"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khalid Samad bangkit isu pemimpin PAS jumpa mufti Perak Ahad ini

SHAH ALAM, 23 Julai: Isu pertemuan pemimpin PAS dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, dipercayai Mei lalu berhubung soal kerjasama dan perpaduan dengan Umno akan dibangkitkan pada sesi munaqasah PAS Selangor Ahad ini, kata Yang Dipertua PAS Shah Alam Khalid Samad.
Khalid yang juga Ahli Parlimen kawasan itu menambah, jika tiada pihak yang membangkitkan isu berkenaan beliau sendiri akan membawa perkara itu untuk mendapatkan penjelasan.

“Kalau tak ada orang bangkit, saya akan bangkitkan,” kata beliau pada sidang media di pejabatnya di sini pagi ini.

Sesi munaqasah atau perbincangan itu diadakan oleh PAS negeri untuk menghalusi ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar tahunan yang berlangsung bulan lalu.

Sebelum ini, Harussani mendedahkan terdapat pemimpin Umno dan PAS yang menemuinya berhubung usaha mewujudkan kerjasama antara kedua-dua parti Melayu itu.

Dalam blognya semalam, Khalid menggesa PAS bertindak tegas terhadap pemimpinnya yang mengadakan pertemuan dengan Mufti Perak itu.

“Berhubung isu perjumpaan pemimpin PAS dengan Mufti Perak k pula, ianya amat mudah untuk dirumuskan. Sekirangnya ada mana-mana pemimpin PAS, walaupun atas kapasiti peribadinya, bertemu dengan Mufti Perak untuk meminta beliau mengusahakan kesatuan Umno dengan PAS, maka pemimpin tersebut tidak wala kepada parti.

“Ini adalah kerana dasar parti jelas dan ditegaskan dalam tiga muktamar berturut-turut. Kukuhkan PR dan tolak perpaduan dengan Umno.

“Pemimpin tersebut patut diberi surat tunjuk sebab dan sekiranya didapati benar beliau bertemu dengan tujuan tersebut, maka beliau patut diminta tinggalkan parti dan sekiranya enggan, dipecat dari parti,” katanya.

Khalid berkata tindakan pemimpin terbabit telah menyulitkan PAS, mengelirukan ahli-ahlinya dan menimbulkan fitnah di kalangan parti rakan dalam Pakatan Rakyat.

“Ia tindakan yang disambut dan disahut oleh Umno serta rakan-rakan mereka dalam BN kerana berpotensi untuk melemahkan Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Bagaimanapun ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam Harussani enggan mendedahkan nama pemimpin Umno dan PAS yang menemuinya.

Khalid berkata berdasarkan pada laporan media sejak beberapa hari lalu beliau akan bertanya apakah benar ada pertemuan sedemikian dengan Harussani.

“Saya akan taapada orang yang dimaksudkan. Jika tidak betul bermakna Mufti Perak berbohong,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata Khalid, jika benar beliau akan membuat aduan kepada jawatankuasa kerja pusat PAS kerana ia dikira melanggar keputusan muktamar parti.

“Bagi saya lebih baik orang seperti ini bersatu dengan Umno sekarang daripada bersatu tiga hari sebelum hari mengundi,” kata beliau yang penggantungannya daripada memegang jawatan dalam parti selama enam bulan berakhir bulan ini.

Beliau digantung selama enam bulan oleh jawatankuasa tatatertib kerana melanggar peraturan parti.

Jawatankuasa tatatertib menyiasat kedua-dua Hasan dan Khalid pada masa yang sama.

Tiada ulasan: