FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang warga emas cedera pada bahagian muka dan badan selepas diserang sekumpulan individu bersenjata di sebuah kedai makan di sekitar kawasan Kapar, Klang, awal pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Klang Utara S Vijaya Rao, dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, lelaki berusia 69 tahun tersebut sedang makan bersama rakannya sebelum didatangi sekumpulan lelaki.
Beliau berkata, perselisihan faham bermula apabila rakan mangsa tidak menghiraukan kata-kata kumpulan lelaki itu, mengakibatkan salah seorang suspek mengeluarkan pisau dan menghayunkannya ke arah mangsa.
“Sebelum beredar, kumpulan suspek itu turut mengeluarkan ugutan jenayah untuk menembak rakan mangsa dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Vijaya berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menahan seorang daripada suspek semalam. Semakan terhadap individu berkenaan mendapati dia mempunyai lapan rekod jenayah lampau serta tiga rekod berkaitan dadah.
Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan, manakala polis kini sedang giat mengesan baki dua lagi suspek yang masih bebas.
Orang ramai yang mempunyai maklumat dimohon untuk tampil ke balai berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Dayang Siti Aishah Awang Ramli di talian 010-582 5382.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan