"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib tinggalkan perkara wajib haji- Ustaz Shamsul

Masdar Wahid
KUALA LUMPUR 9 Nov: Perbuatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya menamatkan ibadat haji tiga hari lebih awal, dianggap sengaja meninggalkan perkara wajib haji.

Ibadah seperti itu bukan sahaja pincang, tetapi sukar untuk mendapatkan haji mabrur, kata bekas Imam Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara, Shamsul Firdaus Al Hafiz.

Ini kerana katanya, ibadat haji paling awal hanya boleh dihabiskan pada 12 Zulhijjah 1432H bersamaan hari Selasa pada 8 November 2011.

“Datuk Najib dilapor menamatkan ibadat haji pada hari Ahad, 6 November 2011 bersamaan 9 Zulhijjah 1432H.

“Ini bermakna, beliau menamatkan ibadat haji tiga hari lebih awal dari yang jadualkan sekaligus meninggalkan perkara yang diwajibkan dalam ibadat haji,” katanya kepada Keadilandaily.com hari ini.

Perkara wajib yang ditinggalkan perdana menteri ialah tidak bermalam dua malam berturut-turut di Mina dan tidak melontar di tiga jamrah dua hari berturut-turut iaitu pada 11 dan 12 Zulhijjah 1432 Hijrah.

“Walaupun ibadat haji itu dibolehkan (untuk ditinggalkan) dengan membayar denda, namun ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

“Kita tidak pertikaikan sah atau tidak ibadat haji beliau, tetapi dengan meninggalkan perkara yang diwajibkan itu menunjukkan ibadat haji beliau pincang dan jauh sekali dari mendapat haji Mabrur,” tegasnya.

Haji Mabrur bermaksud sesuatu yang tidak bercampur dengan dosa dan antara syarat untuk mencapainya ialah ibadat itu hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah dan tidak riak (menunjuk-menunjuk).

Manakala sumber untuk menunaikan iabdat haji tidak bersumberkan dari yang haram.

Bernama pada Ahad lalu, melaporkan Najib bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor selesai menunaikan ibadah pada 6 November.

Turut menunaikan rukun Islam kelima itu ialah ibu beliau, Tun Rahah Mohamad Noah dan adik Najib, Datuk Mohamed Nazim serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Andul Kadir.

Tiada ulasan: