"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hairan, mat rempit 'ahli PAS' tak kenal pemimpin PAS

Mohd Sabri Said
PULAU PINANG, 8 Nov: Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man meyakini tindakan sekumpulan mat rempit berdemontrasi berhampiran bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun), 31 Oktober lalu didalangi parti politik tertentu.

Beliau yang juga Adun Permatang Pasir berkata, ketika kejadian pada hari itu, beliau sendiri bertemu beberapa orang ahli kumpulan itu yang kononnya mendakwa dirinya ahli PAS seumur hidup dan bertanyakan sama ada mereka kenal atau tidak pemimpin PAS negeri itu.

Namun ujarnya, seorang mat rempit 'ahli seumur hidup PAS' itu yang umurnya mungkin sudah menjangkau 50 tahun, terpinga-pinga untuk menjawab soalan siapakah pesuruhjaya PAS negeri itu.

"Saya tanya jika dia sudah lama jadi ahli PAS, siapa pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, dia jawab tak tahu.

"Tiba-tiba kawan-kawan dia tarik baju dia, mungkin kawan-kawannya tak mahu dia menjelaskan sesuatu yang mungkin boleh memecah rahsia sebenar," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau ditemui pada majlis sambutan hari raya Aidil Adha di Pengkalan Tambang, Permatang Pasir semalam.

Pada tengahari 31 Oktober lalu, kira-kira 200 mat rempit mengadakan tunjuk perasaan di bangunan bersejarah jam besar Pulau Pinang yang berhampiran Dewan Undangan Negeri bagi menuntut ‘litar perlumbaan’ dibina bagi kegunaan mereka.

Kumpulan, yang diketuai oleh Ahmad Shahabuddin - wakil Pertubuhan Islam Gabungan Amal - berbaris di sepanjang kawasan itu dengan motosikal mereka kira-kira jam 1 tengahari dan membunyikan hon selama kira-kira 15 minit sebelum disuraikan oleh polis.

Tindakan mereka dipercayai didalangi politik kerana kebanyakan penunggang berkemeja-T berwarna kuning dengan tertera perkataan ‘LGE rasis’ - merujuk kepada ketua menteri Lim Guan Eng - dan projek 'Selamatkan Pulau Pinang'.

Mereka juga membawa sepanduk yang berbunyi “Kami mahu litar lumba”.

Mengulas lanjut, Saleh Man berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Umno negeri itu turut terlibat dalam merancang demonstrasi itu.

"Umno nampak gayanya terus main wayang. Mereka sudah ketandusan ideal dengan menjemput pemuda yang entah datang dari mana buat kacau depan dewan. Lepas tu tunjuk kad keahlian PAS seumur hidup pula," tegasnya.

Menurut beliau, Umno di Pulau Pinang hampir mati perancangan untuk mengembalikan sokongan Melayu di sini ekoran pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat diterima baik masyarakat di sini.

Tiada ulasan: