berbanding kepesatan material .

6. Mudahnya saya sebut , apalah ertinya negara memiliki bangunan - bangunan mencakar langit tetapi di celah - celahnya penuh dengan penagih dadah , pelacuran , arak , casino , kelab malam , rasuah , penyalahgunaan kuasa , pengangguran , ah Long , peras ugut , penipuan , pecah amanah , pengkhianatan , dan 1001 mungkar yang boleh meruntuhkan tamaddun yang dibina .

7. Membina tamaddun berasaskan material [ atau tamaddun batu ] adalah mudah , tetapi membina tamaddun manusia [ tamaddun jiwa ] sekaligus bebas dari minda penjajah adalah tamaddun sebenar ummat yang merdeka .

8. Merdeka kepada anak muda hari ini bukan lagi merdeka dari pemerintahan penjajah tetapi merdeka dari minda yang mundur dan sempit kepada sebuah keyakinan terhadap kehidupan yang maha luas di dunia dan sampai ke akhirat . Merdeka dari perhambaan sesama hamba kepada perhambaan kepada Tuhan yang mencipta hamba dan seluruh alam cakrawala ini . Merdeka dari kezaliman dan kesongsangan ideologi ciptaan manusia kepada keadilan Islam dan wahyu yang diturunkan oleh Allah swt .

9. Anak muda yang merdeka ialah mereka yang tidak mengizinkan dirinya hanyut tidak menentu arah dengan pelbagai kelalaian dan keasyikan semata - mata memuaskan keinginan duniawi [ dunia ] tanpa melaksanakan tanggungjawab membangunkan jiwa , minda , masyarakat dan negara selari pula dengan tuntutan ukhrawi [ akhirat ] .

10. Anak muda yang masih tersepit dalam arus budaya asing dan hidup bersiangan tanpa arah tuju hidup yang jelas didorong dan digesa agar segera keluar dari arus yang membinasakan masa depan diri sendiri dan jua masa depan negara . Marilah kita merdekakan diri kita bukan sekadar berbangga dengan kemerdekaan yang dicapai oleh generasi terdahulu .

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Tiada ulasan: