"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakatan guna isu KL henti bekal Iran minyak, tunduk tekanan Obama

Syed Jaymal Zahiid

HULU SELANGOR, 17 April: Pakatan Rakyat menambah senarai modal kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor dengan kini mengeskploitasi isu kerajaan menghentikan bekalan minyak kepada Iran, langkah untuk menarik sokongan pengundi Melayu.

Bercakap kepada kira-kira 200 peneroka Felda di sini malam tadi Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas keputusan itu sebagai satu tindakan tunduk kepada Amerika Syarikat (AS) yang masih berdegil mahu mengenakan sekatan ke atas Iran.

Majoriti umat Islam negara sini secara umum menentang tekanan AS terhadap Iran, yang melihat tindakan mengenakan sekatan sebagai lobi Israel.

Anwar membangkitkan isu tersebut pada pertemuan parti itu menjelang hari penamaan calon kerusi Parlimen Hulu Selangor pagi ini.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin hipokrit yang tidak berprinsip.

Laporan agensi asing yang memetik Najib kelmarin mengesahkan Malaysia telah menghentikan bekalan minyak kepada Iran dengan memberi amaran Teheran semakin dekat dalam menghadapi sekatan baru masyarakat antarabangsa berhubung program nuklearnya.

Pengumuman Najib keluar tiga hari selepas mengadakan perbincangan dengan Obama.

Najib tidak berkata bila Petronas menghentikan bekalan minyak kepada Iran tetapi dipercayai dibuat pertengahan bulan lepas.

Pada satu pihak kata Anwar, Putrajaya mengkritik AS dalam soal konflik Palestin-Israeli tetapi pada masa yang sama tunduk kepada tekanan Washington atas nama “hubungan dua hala yang bertambah baik.”

Anwar berkata perkara itu dilakukan hanya untuk memperbaiki imej Najib.

“Apabila usaha Presiden AS Barrack Obama gagal dalam menyelesaikan konflik Israel-Palestin, saya mengkritik beliau. Tetapi apabila Obama menggesa sekatan ke atas Iran, saya kata okey tetapi bagaimana dengan Israel.

“Apa yang Najib lakukan? Beliau menyokong AS mengenakan sekatan ke atas Iran,” kata Anwar dengan disusuli tepukan daripada hadirin.

Anwar dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat kini menggunakan sentimen anti-Israel untuk menarik sokongan pengundi tempatan kaum Melayu yang dianggarkan lebih 50 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar.

Sejak dua minggu lalu Pakatan Rakyat sudah mula menggunakan isu khidmat perhubungan awam APCO Worldwide, yang didakwa digunakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang mengamalkan konsep 1 Malaysia.

Firma itu juga didakwa pernah membangunkan gagasan One Israel.

Turut hadir malam tadi ialah penasihat DAP Lim Kit Siang dan bekas menteri besar Perak yang dijatuhkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

“Kini sudah terdedah BN bayar APCO RM78 juta hanya bagi Najib mengambil gambar bersama Obama,” kata Lim.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: