"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Islam Dijunjung, Raja Disanjung, Rakyat Dipayung - Hari Keputeraan Sultan Kelantan

Muhammad Yusri Amin
KOTA BHARU, 11 Nov: Sultan Muhammad V, Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra selamat menyempurnakan upacara Istiadat Pemeriksaan Perbarisan Kehormatan di Padang Merdeka di sini sebentar tadi.

Istiadat sempena Pemasyhuran Perayaan Menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-42, 2011 itu turut dihadiri Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Turut hadir pada upacara itu Kerabat Diraja dan pembesar negeri.

Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dewan Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Negara serta pimpinan politik, Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.

Perayaan keputeraan bertema “Islam Dijunjung, Raja Disanjung, Rakyat Dipayung” itu bermula seawal 6.30 petang semalam dengan mengadakan majlis solat Hajat dan doa selamat di Masjid Muhammadi di sini dan di semua masjid utama jajahan.

Istiadat ‘meletak kerja’ pula diadakan di Istana Balai Besar di sini seawal 7.45 pagi tadi sebelum diadakan jamuan rakyat di Masjid Muhammadi di sini selepas solat Jumaat nanti.

Sementara Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri serta Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia akan diadakan esok mulai 9.00 pagi di Istana Balai Besar di sini.

Menurut kenyataan rasmi, perayaan menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan itu bermula 10 hingga 12 November 2011.

Majlis Santapan Malam Persembahan Kerajaan Negeri diadakan pada malam ini di Dewan Jamuan Utama, Kota Darulnaim di sini.

Tiada ulasan: