"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMCP: Najib perlu berani mansuh legasi Mahathir

Ahmad Lutfi Othman

Keputusan pilihan raya umum, November 1999 memang bersejarah, terutama buat Umno dan Barisan Alternatif. Dan ia didahului oleh satu peristiwa tragis; pemecatan Anwar Ibrahim secara mengaibkan dari jawatan kerajaan dan parti. Teriakan reformasi menjadi fenomena dan siulan popular. Ramai menteri Umno tumbang dalam pilihan raya ke-10 itu.

Jumlah kerusi Parlimen PAS meningkat berlipat kali ganda meskipun majoriti dua pertiga BN belum dapat dinafikan. Selain mengekalkan penguasaannya di Kelantan, PAS berjaya memerintah Terengganu. Presidennya, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dilantik Ketua Pembangkang di Parlimen.

Buat pertama kali propaganda Umno melalui media di bawah kawalan mutlaknya ditolak pengundi, terutama orang Melayu. Perkiraan politik Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad tersasar. Rakyat Malaysia tidak lagi menerima apa saja penjelasan pemimpin kerajaan.

Pertuduhan ke atas Anwar diketawakan, jelas ia dibuat secara tergesa-gesa dan sarat dengan motif politik. Isunya hanyalah survival kuasa sang Perdana Menteri yang begitu takutkan bayang-bayang sendiri. Pengalaman Presiden Suharto yang terpaksa berundur, juga atas desakan reformasi, begitu membimbangkan Dr Mahathir.

Rakyat tidak mudah lagi menelan bulat-bulat muntahan pemimpin Umno. Jualan akhbar utama menjunam, sebaliknya media alternatif seperti Harakah, Eksklusif dan Detik ditunggu-tunggu di pasaran.

Melalui satu kajian, seperti dilaporkan dalam buku "Transparency and Authoritarian in Southeast Asia" oleh Garry Rodan (2004), di antara tahun 1990 dan 2000, pembaca NST jatuh 34 peratus, Utusan Malaysia merudum 27 peratus dan Berita Harian, 30 peratus. Pada masa sama, menurut kajian itu lagi, edaran
Harakah meningkat, daripada sekitar 70,000 naskhah kepada 350,000 naskhah.

Beberapa penerbitan seperti Detik, Wasilah, Tamadun, Eksklusif dan Aliran Monthly, meningkat jualannya. Majalah Tamadun misalnya, yang saya terajui ketika Anwar dipecat, mencatat sejarah. Mungkin buat pertama kali sebuah majalah bulanan terpaksa diulang cetak, bagi terbitan September 1999, dan meningkat mendadak edarannya, daripada 20,000 naskhah kepada 140,000. Halaman warna majalah itu dijadikan poster dan dijulang oleh para demonstran di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Majalah Detik yang saya sewa permit penerbitannya daripada seorang teman juga menikmati tempias yang menakjubkan itu. Jumlah cetakan melebihi 100,000 naskhah walaupun ia diuruskan secara
amatur. Ringkasnya, pembaca mula ghairah mencari bahan bacaan alternatif selepas muak dengan "pendedahan lucah" akhbar yang dikongkong Umno-BN. Ketika itu juga laman-laman reformasi diminati sehingga kandungannya difotokopi bagi sebaran ke seluruh pelosok tanahair.

Dr Mahathir jelas berdendam dengan penerbitan bebas, yang memberi ruang buat seteru politiknya mendekati rakyat. Langkah awalnya selepas membentuk kerajaan pada November 1999 ialah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri melalui peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 agar tidak memperbaharui permit Detik, Eksklusif dan Wasilah.

Baca selanjutnya di sini

Tiada ulasan: