"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perhimpunan Halal

Puspawati Rosman

Pada 31 Mac 2010 yang lalu, hampir 200 orang peguam telah berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Perhimpunan itu bertujuan untuk membantah salahlaku beberapa orang polis terhadap seorang peguam, saudara Amer Hamzah bin Arshad . Pada hari kejadian, polis-polis tersebut, yang berpakaian biasa telah menggunakan kekerasan menghalang saudara Amer daripada menjalankan tugasnya untuk bertindak bagi pihak anak guamnya ketika saudara Amer dan anak guamnya hendak membayar wang ikat jamin di kaunter bayaran di Mahkamah.

Saudara Amer menuntut polis-polis tersebut mengeluarkan kad kuasa mereka sebagai bukti bahawa mereka ialah anggota polis. Malangnya beliau tidak diendahkan dan telah ditarik dan ditolak oleh polis, dikawal dan dihalang daripada keluar daripada Mahkamah sehingga anak guamnya dibawa entah ke mana oleh polis. Kemudian, barulah beliau diberitahu oleh polis bahawa anak guamnya akan ditahan untuk siasatan. Di dalam kes ini, anak guamnya ditahan tanpa bicara kerana polis belum atau tidak mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwanya di Mahkamah.

Para peguam yang mendapat tahu tentang kejadian tersebut berasa sungguh marah kerana ternyata pihak polis telah menyalahlaku terhadap saudara Amer yang sedang menjalankan tugas. Selain daripada itu, isu tahan tanpa bicara juga membangkitkan kemarahan kerana Majlis Peguam telahpun mengeluarkan resolusi membantah mana-mana tindakan menahan tanpa bicara di Mahkamah, kerana ia adalah bercanggah dengan hak asasi manusia. Maka sekumpulan peguam telah mengambil inisiatif mendraf dan menyerahkan memorandum dan berhimpun di Bukit Aman sebagai tanda protes.

"Peguam tak patut turun ke jalan raya"

Beberapa hari selepas perhimpunan tersebut, telah keluar beberapa suara yang kurang senang daripada segelintir orang tentang peranan yang sepatutnya dan tidak sepatutnya dimainkan oleh peguam di dalam isu-isu sebegini.

Kata mereka, peguam tidak patut turun ke jalan raya dan memegang kain rentang. Peguam hanya perlu menegakkan undang-undang di dalam Mahkamah sahaja. Kami hanya perlu bantu orang ramai dengan mendapatkan keadilan untuk mereka melalui saluran undang-undang yang sedia ada. Ini adalah kerana, menurut mereka, aksi berhimpun itu sendiri adalah salah di sisi undang-undang.

Persoalannya, bagaimana pula jika undang-undang itu sendiri adalah menindas dan melanggar hak asasi manusia?

Sepanjang saya beramal sebagai peguam, seingat saya kejadian pada 31 Mac itu bukanlah pertama kali para peguam turun ke jalan untuk memprotes ketidakadilan, di dalam kapasiti mereka sebagai peguam. Pada tahun 2006, kira-kira 50 orang peguam telah berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman membantah salah laku polis terhadap seorang peguam iaitu saudara Charles Hector. Pada ketika itu saya masih lagi seorang pelatih dalam kamar.

Kemudian, pada 26 September 2007, kira-kira 2000 peguam telah berarak dari Mahkamah Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum membantah penyelewengan di dalam sistem kehakiman.

Pada 9 Disember 2007, empat orang peguam telah ditangkap, dimasukkan ke dalam lokap dan didakwa di Mahkamah Jenayah apabila mereka menyertai perarakan Hak Asasi Manusia dengan memegang kain rentang "Lawyers for Freedom of Assembly" sebagai tanda menyokong hak untuk berhimpun secara aman.

Pada 8 Mei 2009, kira-kira 200 peguam berhimpun di dalam Mahkamah Jalan Duta dan Balai Polis Brickfields untuk membantah penangkapan lima orang peguam daripada Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur yang sedang menjalankan tugas.

Salut saya kepada peguam-peguam yang menyertai perhimpunan-perhimpunan di atas, kerana mereka benar-benar faham tentang apa itu hak berhimpun.

Di negara ini, kebanyakan tangkapan yang dibuat oleh pihak polis ketika perhimpunan atas alasan perhimpunan tersebut adalah perhimpunan haram dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis.

Perhimpunan yang halal?

Persoalan seterusnya- wujudkah perhimpunan yang halal di negara ini?

Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sesuatu perhimpunan adalah dibenarkan, selagi ianya adalah aman dan tidak bersenjata. Walau bagaimanapun, hak untuk berhimpun ini telah dikekang oleh Akta Polis 1967 dan Kanun Keseksaan. Di bawah Akta Polis, sekumpulan individu yang lebih daripada tiga orang harus meminta kebenaran atau permit daripada polis di daerah mana perhimpunan hendak diadakan. Akan tetapi, kebenaran itu tidak menjamin perhimpunan itu boleh dijalankan, kerana polis boleh membatalkan permit pada bila-bila masa sahaja walaupun kebenaran telah diberikan pada awalnya.

Secara peribadi, saya tidak menyokong dan membantah kaedah meminta kebenaran atau permit daripada polis ini. Kenapa?

Kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama negara ini. Sepatutnya, sekiranya terdapat mana-mana undang-undang lain yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang itu adalah tidak sah atau terbatal. Akan tetapi nampaknya, di dalam banyak perkara, akta-akta seperti Akta Polis ini mengatasi segalanya. Padahal, Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kebebasan asasi seperti hak berhimpun secara aman.

Artikel 20 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (yang telah dibentangkan buat pertama kali di Palais de Chaillot di Paris pada tahun 1948) adalah antara peruntukan terawal yang memberikan semua orang kebebasan untuk berhimpun dan berpersatuan secara aman. Artikel ini telah diadaptasi oleh banyak negara di dunia, termasuklah negara kita yang mengaplikasikannya di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kebanyakan negara-negara tersebut benar-benar menjamin hak tersebut dan membenarkan perhimpunan secara aman, walaupun tanpa permit.

Maka persoalan saya yang seterusnya- perlukah kita meminta kebenaran untuk mengamalkan hak asasi kita sendiri?

Saya tidak menafikan bahawa memang wujud undang-undang yang menghalang perhimpunan tanpa permit. Saya juga tidak menafikan bahawa di dalam negara ini, perhimpunan lebih daripada tiga orang tanpa permit boleh dianggap sebagai satu perhimpunan haram mengikut undang-undang. Saya juga tidak menafikan bahawa sekiranya anda dan 38 orang kawan-kawan lain berada di dalam sebuah bilik hotel, anda adalah berkhalwat (maaf, saya sedang cuba menjadi kelakar).

Tetapi, hanya kerana saya seorang peguam atau pengamal undang-undang, patutkah saya berpaling kepada anda semua sambil berkata "perhimpunan yang lebih daripada tiga orang tanpa permit adalah salah di sisi undang-undang. Anda boleh didakwa di Mahkamah. Sila jangan lakukan." ?

Jawapannya, sudah tentu tidak. Saya juga percaya bahawa ramai rakan-rakan peguam saya yang lain yang juga percaya kepada hak asasi manusia, akan memberikan jawapan yang sama. Oleh yang demikian, kami akan berterusan memberikan pendidikan dan kesedaran undang-undang dan hak asasi kepada seberapa ramai orang yang boleh. Kami percaya kepada kebebasan dan hak asasi, dan kami juga percaya bahawa undang-undang yang menindas dan melanggar hak asasi manusia patut dimansuhkan.

Disebabkan itu, saya percaya bahawa adakalanya para peguam perlu mendekatkan diri dengan orang ramai, bukan sahaja dengan mewakili mereka di dalam Mahkamah, tetapi juga dengan berjuang bersama-sama mereka, berdiri sebelah-menyebelah atas nama perjuangan hak asasi manusia.

Maka saya juga percaya bahawa adakalanya, peguam juga perlu turun ke jalan raya.

*Puspawati Rosman ialah seorang peguam, ahli jawatankuasa Pusat Bantuan Guaman Selangor dan ahli Lawyers for Liberty (Peguam untuk Kebebasan).

Tiada ulasan: