"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelajar SPM Gantung Diri, Kecewa Gagal Jawab Kertas Matematik Tambahan

KUALA LUMPUR: Seorang remaja yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan merupakan seorang pelakon drama tempatan berbahasa Cina dilaporkan membunuh diri di rumahnya semalam selepas dipercayai kecewa kerana gagal menjawab soalan Kertas 1 Matematik Tambahan dalam ujian tersebut.

Memetik laporan akhbar New Straits Times, dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Jinjang, pelakon berusia 17 tahun yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah ditemui tergantung di dalam biliknya dengan tali leher dilehernya.

Difahamkan, remaja lelaki itu pernah berlakon dalam beberapa siri televisyen berbahasa Cina dan guru-guru menyifatkan mangsa sebagai seorang pelajar cemerlang.

Kejadian tersebut disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Sentul Supt Mohd Sukri Kaman.

"Mangsa memberitahu gurunya bahawa dia tidak dapat jawab (soalan Matematik Tambahan).

“Mangsa juga berkata mahu pulang ke rumah tetapi guru menasihatinya agar bertenang. Namun, mangsa enggan dan terus pulang ke rumah,” kata Mohd Sukri dipetik NST.

Tambah Mohd Sukri, ketidakhadiran mangsa ke sekolah pada waktu petang untuk menduduki ujian Kertas 2 subjek tersebut menyebabkan gurunya bimbang, sebelum mengambil keputusan menghubungi keluarga mangsa.

“Guru tersebut menghubungi ibunya untuk bertanyakan mangsa. Ibu pelakon tersebut yang bekerja di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur kemudian meminta ibu saudara mangsa untuk memeriksa.

“Ibu saudara mangsa menemui remaja itu mati di dalam biliknya dengan tali leher yang diikat di lehernya terikat pada bingkai tingkap,” jelas Mohd Sukri.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan pihak polis menolak sebarang unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

Tiada ulasan: