"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Perang’ PAS, Umno: Antara parti Islam atau Melayu terbesar

KUALA LUMPUR, 22 Julai: Sehari selepas Datuk Seri Najib Razak mempertahankan Umno sebagai parti Melayu terbesar dengan lebih tiga juta ahli, hari ini PAS menyeru rakyat agar menyertai mereka sebagai parti Islam terbesar yang memperjuangkan Islam sejak enam dekad lalu.

Di samping tidak menafikan sumbangan NGO lain yang turut sama memperjuangkan dakwah Islamiah di negara ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata pihaknya turut menjalin hubungan akrab serta saling bekerjasama dengan mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, Idris berkata PAS adalah parti yang mengutamakan keamanan, perpaduan serta berpegang teguh kepada prinsip bahawa akidah Islam dan dasar-dasar Islam mampu memberikan kesejahteraan kepada semua kaum dan agama lain di dunia ini.

“PAS bukanlah parti perkauman yang khusus buat kaum-kaum tertentu, tetapi kita tidak nafikan bahawa majoriti ahli PAS adalah dari kalangan umat Melayu.

“Namun mereka bersama dengan parti ini atas semangat Islam dan bukannya kerana semangat Melayu,” kata Idris lagi.

Jelas Idris, PAS juga jelas berdiri teguh menghormati dan mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu khususnya dalam aspek agama, budaya, tanah dan juga aspek sosial yang lain.

Malah PAS juga perihatin dengan nasib umat Melayu akhir-akhir ini yang sering dijadikan mangsa dasar liberalisasi dan model baru ekonomi kerajaan BN yang akhirnya mengecilkan kuota ekuiti Melayu daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus sahaja.

“Banyak lagi hak istimewa orang Melayu yang gagal diangkat oleh Umno walaupun mereka bangga mengatakan bahawa merekalah parti Melayu terbesar,” katanya lagi.

PAS ujarnya lagi, sedar akan kepentingan orang Melayu dan mengajak seluruh umat Melayu untuk bangkit berjuang atas nama Islam kerana hanya dengan Islam mereka akan lebih dihormati.

Idris menambah, perpaduan umat Melayu atas nama Islam adalah pilihan terbaik berbanding apa yang ditawarkan oleh Umno kerana Islam secara tegas mengharamkan apa yang haram dan menghalalkan apa yang halal.

Rakyat boleh menilai keterbukaan dan wibawa kepimpinan PAS dengan melihat beberapa contoh paling dekat pada hari ini.

“Keterbukaan PAS ini jelas dengan kelahiran Dewan Himpunan Penyokong PAS, di mana sebagai parti Islam kita juga mempunyai sokongan yang kuat kalangan bukan Islam untuk memimpin negara ini,” kata beliau.

Semalam, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Najib yang juga Presiden Umno berkata parti itu masih merupakan parti Melayu yang terbesar dengan jumlah keanggotaan terus meningkat.

Najib yang juga Presiden Umno berkata keanggotaan Umno kini mencecah 3,186,850 orang dan pelbagai usaha berterusan dijalankan untuk menambah bilangan keanggotaan.

“(Jumlah) ini selepas ditolak anggota yang sudah meninggal dan tak dapat dikesan. Ini jumlah yang sahih. Dan kita dapati jumlah ini terus meningkat,” katanya, Najib turut menyangkal dakwaan bahawa ada orang Melayu yang “meluat” dengan Umno.

“Siapa kata? Itu tak betul. Saya tak dapat terima ada yang kata meluat pada Umno. Kita parti yang terbesar mewakili orang Melayu,” tegasnya.

Tiada ulasan: