"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibu tua dihalau anak tunggal

TAIPING: Seorang wanita warga emas kini hidup menumpang ehsan rumah kebajikan penjagaan warga emas milik sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) berikutan dihalau keluar dari rumah oleh anak tunggal perempuannya, selepas puas mendera mental serta fizikal warga emas itu.

Nasib malang warga emas berusia 65 tahun itu mencapai kemuncaknya awal Oktober lalu selepas dihalau dari rumah dalam keadaan sehelai sepinggang oleh anaknya itu.

Tangisan air mata dan rayuan wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mariam ini bukan saja tidak dipedulikan, malah dia diseret keluar dari pintu pagar tanpa belas kasihan.

Lebih menyedihkan, wanita itu mendakwa anaknya turut mencelanya bersikap pengotor kerana tidak tahu menguruskan diri dan lebih sesuai tinggal di jalanan.

“Hanya Tuhan tahu perasaan saya dilayan seperti sampah oleh anak kandung yang saya jaga seperti ‘menatang minyak yang penuh’ dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang sejak kecil hingga dewasa.

“Biarpun sudah uzur, saya masih mampu menguruskan diri sendiri untuk ke tandas. Saya hanya tidak larat untuk makan dan memakai pakaian sendiri kerana tidak boleh berdiri tegak serta duduk lama,” katanya berlinangan air mata.

Mariam yang ditemui wartawan Harian Metro di sebuah rumah kebajikan penjagaan warga emas milik sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di sini, semalam, berkata dia terlalu sedih dengan apa yang berlaku apatah lagi ketika keadaan kian uzur.

“Banyak memori suka duka kami terutama detik menyambut kelahiran anak perempuan tunggal. Kami mencurahkan sepenuh kasih sayang serta memberikan pendidikan terbaik kepadanya sehingga berjaya ke peringkat menara gading,” katanya.

Mariam mendakwa, kasihkan anak dan tidak mahu hidup kesunyian sejak arwah suaminya yang juga bekas pesara kerajaan meninggal dunia lapan tahun lalu, dia mempelawa anaknya tinggal bersama sejak lima tahun lalu.

Katanya, anak perempuannya yang sudah berumahtangga dan mempunyai tiga orang anak, bersetuju berpindah bersama keluarganya tapi kehidupan bahagia diimpikan bertukar menjadi neraka dunia buat ibu malang ini.

“Pada tahun pertama kehidupan saya bersama anak, menantu dan cucu memang bahagia. Tetapi segalanya berubah memasuki tahun kedua apabila anak saya menjadi panas baran dan pantang saya melakukan kesilapan walau kecil, pasti akan dimaki hamun.

“Ketiga-tiga cucu dengan dua daripadanya masih bersekolah menengah manakala seorang lagi sudah menamatkan persekolahan, turut melayan saya seperti orang gaji dan apa menyedihkan, anak saya langsung tidak kisahkan sikap mereka,” katanya.
-hmetro-

Tiada ulasan: