"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelajar darjah satu dakwa dicabul guru

KANGAR, 21 Julai: Seorang pelajar perempuan mendakwa dicabul gurunya dalam sebuah bilik di sebuah sekolah rendah di Guar Sanji semalam menyebabkan beliau kini trauma untuk ke sekolah.

Pelajar darjah satu itu berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 10.15 pagi semalam apabila guru lelaki berusia kira-kira 50 tahun itu memanggilnya memasuki bengkel kemahiran hidup sekolah itu dan mencium pipi kirinya.

Pelajar berusia tujuh tahun itu yang ditemui di rumahnya berkata, guru itu melakukan perbuatan itu di sebalik pintu bengkel berkenaan dan mengarahkannya supaya tidak memberitahu perkara itu kepada orang lain.

Bagaimanapun pelajar itu yang takut dengan kejadian itu memaklumkan kepada bapanya yang kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Arau malam tadi sebelum pelajar itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk pemeriksaan.

Katanya sebelum kejadian itu, guru berkenaan telah mengarahkan seorang pelajar lelaki memanggilnya untuk bertemu guru itu dan semasa di bilik berkenaan, hanya guru itu berada di dalamnya.

Pelajar itu kini trauma untuk ke sekolah dan mahu bapanya menukarkannya ke sekolah yang lain.

Bapa pelajar itu berkata, beliau terpaksa berfikir panjang sebelum membuat laporan polis.

Ini kerana guru itu amat dikenalinya malah pernah menjadi gurunya semasa menuntut di Sekolah Menengah Syed Ahmad, Tambun Tulang kira-kira 25 tahun lalu, katanya.

Bapa pelajar itu yang berusia 41 tahun, berkata laporan itu dibuat kerana bimbang kejadian lebih buruk menimpa anaknya.

Ketua Polis Daerah Kangar Supritendan Abdul Rahman Mohd Noordin mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
-Bernama-

Tiada ulasan: