"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Samy Vellu lepas jawatan Presiden dalam 14 bulan

KUALA LUMPUR, 16 April: Datuk Seri S. Samy Vellu, presiden MIC paling lama memberikan tarikh baru untuk berundur dari jawatan itu iaitu dalam tempoh 14 bulan lagi.

Justeru, Samy Vellu (gambar)mengesahkan bahawa timbalannya Datuk G. Palanivel akan menggantikan beliau untuk mengepalai MIC.

“Beliau akan jadi Presiden dalam tempoh 13 atau 14 bulan lagi.

“Apabila beliau jadi Presiden, beliau boleh pilih siapa calon disukainya untuk bertanding dan berpeluang memilih kawasan yang baik untuk dirinya sendiri,” kata beliau dipetik akhbar-akhbar tempatan hari ini.

The Malaysian Insider difahamkan Palanivel akan diberikan jawatan senator dan timbalan menteri selepas tidak dipilih semula sebagai calon Hulu Selangor.

Samy Vellu berkongsi pendiriannya ini pada hari Palanivel sah digugurkan dari tiket bertanding kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil ini.

Samy Vellu dan Palanivel merupakan antara enam calon MIC kalah dalam pilihan raya umum 2008.

Palanivel, wakil rakyat Hulu Selangor sejak 1990 tetapi tewas dua tahun lalu digantikan oleh Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan untuk membawa cabaran BN.

Palanivel menang kerusi timbalan presiden MIC pada tahun 2007 dengan restu Samy Vellu dan sekali lagi September lalu.

Samy Vellu disebut-sebut akan meninggalkan parti dalam tempoh setahun sejak pemilihan tahun lalu. Malah laporan awal tahun lalu menyebut beliau akan melepaskan jawatan itu sebaik selepas pemilihan September lalu.

Beliau juga dikatakan akan pergi bercuti awal tahun ini untuk memberi peluang kepada Palanivel tetapi menangguhkannya atas alasan masih ada banyak perkara yang perlu dilakukan.

Palanivel juga merupakan Pengerusi MIC Selangor, Ketua MIC Bahagian Hulu Selangor dan Penyelaras Parlimen Hulu Selangor.

Dalam pada itu, Samy Vellu berkata, beliau menerima dengan hati terbuka pemilihan Kamalanathan sebagai calon Barisan Nasional dan yakin Ketua Penerangan MIC itu akan mampu meraih sokongan pengundi.

Presiden MIC itu berkata, keputusan menamakan Kamalanathan diperakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan parti itu menghormatinya.

“Kamalanathan calon yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu memandangkan beliau berpendidikan tinggi dan juga fasih dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Tamil.

“Beliau turut terbabit dalam banyak aktiviti sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan selama bertahun-tahun dan ini akan memberi beliau peluang mendapatkan pendekatan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik,” katanya.

“Saya hanya boleh mencadangkan seorang calon namun keputusan muktamad terletak dalam tangan Perdana Menteri,” katanya.

Mengenai keputusannya sebelum ini untuk meletakkan Palanivel sebagai calon sebelum ini, Samy Vellu memberitahu beliau sebenarnya telah menghantar dua nama kepada Perdana Menteri.

“Antara dua nama itu, Perdana Menteri memilih Kamalanathan. Kita sentiasa berhubung dengan Perdana Menteri ketika perbincangan semalam dan hari ini.

“Palanivel juga ada beberapa tugas lain untuk dilaksanakan dan beliau boleh jadi calon untuk pilihan raya lain. Sebaik sahaja Perdana Menteri pulang, akan ada perbincangan terus MIC dengannya. Saya yakin, semua hal berbangkit akan selesai,” kata bekas Menteri Kerja Raya ini.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: