"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Shafie halang Umno Sg Petani 'meletup' 2009

Desakan supaya ketua bahagian Umno Sungai Petani, Ali Yahaya meletak jawatan bukanlah perkara baru kerana ianya hampir "meletup" sewaktu mesyuarat perwakilan bahagian itu pada 2009.

shafie apdal and mps no defection pc 280808 04"Dan perkara itu memang diketahui oleh pengerusi badan perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Shafie Apdal," kata seorang pemimpin bahagian tersebut.

Malah, katanya, Shafie yang menasihatkan pihak berkenaan supaya jangan menimbul sebarang kekecohan di mesyuarat perwakilan pada 2009.

Shafie dilantik menerajui Umno Kedah selepas Kedah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008.

Pemimpin tersebut berkata, ketegangan tersebut berlaku kerana Ali dikatakan tidak berusaha untuk memujuk dan menyatupadukan semula antara kumpulan yang menang dan kalah dalam pemilihan parti yang lalu.

Dalam pemilihan tersebut, Ali yang tidak memegang sebarang jawatan di peringkat bahagian itu, berjaya merebut jawatan ketua bahagian daripada penyandangnya, Abu Bakar Ahmad.

Keputusan tersebut dikatakan tidak disenangi oleh beberapa pihak di peringkat akar umbi di bahagian itu.

Persidangan perwakilan bahagian itu pada 11 Julai lalu, kecoh apabila sebahagian besar perwakilan tidak membenarkan Ali berucap di majlis perasmian.

Kekecohan hampir 45 minit itu bermula kira-kira pukul 9.30 pagi selepas bacaan doa dan nyanyian Negaraku, apabila seorang anggota jawatankuasa bahagian, Mohd Yusuf Lazim bangun menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap Ali dan mahu beliau melepaskan jawatan.

Keadaan bertambah kecoh apabila lebih ramai perwakilan bangun termasuk anggota Wanita meminta Ali berundur sehingga menyebabkan pertikaman lidah antara perwakilan dengan penyokong Ali.

Menurut Mohd Yusof, Ali tidak layak menjadi ketua bahagian kerana menimbulkan pelbagai kesulitan kepada kepimpinan parti termasuk tindakannya tidak disenangi banyak pihak dan agensi kerajaan.

Malah naib ketua bahagian, Datuk Firdaus Zakaria dan ketua Puteri Sungai Petani, Shahanim Mohd Yusof yang berada di atas pentas turut turun menyertai perwakilan meminta Ali berundur.

Bekas setiausaha Umno bahagian Sungai Petani, Mohd Akhir Shafie mendakwa lebih 60 peratus daripada perwakilan yang hadir mahu Ali melepaskan jawatan.

Tiada ulasan: