"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lebih 70% pengundi Cina sokong Pakatan - Hassan Ali

Harakahdaily
HULU SELANGOR, 16 April:
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali yakin 70 - 75 peratus pengundi Cina di Hulu Selangor akan memberikan sokongan kepada calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim dalam pilihan raya kecil 25 April ini.

Beliau juga yakin, lebih 60 peratus pengundi India juga akan memberikan sokongan kepada calon Pakatan walaupun calon BN adalah P Kalamathan dari MIC.

Di Hulu Selangor, pengundi Melayu adalah seramai 32,020 atau 52.7%, Cina seramai 16,964 atau 26.3%, India 12453 (19.3%) dan lain-lain 3,063 (1.7%).

"Apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah mendapatkan sebanyak mungkin sokongan pengundi Melayu di kawasan ini," kata beliau ketika meraikan petugas PAS (gambar) dari Kelantan di Kampung Kelapa, Kuala Kubu Baru pagi tadi.

18 petugas PAS dari tiga kawasan iaitu Jeli, Gua Musang dan Tanah Merah sudah tiba di kampung berkenaan yang menjadi kawasan penempatan mereka.

Mereka adalah kumpulan pertama petugas PAS dari Kelantan yang datang ke Hulu Selangor untuk membantu jentera Pakatan Rakyat.

Malam ini dan esok, dua lagi kumpulan dari Kelantan akan sampai bagi membantu jentera PAS di Hulu Selangor ini.

Hassan Ali menemui para petugas ini bagi menyatakan ucapan terima kasih PAS Selangor di atas kedatangan mereka.

Sebelum itu, Hassan bersama dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyampaikan zakat kepada para asnaf yang layak di Masjid Kuala Kubu Baru.

Sementara itu, PAS Cawangan Kampung Kelapa yang terletak di pekan Kuala Kubu Baru yakin masyarakat India disitu akan menyokong calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini. Alasan yang diberikan adalah pergolakan yang berlaku dalam BN sekarang akan membawa sokongan itu kepada Pakatan.

Penolong Setiausahanya, Mohamad Zin Mahat, 69, (gambar) berkata, janji ini dinyatakan mereka kepada beliau sendiri.

"Salah seorang dari mereka yang memanjat kelapa dekat rumah saya untuk memasang bendera PAS dan Keadilan atas pokok itu," kata beliau ketika ditemui Harakahdaily.

Melihat kepada kedatangan yang begitu ramai orang Melayu dalam majlis bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di Masjid Kuala Kubu Baru pagi tadi, beliau juga yakin kebanyakan orang Melayu juga akan bersama Pakatan Rakyat.

Beliau yang sudah uzur dan terpaksa bertongkat datang bertemu Hassan Ali yang menziarahi petugas dari Kelantan yang ditempatkan di kampung itu.

Tiada ulasan: