"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sekolah agama, Tamil, Cina dan masjid dapat tanah

Kerajaan negeri Perak telah meluluskan tanah yang keseluruhannya seluas 3,140 hektar kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan masjid, sekolah Cina bebas dan sekolah Tamil, kata Ketua Penerangan Kerajaan Negeri, Datuk Hamdi Abu Bakar hari ini.

Beliau berkata tanah bagi tujuan peladangan itu diluluskan di kawasan Hutan Simpang Gunung Besout dekat Tanjung Malim.

Katanya, dakwaan kononnya kerajaan negeri lebih mengutamakan sekolah Cina bebas dalam pemberian tanah berkenaan adalah tidak berasas dan mungkin timbul akibat kekeliruan laporan media.

"Apa yang diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 14 April tahun ini adalah pemberian sebidang tanah seluas 1,000 hektar kepada sekolah Cina bebas, 800 hektar kepada SAR dan masjid, 600 hektar kepada sekolah Tamil dan 740 hektar kepada Yayasan Perak," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ipoh.

Hamdi berkata tanah yang diberikan kepada SAR dan masjid akan ditadbir oleh Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAINPk) dan projeknya diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak manakala tanah yang diberikan kepada sekolah Tamil akan ditadbir Yayasan Perak.

Akhbar sebelum ini melaporkan majlis sekolah-sekolah Cina telah menubuhkan sebuah syarikat bagi menguruskan tanah seluas 1,000 hektar yang diberikan oleh kerajaan negeri.

Menurut Hamdi, semua kawasan berkenaan akan dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit bertujuan untuk menampung perbelanjaan sekolah-sekolah terbabit.

"Saya minta isu ini tidak dipolitikkan mana-mana pihak. Pendidikan adalah satu bidang yang harus diberi tumpuan dan kerajaan negeri bertanggungjawab untuk menyokong pembangunan institusi pendidikan di Perak.

"Kita tidak mempolitikkan pemberian tanah, seperti apa yang dibuat kerajaan sebelum ini yang sanggup memberikan pemilikan 999 tahun dan mengumumkan pemberian tanah seluas 1,000 ekar kepada sekolah Cina bebas sahaja dan melupakan sekolah-sekolah aliran lain," katanya.
-Bernama-

Tiada ulasan: