"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Banjir Nepal: Wanita ditemukan hidup selepas 10 hari tertimbus

Buletin TV3
               Foto AFP
NUWAKOT: Seorang wanita Nepal ditemukan hidup, hari ini selepas rumahnya tertimbus lumpur tebal dan serpihan akibat banjir besar yang melanda wilayah itu, 10 hari lalu.

Anggota penyelamat sebelum ini turut menyelamatkan seorang lelaki warga China yang ditemukan hidup di dalam terowong Projek Hidroelektrik Upper Trishuli-1 di daerah Rasuwa, Nepal.

Anggota Pasukan Polis Bersenjata Nepal bersorak ketika Chandrika Shrestha, 64, yang dipenuhi lumpur, berjaya dikeluarkan dari rumahnya yang tertimbus di daerah Nuwakot.

“Pasukan polis menemukannya ketika mereka membersihkan kawasan berkenaan. Dia diterbangkan ke Kathmandu untuk mendapatkan rawatan,” kata Timbalan Superintendan Polis, Iqbal Hawari kepada AFP.

Video yang dikeluarkan Pasukan Polis Bersenjata Nepal menunjukkan hanya sebahagian rumah wanita itu kelihatan, manakala tingkat bawahnya tertimbus sepenuhnya dengan lumpur tebal.

Pasukan tindak balas kecemasan terus berusaha mencari mangsa yang terselamat sejak dinding air dan lumpur seperti tsunami melanda sempadan China-Nepal susulan runtuhan glasier dan batu pada 26 Ogos.

Setakat ini, 1,344 mayat ditemukan di Nepal, menurut agensi bencana negara itu, manakala kira-kira 5,000 orang masih hilang.

Di China, media kerajaan melaporkan 31 orang maut dan 531 masih hilang, menjadikan jumlah keseluruhan korban kepada 1,375 orang dengan lebih 5,500 masih hilang. – AFP

Jerebu: Baru jalan 20 langkah, wanita ‘ghaib’

 KOSMO
TANGKAP layar video menunjukkan wanita tersebut hilang dari pandangan selepas berjalan 20 langkah akibat jerebu. - Instagram
JAKARTA – Satu klip video tular di Indonesia menunjukkan seorang wanita ‘hilang’ dari pandangan selepas berjalan 20 langkah disebabkan asap tebal daripada kebakaran hutan dan tanah yang melanda kawasan itu, lapor portal berita Lambe Turah. 

Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @socialfeed_id menunjukkan wanita terbabit berjalan kaki sambil mengira setiap langkahnya untuk memeriksa ketebalan jerebu. 

Selepas 15 langkah, wanita tersebut mula pudar sebelum hilang sepenuhnya dari pandangan. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 1.4 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“20 langkah sudah hilang,” kata seorang netizen. 

“Macam masuk alam lain seperti filem Narnia,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

HSA siasat dakwaan pakar perubatan lakukan gangguan seksual

Azizi Majid

JOHOR BAHRU: Hospital Sultanah Aminah (HSA) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung laporan dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang pakar perubatan di Jabatan Anestesiologi.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Jawatankuasa Khas Siasatan sudah ditubuhkan pengurusan hospital berkenaan bagi menyiasat laporan itu yang diterima pada 28 Ogos lalu.

Menurut JKNJ, siasatan itu dibuat susulan laporan sebuah portal yang mendedahkan dakwaan terdapat pihak tertentu meminta pengadu menarik semula laporan salah laku berkaitan gangguan seksual berkenaan.

“Siasatan itu sedang dilengkapkan sebelum tindakan selanjutnya diambil mengikut garis panduan dan tatacara yang sedang berkuat kuasa.

“Pihak hospital tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha menyembunyikan, menyekat, menekan atau menghalang mana-mana warga kerja daripada membuat laporan berhubung dakwaan gangguan seksual,” menurut kenyataan itu.

JKNJ memaklumkan, HSA sentiasa komited memastikan keadilan kepada semua pihak, selain memelihara ketelusan dan integriti proses siasatan pada setiap peringkat.

“JKNJ bersama pihak hospital kekal komited untuk menyediakan persekitaran tempat kerja yang selamat dan profesional serta bebas daripada sebarang bentuk gangguan, intimidasi atau salah laku,” jelas kenyataan itu.

Hubungan Anwar-Zahid kian tegang - Bloomberg

Malaysiakini

Hubungan di antara Anwar Ibrahim dengan Ahmad Zahid Hamidi dikhabarkan semakin tegang sehingga menyebabkan mesyuarat kabinet kebelakangan ini berlangsung lebih singkat berbanding biasa.

Memetik sumber yang “mengetahui” perkara itu, Bloomberg melaporkan, ketegangan tersebut berpunca daripada keputusan Ahmad Zahid yang memutuskan BN menentang PH dalam PRN Johor serta Negeri Sembilan baru-baru ini.

Keadaan itu, dakwa sumber terbabit, turut dipengaruhi tekanan daripada DAP supaya reformasi institusi dilaksanakan menjelang akhir tahun di sebalik Anwar – selaku perdana menteri – perlu mendapatkan sokongan blok Ahmad Zahid mendapatkan majoriti dua per tiga di Dewan Rakyat sebelum pindaan perlembagaan dapat dibuat.

Antara isu yang melibatkan pindaan perlembagaan ialah mengehadkan tempoh seseorang menduduki jawatan perdana menteri.

Bulan lalu, bekas menteri Khairy Jamaluddin mendakwa tahap kepercayaan antara Anwar dan Zahid berada pada “tahap paling rendah” sejak pembentukan kerajaan Madani.

Sebagai respons, Anwar menegaskan hubungan mereka masih baik dan menolak dakwaan Khairy itu sebagai “pandangan peribadi”.

Pada Isnin lalu pula, ketegangan di antara perdana menteri dengan seorang daripada timbalannya itu semakin ketara apabila Ahmad Zahid – yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah (KKDW) – secara terbuka meluahkan rasa tidak puas hati berhubung penyaluran peruntukan yang berada di bawah kementerian kewangan (MOF) pimpinan Anwar.

Ahmad Zahid menggesa MOF mempercepatkan penyaluran peruntukan kerana kontraktor yang telah menyiapkan projek masih menunggu bayaran dan sebahagiannya terpaksa gulung tikar akibat masalah aliran tunai.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican menafikan dakwaan tersebut dengan berkata, peruntukan bagi jalan luar bandar disalurkan sepenuhnya dan tidak tertakluk kepada sebarang sekatan.

Kesediaan PAS berkorban

Johan turut berkata KKDW mempunyai sejarah berbelanja melebihi peruntukan, menyebabkan MOF terpaksa mengenal pasti langkah penjimatan daripada kementerian lain bagi menampung perbelanjaan tambahan tersebut.

Perkara itu kemudian mengundang kritikan daripada veteran DAP, Lim Guan Eng, yang menggesa tindakan diambil terhadap Ahmad Zahid kerana berbelanja melebihi bajet.

Lim yang juga bekas menteri kewangan berkata, amalan sedemikian boleh menjejaskan kestabilan kewangan negara.

Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer, pula menggesa peguam negara meneliti semula keputusan terhadap 47 pertuduhan rasuah ke atas Ahmad Zahid dalam kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Gesaan tersebut disokong Pemuda DAP yang berpendapat perkara berkenaan mempunyai kaitan rapat dengan agenda reformasi institusi negara.

Ketegangan antara dua bekas seteru politik di Putrajaya itu mencetuskan spekulasi terhadap potensi kemenangan besar BN dalam PRN Melaka tidak lama lagi mungkin mencetuskan tuntutan supaya PRU ke-16 diadakan lebih awal.

Pada masa sama, PN sedang mendekati BN ketika rundingan pembahagian kerusi untuk PRN Melaka berlangsung.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, pula menyatakan kesediaan untuk PAS mengorbankan kerusi parti itu bagi memastikan perpaduan “dalam kalangan orang Melayu Islam dan bukan Melayu yang tidak ekstrem” dijayakan.

Ahli Parlimen ditemui mati dengan kesan tembakan

Buletin TV3
Seorang anggota Polis Persekutuan berdiri berhampiran kenderaan polis di lokasi mayat ahli Parlimen Morena, Zenyazen Escobar, ditemui di dalam sebuah kereta Mercedes-Benz berwarna hitam di lebuh raya Veracruz-Xalapa, berhampiran La Gloria, negeri Veracruz, Mexico. -Foto AFP
MEXICO CITY: Mayat seorang ahli Parlimen persekutuan Mexico ditemui di sebuah lebuh raya di negeri Veracruz dengan kesan tembakan.

Setiausaha Kerajaan Veracruz, Ricardo Ahued berkata, Zenyazen Escobar ditemui di dalam kenderaannya, bersama senjata api yang berada berhampiran mayatnya.

Namun beliau enggan menyatakan sama ada kematian itu akibat bunuh diri atau pembunuhan.

“Kematian itu berpunca daripada senjata api kami tidak boleh membuat sebarang andaian,” kata Ahued, sambil menambah pendakwa raya negeri sudah membuka siasatan.

Bagaimanapun, beliau menolak kemungkinan kenderaan Escobar diserang.

“Ia bukan serangan kerana kenderaan itu berada di bahu jalan dan tiada tanda menunjukkan berlaku serangan lebih besar terhadap kenderaan berkenaan,” katanya.

Menurut Ahued, Escobar berada di tempat duduk pemandu ketika ditemui.

Gambar yang disiarkan media tempatan pula menunjukkan senjata api berada di antara kedua-dua kakinya.

Escobar, merupakan seorang guru dan pemimpin kesatuan sekerja sebelum dipilih sebagai anggota Dewan Perwakilan pada September 2024.

Veracruz antara negeri paling ganas di Mexico berikutan kegiatan kumpulan jenayah yang menjalankan penyeludupan dadah.- AFP

Berjuta-juta ikan mati, sungai kering kontang

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan berjuta-juta ikan termasuk bangkai berselerakan di Sungai Silugonggo yang mengering. - TikTok
JAKARTA – Berjuta-juta ikan bandaraya ditemui terdampar dan mati selepas sebatang sungai di Pati, wilayah Jawa Tengah kering akibat kemarau yang melanda kawasan itu, lapor laman  berita INews. 

Kejadian berlaku di Sungai Silugonggo Desa Bungasrejo, baru-baru ini. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @rpikiranrakyat menunjukkan berjuta-juta bangkai ikan berselerakan di dasar sungai yang kontang, manakala ikan yang masih hidup dilihat melompat-lompat. 

Difahamkan, aliran sungai berkenaan terhenti sejak seminggu yang lalu kerana cuaca panas. 

Penduduk tempatan mengambil kesempatan dengan mengutip ikan yang sudah mati  untuk dijadikan  tepung ikan sebelum dijual pada harga 2,500 rupiah (RM0.57) sekilogram. 

Warga setempat turut menggesa pihak berkuasa untuk menyalurkan air bersih dari empangan berdekatan serta memulihkan semula Sungai Silugonggo. – AGENSI

Lelaki parah ditetak di Ipoh, 11 ditahan

Bernama

IPOH: Sebelas ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki parah selepas diserang sekumpulan lelaki di Taman Pengkalan Jaya, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Alwi Zainal Abidin, berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun didatangi lima lelaki yang menaiki dua kereta, sebelum semua suspek mengejar dan menyerang mangsa.

Menurutnya, mangsa yang cuba melarikan diri dengan terjun ke Sungai Kinta, ditetak menggunakan parang oleh seorang suspek menyebabkan mangsa cedera di muka, tangan, kaki dan belakang badan.

Jelasnya, mangsa kemudian dibantu orang awam dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada dendam dan tidak puas hati kumpulan jenayah terancang terhadap mangsa. Pihak polis memandang serius kejadian ini dan membuat tangkapan 11 lelaki tempatan bagi membantu siasatan.

“Semua yang ditangkap berumur 22 hingga 41 tahun dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan dadah serta jenayah kekerasan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, semua tangkapan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata, berhubung kes serangan itu serta penglibatan mereka dalam kumpulan jenayah terancang.

Sokong PAS masuk syurga? Memang betul, kata Takiyuddin

N Faizal Ghazali

Ungkapan “masuk PAS akan masuk syurga” mungkin menjadi kata-kata sindiran musuh politik terhadap parti itu.

Namun Takiyuddin Hassan malam tadi dengan tegas menjelaskan bagaimana seseorang itu memang akan dapat masuk ke syurga melalui perjuangan dibawa mereka.

Walaupun mengakui PAS ialah sekadar sebuah pertubuhan politik, Setiausaha Agung PAS itu menegaskan wadah perjuangan mereka berteraskan Islam dan selaras dengan ajaran yang diperintahkan Allah.

“Kalau kita mati kerana berjuang mempertahankan Islam, tidak ada syak lagi, kita akan dianggap mati syahid dan kita akan diberikan ganjaran pahala, dan kita akan masuk syurga.

“Jadi dia (pihak lawan) kata pula (menyindir), masuk PAS ni masuk syurga…Yalah, masuk PAS (dan) terima Islam, berjuang di atas landasan Islam, nakkan Islam sama ada di dunia ataupun di akhirat.

“Masuk PAS cara itu, insya-Allah kita boleh masuk syurga apabila kita mati kelak. Itu pasti tuan-tuan dan puan-puan sekalian,” katanya.

Dia yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu membuat penegasan tersebut di hadapan lebih 500 penyokong ceramah perdana Sambutan Jubli Intan 75 tahun PAS sempena Muktamar PAS ke-75 di Kota Bharu.

PAS mengadakan muktamar di Kelantan sejak Rabu dengan dimulakan oleh sayap parti dan berlangsung sehingga hari ini. Para pemimpin utama parti akan menggulung perbahasan di penghujung muktamar.

Ada Islam pada nama parti

Takiyuddin berkata, disebabkan PAS membawa “perjuangan Islam” maka parti itu turut disokong alim ulama termasuk kebanyakan guru-guru pondok.

Dengan keahlian PAS kini melebihi sejuta orang di seluruh negara, katanya, keadaan itu menunjukkan sokongan terhadap parti berkenaan semakin meningkat.

Ujarnya lagi, angka berkenaan tidak termasuk sokongan daripada golongan bukan ahli dan juga dari luar negara.

Jika bilangan mereka diambil kira, tambah Takiyuddin, boleh dikatakan PAS kini mendapat dukungan antara tiga atau empat juta orang.

“Orang yang dahulu dari Umno, dari parti-parti lain ataupun mereka yang tidak berparti termasuk golongan yang sebelum ini tidak cakna mengenai politik, orang sukan, pemain bola dan artis… sekarang ini sudah ramai yang menjadi ahli PAS," katanya.

Tambah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, PAS bukan sebuah parti yang baru ditubuhkan, sebaliknya sudah berusia 75 tahun selepas diasaskan pada 1951.

Katanya, PAS merupakan satu-satunya “parti Islam” di negara ini.

"Itulah PAS, sebuah parti yang membawa seruan Islam.

“Nama pun Parti Islam Semalaysia, iaitu satu-satunya parti yang meletakkan nama 'Islam' pada parti,” katanya yang juga Setiausaha Agung PN.

Dua beradik anggota kongsi gelap antara lapan didakwa bunuh lelaki

MOHD YUNUS YAKKUB
Kesemua tertuduh dikawal ketat anggota D9 bagi pertuduhan bunuh di Mahkamah Majistret Shah Alam.
SHAH ALAM – Lapan individu termasuk dua beradik yang menganggotai kumpulan kongsi gelap didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki minggu lalu

Mereka ialah K. Thivagar, 29, Shaik Hasanudin Ahlauwudin, 26, dan adiknya, Sheik Mauludin, 24, M. K. Puwaneswaran, 39, R. Darvin Raj, 23, S. R. Harikrisnan, 42, A. Rhubban, 37, dan Soulami Ahimsha, 46,

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding tersebut, Thivagar dan Soulami hadir dengan berkerusi roda.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama lapan individu yang masih bebas sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama membunuh Ganesan, 23, di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah di sini, pada pukul 1.59 petang, 25 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan bedah siasat, forensik dan perubatan selain tidak mencadangkan sebarang jaminan.

Sementara itu, peguam Nur Aida Md. Zainuddin mewakili Shaik Hasanudin dan Sheik Mauludin, manakala peguam Navin Punj mewakili Thivagar.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kosmo! sebelum ini melaporkan pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dilanggar kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza di Taman Alam Megah di sini.

Siasatan polis mendapati perebutan kawasan antara dua kumpulan dipercayai kongsi gelap menjadi punca insiden serangan dan tetakan tersebut. Kedua-dua kumpulan itu dipercayai beroperasi di sekitar Shah Alam. – KOSMO! ONLINE

Polis siasat pengawal keselamatan warga Nepal didakwa hina Islam

Fairul Asmaini Mohd Pilus

KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan warga Nepal yang didakwa menghina Islam kini disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada majikan pengawal keselamatan terbabit di Balai Polis Jinjang pada 31 Ogos lalu.

“Syarikat keselamatan yang menggajikan individu terbabit mengambil tindakan segera selepas dimaklumkan mengenai hantaran berkenaan.

“Pengawal keselamatan terbabit turut dibawa ke Balai Polis Jinjang dan sudah pun diambil keterangannya.

“Kami sedang menunggu perintah penyiasatan (OTI) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pengawal keselamatan terbabit sebelum ini mencetuskan kemarahan orang ramai selepas didakwa berterusan menyebarkan video di laman sosial yang menghina agama Islam dan Malaysia.

Menurut kenyataan tular yang dikaitkan dengan syarikat majikan terbabit, pihak berkenaan menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan.

Pada masa sama, tindakan akan diambil bagi membatalkan permit kerja pengawal keselamatan berkenaan serta menguruskan penghantarannya pulang ke negara asal.

Bagaimanapun, proses berkenaan tertakluk kepada prosedur serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan, termasuk Jabatan Imigresen.

Mekanik cedera ditembak

Bernama

BUKIT MERTAJAM: Mekanik cedera di tapak tangan kanan akibat ditembak di sebuah bengkel kenderaan terpakai berhampiran kawasan perkuburan Cina di Jalan Sungai Lembu, Machang Bubok.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata kejadian berlaku pada 1.05 tengah hari semalam dengan mangsa berusia 43 tahun itu ditembak seorang daripada dua suspek lelaki menaiki motosikal.

“Mangsa yang cedera melarikan diri ke kawasan perkuburan Cina bagi menyelamatkan diri, manakala dua suspek meninggalkan tempat kejadian.

“Kejadian menyebabkan mangsa luka dan patah tulang tapak tangan,” katanya dalam kenyataan.

Nik Aminuddin berkata, mangsa dibawa ke hospital dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi menemukan beberapa barang kes dipercayai berkaitan dengan kejadian dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Muazzam Shaaban menerusi talian 017- 4825 017.

Lim gesa tindakan terhadap Zahid, KKDW belanja lebih dari bajet

Malaysiakini

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menggesa tindakan diambil terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung perbelanjaan yang melebihi peruntukan diluluskan, sambil memberi amaran amalan sedemikian boleh menjejaskan kestabilan kewangan negara.

Penasihat kebangsaan DAP itu berkata tindakan perlu diambil bagi menghalang kementerian lain daripada melakukan kesalahan sama yang boleh menjejaskan perbendaharaan dan kedudukan kewangan negara.

“Perbuatan sedemikan oleh Ahmad Zahid Hamidi adalah tidak bertanggungjawab kerana melanggari prosedur dan tatacara kewangan sedia ada, yang boleh mengundang penguatkuasaan undang-undang berkaitan.

“Apa yang dilakukan oleh Ahmad Zahid Hamidi secara langsung menggugat keselamatan kewangan dan kestabilan ekonomi.

“Tolong bayangkan betapa serius dan mudaratnya keadaan kewangan negara sekiranya semua Kementerian kerajaan bertindak sedemikan rupa dengan membelanjakan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambilkira sama ada negara mampu atau tidak,” katanya pada satu kenyataan.

Lim turut mempersoalkan kontraktor yang mendapat manfaat daripada kontrak diberikan KKDW sehingga menyebabkan perbelanjaan melebihi peruntukan diluluskan.

“Adakah kontraktor-kontraktor tersebut dipilih mengikut peraturan atau kaedah pemberian kontrak dijalankan secara telus, terbuka dan akauntable,” soalnya.

Lim berkata Zahid, selaku timbalan perdana menteri sepatutnya menunjukkan teladan dengan mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhemat dalam menguruskan kewangan, bukannya bertindak sebaliknya.

“Jelas sekali Ahmad Zahid Hamidi telah membenarkan perbelanjaan melebihi peruntukan diluluskan tanpa usul periksa dan patut memberikan penjelasan penuh kepada rakyat Malaysia,” tambahnya.

Kementerian Kewangan mendedahkan perbelanjaan KKDW pada 2023 berjumlah RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion yang diluluskan. Pada 2024, kementerian itu membelanjakan RM2 bilion berbanding peruntukan RM1.3 bilion, manakala perbelanjaan pada 2025 mencecah RM2.3 bilion berbanding peruntukan RM1.6 bilion.

Secara keseluruhan, KKDW berbelanja RM2.1 bilion melebihi peruntukan diluluskan sepanjang tempoh tiga tahun dari 2023 hingga 2025, ketika kementerian itu diterajui Zahid.

Lim berkata isu sama pernah timbul sebelum ini berhubung surat sokongan yang dikeluarkan kementerian selain Kementerian Kewangan. Surat sedemikian sejak itu dilarang kerana boleh ditafsirkan sebagai jaminan kerajaan yang terselindung.

“Dalam perundangan kewangan negara hanya Kementerian Kewangan dibenarkan mengeluarkan surat sokongan atau jaminan.

“Tindakan pernah diambil apabila surat sokongan dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan tanpa restu Kementerian Kewangan,” katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan pertikaian mengenai pembiayaan itu menjadi punca terbaru pergeseran antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.

Pertikaian itu tercetus selepas Zahid menggesa Kementerian Kewangan mempercepat penyaluran dana dengan berkata kontraktor yang sudah menyiapkan projek masih menunggu bayaran, malah ada yang terpaksa gulung tikar akibat masalah aliran tunai.

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi BN, berkata kementeriannya dipersalahkan atas kelewatan itu walaupun tidak menerima dana diperlukan untuk membuat pembayaran.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican menyangkal dakwaan berkenaan dengan berkata peruntukan bagi jalan luar bandar sudah disalurkan sepenuhnya dan tidak dikenakan sebarang sekatan.

Johan turut berkata kementerian diterajui Zahid mempunyai rekod berbelanja melebihi bajet, sehingga Kementerian Kewangan terpaksa mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi menampung perbelanjaan tambahan itu.

Murid tahun enam maut tersepit tayar lori

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
KEADAAN mangsa yang meninggal dunia di bawah sebuah lori dalam kemalangan di hadapan Masjid Batu 3, Jalan Jeniang. FOTO ihsan BOMBA
KEADAAN mangsa yang meninggal dunia di bawah sebuah lori dalam kemalangan di hadapan Masjid Batu 3, Jalan Jeniang. FOTO ihsan BOMBA
Gurun: Polis sedang menyiasat kemalangan motosikal dan lori di Jalan Gurun - Jeniang di sini, hingga mengakibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kemalangan dilaporkan berlaku jam 2 petang semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan lori dipandu seorang lelaki manakala motosikal ditunggang remaja berusia 14 tahun dan dibonceng kanak-kanak berusia 12 tahun.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika lori itu tiba di lokasi kejadian sambil bergerak perlahan untuk berhenti.

"Ketika itu, sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti berhenti secara mengejut di hadapan lori itu susulan lampu isyarat merah.

"Ini menyebabkan pemandu lori cuba mengelak ke laluan susur kiri sebelum dia terdengar dentuman dari arah belakang sisi kiri," katanya.

Menurutnya, pemandu lori itu kemudian melakukan pemeriksaan dan mendapati motosikal dinaiki kanak-kanak dan remaja lelaki terbabit melanggar bahagian belakang lori, " katanya semalam.

Hanyan berkata, pemandu lori itu mendapati kanak-kanak terbabit tersepit pada tayar belakang lori manakala pembonceng remaja terjatuh di atas jalan raya.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa kanak-kanak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal hanya luka-luka calar bahagian tangan dan kaki.

"Mangsa yang meninggal dunia mengalami cedera parah di bahagian badan dan paha kiri kanan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Hanyan berkata, mangsa yang maut berasal dari Kampung Paya Mak Insun, Ayer Puteh, Pendang manakala pembonceng pula berasal dari Kampung Batu 3, Jalan Jeniang, di sini.

Tiga gadis bergaduh di Dataran Melang tular di media sosial

NOR AINNA HAMZAH
Tangkap layar video tular membabitkan pergaduhan tiga gadis di Dataran Melang, kelmarin yang tular di media sosial, sejak semalam.
KUALA PILAH – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kes pergaduhan membabitkan tiga gadis yang tular di media sosial, di Dataran Melang, di sini, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang hadir ke lokasi berkenaan bersama abangnya bagi bertemu dua kenalan untuk berbincang mengenai salah faham susulan penyebaran gambarnya di media sosial.

“Semasa pertemuan tersebut, berlaku pergelutan antara pengadu dengan dua individu berkenaan sehingga menyebabkan remaja itu cedera sebelum dia pulang ke rumah bersama ahli keluarganya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Muhamad Mustafah berkata, susulan kejadian itu, pengadu bersama bapanya telah ke kediaman salah seorang individu terbabit semalam untuk berbincang sebelum membuat laporan polis.

“Polis memandang serius kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar pergaduhan serta pihak-pihak yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, tular video kejadian memaparkan aksi pergaduhan termasuk tarik menarik serta tendangan. – KOSMO! ONLINE

Polis siasat kejadian dua kanak-kanak duduk atas MPV sedang bergerak

Abd Razak Mohd Ali
Dua kanak-kanak perempuan duduk di atas sebuah MPV yang sedang bergerak di Ipoh, yang tular di media sosial sejak semalam. Foto video tular.
Tangkap layar video tular di media sosial menunjukkan dua kanak-kanak perempuan duduk di atas sebuah MPV yang sedang bergerak di Ipoh.
IPOH: Polis sedang menyiasat kejadian dua kanak-kanak duduk di atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam keadaan kenderaan itu sedang bergerak di jalan raya, yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, setakat ini tiada laporan diterima mengenai kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis sedang mengesan pemilik kenderaan berkenaan.

“Kita akan kenalpasti. Kalau betul kanak-kanak, kita akan siasat bawah Akta Kanak-kanak 2001,” katanya ketika dihubungi di sini.

Terdahulu tular sebuah video yang memaparkan dua kanak-kanak perempuan duduk di atas sebuah MPV mewah jenis Toyota Alphard.

Kanak-kanak tersebut dipercayai naik melalui 'sunroof' (bumbung tembus cahaya) dalam keadaan kereta sedang bergerak di jalan raya.

Kejadian yang dirakam pengguna jalan raya itu dipercayai berlaku bermula susur keluar Meru ke Jalan Jelapang-Simpang Pulai, bersebelahan dengan Lebuhraya Utara Selatan.

Rakaman tersebut mendapat kecaman daripada netizen kerana ia boleh membahayakan kanak-kanak berkenaan.

Rafizi terus desak dedah siasatan kes Azam Baki

B Nantha Kumar

Bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar mendedahkan dengan segera kertas siasatan berhubung dakwaan skandal pemilikan saham bekas ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Kata Rafizi, ia penting untuk menangani tuduhan pendakwaan terpilih ketika SPRM dan pihak polis kini sedang menyiasat isu Tabung Haji sehingga membawa kepada penahanan bekas menteri, pemimpin dan bekas penjawat awam yang dikaitkan dengan kerajaan BN.

"Dalam suasana politik sekarang, saya minta perdana menteri mengarahkan KSN untuk mendedahkan dengan segera kertas siasatan mengenai skandal saham Azam Baki.

"Sebab perkara itu siasatan dah siap, ia siasatan dalaman, telah pun dibentangkan di Kabinet.

"Kemudian PMX (Anwar) ada gambaran sebelum ini, akan didedahkan dalam beberapa hari, tapi ini dah dekat enam bulan," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Menurut Rafizi, kes yang membabitkan Azam itu bersifat disiplin semata-mata dan bukan kes jenayah, sebagaimana penjelasan yang pernah diberikan oleh pihak kerajaan sendiri.

Pemimpin Bersama itu turut menyorot bahawa Azam telahpun bersara daripada perkhidmatan.

Maka, katanya, pendedahan laporan tersebut tidak akan membawa sebarang kesan tindakan disiplin lanjut seperti penurunan pangkat terhadap bekas ketua SPRM itu.

"Ia bukan besar seperti turun pangkat dia ke apa-apa yang lain.

"Tapi dalam suasana sekarang, saya rasa kalau Anwar ambil tindakan mendedahkan kertas siasatan itu, ia akan memadamkan serangan-serangan yang kononnya siasatan SPRM ke atas Tabung Haji itu bermotif politik.

"Kalau dia buat dua-dua, saya tabik. Kemudian baru betul reformasi," katanya lagi.

Isu pemilikan saham Azam mula tular selepas portal Malaysiakini dan agensi berita Bloomberg menerbitkan laporan yang mendakwa dia memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

Namun, Azam yang kini telah bersara daripada jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum ini menafikan sebarang salah laku, dengan hujah saham yang dipersoalkan itu dibeli di pasaran terbuka dan tiada kaitan dengan mana-mana siasatan SPRM.

Berikutan pendedahan itu, kerajaan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh Peguam Negara untuk menyiasat dakwaan berkenaan dan pada akhir Februari lalu laporan penuh jawatankuasa itu dijangka diserahkan kepada Jemaah Menteri dalam masa seminggu.

Ketika itu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil turut mengesahkan sebuah laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan salah guna institusi SPRM.

Anwar sendiri pernah memberitahu laporan Jawatankuasa Khas itu akan siap dalam masa satu dua hari ketika itu, sambil menyifatkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu itu sebagai terlalu awal kerana proses siasatan Peguam Negara belum selesai.

Namun hampir enam bulan berlalu sejak itu, laporan berkenaan masih belum didedahkan kepada umum.

Pendatang haram: Apa nak jadi? Penguatkuasa menuding jari antara mereka

Warga asing bina penempatan haram dalam belukar di Selayang

Noor Hidayah Tanzizi
Penempatan haram didakwa di Sungai Batu, Selayang. -Foto Tangkap layar video Zarif Syarafuddin Sufi
SELAYANG: Sebuah penempatan terpencil di Sungai Batu, di sini, dipercayai diduduki warga asing termasuk pelarian Myanmar, yang didakwa membina beberapa rumah secara tidak sah.

Warga asing itu juga dipercayai turut membela anjing sebagai ‘loceng’ pengesan kehadiran individu tidak dikenali.

Perkara itu didedahkan sekumpulan individu yang mendakwa turut ke lokasi dan berkongsi video mengenainya di media sosial.

Berdasarkan perkongsian video dari penstriman langsung pihak berkenaan, situasi lokasi dilihat seperti di belukar dengan beberapa binaan dipercayai penempatan yang dibina secara tidak sah, namun ‘penduduk’ sudah ‘lesap’ dipercayai melarikan diri.

Berkongsi perkara itu, Zarif Syarafuddin Sufi, 24, berkata, dia bersama kumpulannya dan badan bukan kerajaan (NGO), Surplus ke lokasi berkenaan, selepas menerima maklumat berhubung perkara itu daripada seorang penduduk setempat pada Isnin lalu.

Dakwanya, kawasan berkenaan dipercayai tanah rizab sungai, dijadikan penempatan kumpulan berkenaan. Warga asing itu turut didakwa membina kira-kira tiga rumah untuk diduduki, reban ayam dan membela puluhan anjing di kawasan berkenaan.

“Ketika kami masuk, anjing di situ menyalak kuat dan mungkin itu menjadi petanda buat warga asing di situ melarikan diri. Di dinding rumah mereka, ada contengan disyaki bahasa etnik Rohingya.

“Saya percaya penempatan itu memang diduduki warga asing cuma apabila kami sampai mereka semua sudah tiada, namun ada ‘jejak’ ditinggalkan iaitu nasi dan lauk yang masih panas,” dakwanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dia mendakwa warga asing itu turut membuat bot sendiri dengan menggunakan tong, selain mempunyai tanaman pisang dan keladi, serta disyaki menjala ikan di sungai untuk dijual di pasar.

Menurutnya lagi, mereka menemukan kira-kira 50 kilogram (kg) ikan talapia disimpan di dalam tong.

“Kami juga jumpa sambungan paip air haram cuma tidak tahu dari mana ia disambungkan, dan di bawah jambatan berhampiran ada kira-kira sembilan rumah diduduki disyaki warga Bangladesh,” dakwanya.

Zarif berkata, dia berkongsi pendedahan itu untuk membuka mata rakyat supaya tidak terus membiarkan warga asing membuat sewenang-wenangnya terutama menceroboh kawasan rizab untuk penempatan haram, seolah-olah negara ini tiada undang-undang.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban ketika dihubungi berkata, penempatan haram adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya mengambil maklum perkara itu dan akan berbincang dengan agensi penguat kuasa lain bagi tindakan lanjut terutama membabitkan pemeriksaan dokumen berhubung isu berkenaan.

Wanita tempatan, lelaki warga asing ditahan kes penemuan bayi dalam tandas LTAPP

Bernama

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan susulan penemuan bayi baru lahir di dalam tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Anuwal Ab Wahab berkata wanita berusia 23 tahun itu, ditahan di Kompleks Bukit Jambul selepas siasatan dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dijalankan.

“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Myanmar berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Lelaki itu turut didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuwal berkata polis sebelum itu menerima laporan berhubung penemuan bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan di dalam sebuah tong sanitari tandas orang kurang upaya (OKU), di lapangan terbang berkenaan.

Beliau berkata bayi itu ditemukan oleh seorang pekerja pembersihan selepas terdengar bunyi tangisan dari dalam tong sanitari terbabit, sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan.

Anuwal berkata pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan beberapa sampel diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan serta kaitan individu-individu yang ditahan dengan kejadian itu,” katanya.

-- BERNAMA

Bau busuk bongkar mayat wanita dikerat dalam beg, suami, isteri ditahan

Agensi
Mayat mangsa, Hayathun Nisha ditemukan dalam beg berwarna merah di dalam gerabak keretapi. FOTO Agensi
Mayat mangsa, Hayathun Nisha ditemukan dalam beg berwarna merah di dalam gerabak keretapi. FOTO Agensi
New Delhi: Polis menahan sepasang suami isteri di daerah Jiribam, Manipur bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita berusia 38 tahun di Guduvanchery, Tamil Nadu, menurut pegawai polis pada Ahad, lapor Hindustan Times

Penangkapan itu dilakukan hampir sebulan selepas mayat mangsa yang dikerat-kerat ditemukan dalam sebuah beg pakaian di atas kereta api menuju ke Delhi.

Polis mengenal pasti suspek sebagai Manik Uddin Laskar, 22, dari daerah Cachar, Assam, dan isterinya, Bhagabati Majhi, yang juga dikenali sebagai Ayesha Begum, 21, dari daerah Kendujhar, Odisha.

"Pasukan gabungan Polis Tamil Nadu dengan bantuan Polis Manipur menahan Manik di jalan antara Kampung Lalpani dan Rasidpur di daerah Jiribam, Manipur pada 28 Ogos lalu manakala Bhagabati pula ditahan pada hari berikutnya di Kampung Kashimpur dalam daerah yang sama," menurut kenyataan Polis Manipur.

Polis Manipur berkata, pasangan itu kemudian diserahkan kepada Ketua Balai Polis T8 Guduvanchery di Tamil Nadu untuk tindakan lanjut.

Superintendan Polis Kereta Api Kerajaan Chennai P Rajan pada Ahad berkata, pasangan itu akan dihadapkan ke hadapan majistret di Manipur sebelum dibawa ke Chennai mengikut waran transit bagi siasatan lanjut.

Seorang pegawai polis Tamil Nadu yang enggan dikenali berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada hubungan sulit antara Manik dan mangsa.

Pada 5 Ogos, penumpang sebuah kereta api ekspres dari Tamil Nadu menuju ke Delhi terhidu bau busuk yang datang daripada sebuah beg pakaian di dalam gerabak tanpa tempahan selepas kereta api itu tiba di Agra.

Polis Kereta Api Kerajaan yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian memeriksa beg berkenaan sebelum menemukan mayat seorang wanita tanpa kepala dan dikerat-kerat.

Polis kereta api di Stesen Kereta Api Pusat Puratchi Thalaivar Dr M G Ramachandran dimaklumkan mengenai penemuan itu sebelum melancarkan siasatan terperinci bersama polis kereta api Agra.

Selepas meneliti lebih 350 rakaman kamera litar tertutup, polis mengenal pasti sepasang suami isteri yang membawa beg pakaian berkenaan di Stesen Kereta Api Pusat Chennai. Pada masa sama, anak lelaki mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan ibunya di Balai Polis Guduvanchery.

Satu pasukan polis yang diketuai Rajan dari Balai Polis Guduvanchery kemudian menyerbu sebuah rumah sewa di Mosque Street, Guduvanchery, lokasi polis menemukan beberapa bahagian tubuh mangsa di dalam sebuah periuk besar.

Pemeriksaan forensik dan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) kemudian mengesahkan identiti mangsa sebagai Hayathun Nisha, yang berasal dari Odisha.

"Kedua-dua suspek tinggal di kediaman mangsa dan sudah mengenalinya sejak beberapa tahun lalu. Polis Guduvanchery mengklasifikasikan semula kes kehilangan orang sebagai kes bunuh dan sedang mengesan individu yang terbabit serta motif di sebalik kejadian," katanya.

Siasatan mendapati pasangan itu meletakkan beg pakaian berkenaan di dalam kereta api Tamil Nadu Express pada 3 Ogos lalu sebelum melarikan diri ke Manipur. 
-hmetro

Tipu, ubah wang haram, pegawai bank dipenjara 7 tahun, denda RM40 juta

Bernama

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, 24 sebatan dan denda RM40 juta terhadap seorang pengurus perhubungan sebuah bank antarabangsa yang mengaku bersalah atas 16 pertuduhan penipuan serta lapan pertuduhan pengubahan wang haram.

Kho Yung Kang, 39, didakwa menipu lapan warga emas berusia lingkungan 60 hingga 75 tahun membabitkan RM1.58 juta menerusi skim pelaburan bon tidak wujud dan melakukan pengubahan wang haram di bank tempat beliau bekerja antara September 2022 hingga Februari 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Hakim Iris Awen Jon memerintahkan Kho dihukum penjara antara tiga dan empat tahun dengan satu sebatan bagi setiap pertuduhan menipu manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram, dia dihukum penjara tiga tahun, denda RM5 juta atau empat bulan penjara dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 23 Mei 2025.

Menurut fakta kes, Kho bertanggungjawab membantu pelanggan dalam urusan pelaburan termasuk amanah saham, bon dan akaun tetap selain urusan kiriman wang tempatan atau asing.

Modus operandi tertuduh ialah menawarkan suatu pelaburan baharu yang kononnya menjanjikan pulangan lebih tinggi kepada pelanggan bank tempat dia bekerja.

Kho kemudian memperoleh tandatangan dan pengesahan biometrik pelanggan ketika membuat representasi namun wang berkenaan tidak digunakan untuk tujuan pelaburan.

Sebaliknya, wang itu dipindahkan daripada akaun pelanggan ke akaun pihak ketiga melalui DuitNow, pindahan antara bank atau Perintah Juruwang tanpa pengetahuan atau persetujuan pelanggan untuk kegunaan peribadi tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng dan Maryam Jamielah Ab Manaff manakala Kho tidak diwakili peguam.

Kelantan: Pelancong El Salvador maut dipercayai akibat langgar lari

FMT Reporters

Kejadian berlaku malam tadi ketika wanita itu dipercayai berjalan kaki di bahu jalan di Pasir Puteh.
Seorang pelancong warga asing berusia 29 tahun maut di tempat kejadian dipercayai akibat langgar lari.
PETALING JAYA: Seorang pelancong dari Republik El Salvador maut dalam kemalangan disyaki langgar lari di KM24.5 Jalan Persekutuan Melawi-Kuala Besut di Pasir Puteh, Kelantan, malam tadi.

Ketua Polis Pasir Puteh Saari Yaacob berkata, kejadian berlaku kira-kira 9.44 malam ketika wanita berusia 29 tahun itu dipercayai berjalan kaki di bahu jalan berhampiran sebuah hotel, menghala ke Kuala Besut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian (dan) dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Saari berkata, siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih dijalankan bagi mengenal pasti kenderaan serta pemandu terbabit.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik IPD Pasir Puteh Abdul Munir Mohd Fauzi di talian 013-9872579 bagi membantu siasatan.

Pemandu ambulans didakwa pandu melulu sebabkan kematian pelajar kolej

FMT Reporters

Tertuduh, Mohd Noorikhmal Baharuddin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.
kemalangan ambulans
Tertuduh, Mohd Noorikhmal Baharuddin, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jasin hari ini atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal yang juga pelajar sebuah kolej.
PETALING JAYA: Seorang pemandu ambulans swasta didakwa di Mahkamah Majistret Jasin hari ini atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal yang juga pelajar sebuah kolej, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Noorikhmal Baharuddin, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Senin, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memandu ambulans jenis Toyota Hiace secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Amirul Asyraaf Md Azizan, 18, di lampu isyarat simpang tiga Kampung Ayer Merbau, di sini, kira-kira 9.15 pagi, 26 Ogos lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memiliki lesen memandu bagi tempoh tidak lebih lima tahun.

Pegawai Pendakwa Mohd Hafiz Othman mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Kharen Jit Kaur.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh berserta syarat lesen memandu digantung sementara sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, tertuduh melalui peguamnya memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 September depan untuk sebutan semula kes.

Lelaki cetus provokasi ketika sambutan Hari Kebangsaan ditahan

Safeek Affendy Razali
Tular seorang lelaki dipercayai mencetuskan provokasi semasa sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada Isnin
KUALA LUMPUR : Seorang tukang masak ditahan selepas disyaki melakukan provokasi semasa sambutan Hari Kebangsaan 2026, di Dataran Putrajaya, awal pagi kelmarin.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di Putrajaya, tengah hari semalam, selepas lima laporan polis dibuat terhadapnya kerana melakukan provokasi supaya merempuh pagar tempat duduk bagi menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Suspek terbabit telah membuat provokasi sehingga menyebabkan orang ramai yang berada berhampirannya merempuh barisan hadapan untuk merebut tempat duduk di Dataran Putrajaya.

Akibat kejadian rempuhan itu, beberapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan selepas terjatuh akibat ditolak.

Difahamkan hari ini, pihak polis akan mendapatkan kebenaran menahan reman suspek terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan penahanan suspek untuk siasatan lanjut.

“Ya kita telah menahan lelaki berbaju oren ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.

Lelaki berkenaan juga diminta hadir ke IPD Putrajaya bagi membantu siasatan.

Terdahulu tular video seorang lelaki berbaju oren mencetuskan provokasi yang dimuat naik dilaman Facebook berdurasi 2 minit 18 saat.

Kejadian ini dipercayai berlaku kira-kira jam 5 pagi.

Terlupa tarik brek tangan, warga emas maut digilis lori

Buletin TV3

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas maut digilis lori yang dipandunya selepas kenderaan berat itu menggelongsor ketika berhenti di hadapan sebuah kilang ayam di Taman Mawar, Machap Baru, semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Beliau berkata, mangsa warga tempatan berusia 72 tahun dilapor memberhentikan lori dipandunya di hadapan pintu utama kilang berkenaan sebelum turun dari kenderaan terbabit dan berjalan menuju ke pondok pengawal.

“Mangsa dipercayai terlupa menarik brek tangan sehingga menyebabkan lori itu menggelongsor sebelum melanggar dan menggilis mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

‘Tergamak sumbat bayi hidup-hidup dalam tong sampah’

NOOR HASLIZA NUSI
Tangkap layar penemuan bayi yang masih bertali pusat di LTAPP.
GEORGE TOWN – Tular penemuan seorang bayi yang masih bertali pusat di sebuah tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas di sini, semalam.

Kejadian itu dikongsikan seorang pengguna di media sosial yang memaklumkan penemuan bayi oleh seorang tukang cuci di lokasi berkenaan.

“Gamak buang bayi dalam tong sampah. Apalah yang kejam sangat ni ya Allah.

“Lokasi kejadian di airport Penang..Cleaner kerja situ yang jumpa bagi dalam tong sampah,” tulisnya.

Video tersebut turut mendapat pelbagai komen dan kritikan daripada pengguma berhubung tindakan si pelaku yang tergamak melakukan perbuatan sedemikian.

“Allahu, senangnya beranak. Orang lain sampai kena czer bagai, ini buang pulak,” komen seorang pengguna.

Malah, ada juga pengguna yang berkongsi momen bahagia bersama anak-anak dengan memuat naik pelbagai kapsyen pada gambar mereka.

Bagaimanapun, sehingga setakat ini masih tiada sebarang pengesahan daripada pihak berkuasa berhubung penemuan bayi tersebut. -KOSMO! ONLINE

Jurang antara retorik, dasar PAS buat bukan Islam terus berwaspada

Moaz Nair

Pengundi bukan Islam menilai PAS berdasarkan pelaksanaan dasar di negeri ditadbirnya dan sejauh mana retorik pemimpin selari dengan tindakan, bukan sekadar janji manifesto.
hadi awang muktamar pas
Kenyataan kepimpinan PAS bahawa “Islam paling berupaya menyelesaikan masalah masyarakat majmuk” sering berdepan cabaran untuk diterima dan mendapat keyakinan masyarakat bukan Islam.

Golongan minoriti cenderung melihat naratif itu sebagai retorik politik yang bertujuan meraih sokongan pilihan raya.

Pada asasnya, keraguan masyarakat bukan Islam terhadap PAS berpunca daripada perbezaan ideologi politik, kebimbangan mengenai perlindungan hak yang dijamin Perlembagaan serta kesan lebih luas dasar berteraskan agama.

Walaupun PAS memperkenalkan beberapa mekanisme yang dilihat lebih inklusif, terutama menaik taraf Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) sebagai sayap bersekutu, masih ada jurang ketara antara jaminan rasmi parti dengan realiti retorik dan pelaksanaan dasarnya.

Peranan bukan Islam

Dari sudut organisasi, menaik taraf DHPP sebagai sayap rasmi tidak mengubah kedudukan asas ahli bukan Islam kerana mereka masih dianggap ahli bersekutu, bukan ahli penuh.

Peringkat tertinggi dalam proses membuat keputusan dan menggubal dasar parti pula kekal di bawah Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama, yang tidak mempunyai penyertaan bukan Islam.

Struktur hierarki itu mengukuhkan persepsi bahawa wakil golongan minoriti dalam PAS tidak mempunyai pengaruh politik yang benar-benar bermakna.

Akibatnya, usaha institusi dan penubuhan sayap tertentu sering dilihat sekadar perubahan kosmetik atau langkah pragmatik untuk menghadapi pilihan raya, terutama apabila tindakan kepimpinan tidak menunjukkan keterangkuman yang sebenar.

‘Naratif ‘ketuanan Melayu-Islam’

Kebergantungan PAS kepada naratif ‘ketuanan Melayu-Islam’ serta agenda penyatuan ummah bagi mengukuhkan sokongan terasnya secara tidak langsung menyebabkan sebahagian masyarakat bukan Melayu berasa terpinggir.

Wacana politik yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama, yang sering dimainkan segelintir pemimpin parti, turut meningkatkan polarisasi masyarakat dan menjejaskan rasa selamat dalam kalangan kumpulan minoriti.

Dari sudut ekonomi, dasar berasaskan pegangan agama seperti larangan perjudian dan sekatan penjualan arak atas alasan menjaga nilai moral memberi kesan langsung kepada perniagaan bukan Islam yang terlibat dalam sektor berkenaan.

Kesan dasar sedemikian bukan sekadar mengecilkan pasaran dalam sektor terbabit, tetapi turut dianggap sebagai campur tangan terhadap kebebasan gaya hidup yang dilindungi dalam kerangka undang-undang sivil.

Cabaran terhadap mahkamah sivil

Pelaksanaan peraturan berasaskan moral di negeri yang ditadbir PAS seperti Kelantan dan Kedah, termasuk tindakan terhadap peniaga bukan Islam kerana melanggar syarat pakaian yang dianggap ‘sopan’, menunjukkan norma moral Islam semakin menyentuh kehidupan masyarakat bukan Islam.

Keadaan itu menimbulkan persoalan lebih besar mengenai sejauh mana kebebasan budaya dan peribadi golongan minoriti dapat terus dipelihara.

Selain itu, jaminan bahawa cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), atau RUU 355, hanya terpakai kepada orang Islam masih gagal meredakan kebimbangan mendalam masyarakat bukan Islam.

Pengkritik bimbang usaha memperluas bidang kuasa mahkamah syariah, di samping agenda jangka panjang melaksanakan undang-undang jenayah Islam atau hudud, boleh menjejaskan keseimbangan sistem perundangan dwi Malaysia.

Mereka berhujah bahawa perluasan kuasa perundangan berasaskan agama secara berperingkat berpotensi mengubah struktur Perlembagaan Persekutuan dan mencabar kedudukan mahkamah sivil sebagai pelindung kesamarataan perlembagaan serta peluang ekonomi yang adil.

Retorik yang memecah-belahkan

Model pentadbiran PAS yang menekankan kepimpinan mutlak ulama turut menimbulkan persoalan dari segi teori dan amalan mengenai bagaimana prinsip perwakilan yang setara boleh dilaksanakan dalam sebuah negara persekutuan yang majmuk.

Walaupun kelompok teknokrat dan pemimpin peringkat pertengahan parti cuba menampilkan imej lebih sederhana dan berorientasikan pentadbiran, retorik yang memecah-belahkan daripada kepimpinan tertinggi terus menjejaskan usaha itu.

Ini termasuk kenyataan yang secara terbuka mengaitkan bukan Islam dengan rasuah dan keruntuhan moral, sekali gus mengekalkan jurang kepercayaan yang besar.

Kesimpulannya, pengundi bukan Islam masih mengambil pendekatan pragmatik dengan memilih untuk ‘tunggu dan lihat’.

Penilaian mereka terhadap PAS bukan bersandarkan janji manifesto atau perubahan struktur yang bersifat luaran.

Sebaliknya, ia diukur melalui kesan sebenar dasar di negeri yang ditadbir PAS serta sejauh mana ucapan dan pendirian kepimpinan parti itu konsisten dengan tindakan mereka.

Moaz Nair adalah pembaca FMT.
-fmt

1 lagi suspek ditahan kes warga emas maut disamun di Teluk Intan

Bernama

IPOH: Seorang lagi suspek ditahan selepas disyaki terbabit kes samun yang menyebabkan kematian lelaki warga emas di Teluk Intan pada 17 April lalu.

Ketua Polis Hilir Perak, Chua Kok Lian, berkata lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di Klang, Selangor pada 26 Ogos lalu hasil Ops Kesan/Wanted.

Menurutnya, penahanan itu hasil usaha berterusan polis dalam mengesan dan membawa individu dipercayai terbabit kes kematian lelaki berusia 69 tahun itu ke muka pengadilan.

Beliau berkata, empat rakan sejenayah suspek didakwa di mahkamah pada 7 Mei lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

“Hasil siasatan lanjut, kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan arahan diterima supaya suspek turut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

“Suspek yang dalam tempoh reman akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada 2 Sept bagi menghadapi pertuduhan tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Chua berkata, usaha mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu terbabit kegiatan jenayah akan terus dipergiatkan bagi memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan.

Beliau meminta orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah supaya menyalurkan kepada polis bagi membantu usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di daerah Hilir Perak.

Pada 17 April lalu, media melaporkan seorang warga emas maut akibat dilibas senjata tajam dipercayai parang dalam kejadian samun oleh sekumpulan lelaki di sebuah kediaman di Pekan Baru, Teluk Intan.

Chua dilaporkan berkata, mangsa parah di tangan kanan dan tapak tangan kiri, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Susulan itu, empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada 7 Mei lalu atas pertuduhan membunuh warga emas terbabit menggunakan senjata tajam dipercayai parang.

‘Dengar dentuman kuat, feri bergoyang kiri kanan’

NOOR HASLIZA NUSI
Tangkap layar mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital berhampiran.
GEORGE TOWN – “Ramai penumpang menjerit. Feri tiba-tiba bergoyang kiri dan kanan.”

Itu pengalaman yang dikongsikan seorang penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai Zaidi ketika insiden pelanggaran Feri Teluk Bahang dengan Kapal MV Mekar Jaya, kira-kira pukul 8.40 malam tadi.

Menurutnya, ketika kejadian feri berkenaan dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth.

“Jarak masa lebih kurang lima minit untuk tiba ke terminal. Ketika itu, terdapat kira-kira 45 hingga 50 biji motosikal. Saya pula duduk di bahagian belakang ruang motosikal,” katanya kepada Kosmo! di sini, malam tadi.

Dakwanya lagi, insiden dikatakan berlaku ketika sebuah kapal kargo melintas di hadapan feri berkenaan.

“Nampak seperti kapal kargo gelap melintas depan feri sebelum bunyi dentuman besi yang sangat kuat di bahagian hadapan.

“Penumpang memang ramai dan semua cemas. Feri bergoyang kiri dan kanan sebelum berpusing. Akibat pelanggaran itu, banyak motosikal yang terbalik dan penunggangnya terjatuh. Saya cuba beri bantuan kepada mereka.

“Ada penumpang yang mengalami kecederaan pada kepala, tangan dan kaki. Mereka kemudiannya dibawa dengan ambulans ke hospital sebaik tiba di terminal,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seramai 21 penumpang feri dilaporkan cedera dalam insiden pelanggaran Feri Teluk Bahang dengan kapal MV Mekar Jaya di had perairan Pelabuhan Pulau Pinang di Butterworth di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku ketika kapal MV Mekar Jaya sedang bergerak dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) menuju ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) manakala, feri berkenaan sedang dalam perjalanan ke Pengkalan Sultan Abdul Halim. – KOSMO! ONLINE

Feri Pulau Pinang berlanggar, 6 cedera parah

Dineskumar Ragu

Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang berkata pelanggaran itu melibatkan Feri Teluk Bahang dan kapal MV Mekar Jaya.
Video tular menunjukkan keadaan motosikal dalam feri Pulau Pinang yang jatuh selepas feri itu berlanggar dengan sebuah kapal lain ketika dalam perjalanan ke Terminal Feri Butterworth.
GEORGE TOWN: Enam penumpang sebuah feri Pulau Pinang cedera parah selepas kapal itu berlanggar dengan sebuah lagi kapal malam ini, kata Jabatan Bomba Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata kemalangan yang berlaku kira-kira 8 malam itu melibatkan 92 mangsa, dengan enam daripada mereka cedera parah dan dibawa ke hospital.

“Keadaan di terminal terkawal, dengan mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital manakala penumpang lain telah meninggalkan lokasi,” kata jabatan itu.

Ini merupakan perlanggaran pertama yang dilaporkan melibatkan perkhidmatan feri katamaran sejak ia mula beroperasi pada Ogos 2023.

Terdahulu, The Star melaporkan bahawa perlanggaran itu berlaku ketika feri tersebut dalam perjalanan ke Terminal Feri Butterworth dari Terminal Feri Raja Tun Uda di bahagian pulau.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), Yeoh Soon Hin dalam kenyataan berkata pelanggaran itu melibatkan Feri Teluk Bahang dan kapal MV Mekar Jaya yang berlaku dalam had Pelabuhan Pulau Pinang.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, MV Mekar Jaya dilaporkan sedang melakukan pergerakan dari Dermaga Air Dalam Butterworth ke Swettenham Pier Cruise Terminal.

“Operasi perkhidmatan feri adalah berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan insiden tersebut.

“SPPP bersama-sama Penang Port Sdn. Bhd. akan mengambil segala langkah yang sewajarnya bagi memastikan tindakan susulan yang diperlukan dapat dilaksanakan berkaitan penumpang yang terlibat serta keselamatan dan kelancaran operasi pelabuhan sentiasa terjamin,” katanya.

163 kanak-kanak hilang termasuk bayi 2 bulan diselamatkan

KOSMO!
ANGGOTA penguatkuasaan undang-undang Florida melakukan operasi menyelamat kanak-kanak besar-besaran yang berlangsung selama lima hari. – AGENSI 
WASHINGTON – Seramai 163 kanak-kanak hilang, termasuk berpuluh-puluh mangsa di kawasan Miami,  ditemukan menerusi operasi penyelamatan kanak-kanak terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat, lapor saluran berita NBC Miami semalam.

Operasi dinamakan Statewide Shield itu berlangsung dari 17 hingga 21 Ogos lalu dengan tumpuan untuk mengenal pasti, mengesan dan menyelamatkan kanak-kanak hilang berumur di bawah 18 tahun, demikian menurut Jabatan Penguatkuasaan Undang-Undang Negeri Florida (FDLE).

Kanak-kanak yang diselamatkan pula berumur antara 2 bulan hingga 17 tahun, dengan  ramai antara mereka mengalami pelbagai tahap penderaan, pengabaian, eksploitasi atau pendedahan kepada aktiviti jenayah,  kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan media.

Menurut FDLE, Pejabat Pendakwaan Seluruh Negeri di bawah Peguam Negeri Florida, James Uthmeier bersama Pejabat Pendakwa Raya Miami-Dade kini mengambil alih tiga kes jenayah berat hasil daripada operasi tersebut.

Kenyataan media berkenaan tidak menyediakan maklumat lanjut mengenai kemungkinan tangkapan dibuat.

“Ramai  kanak-kanak ini telah menjadi mangsa kepada pihak yang mengeksploitasi golongan paling rapuh,” kata Uthmeier yang dipetik dalam kenyataan media itu.

“Hasil kerja cemerlang FDLE, Pejabat Pendakwaan Seluruh Negeri, serta rakan kerjasama negeri dan tempatan kami, kanak-kanak ini kini selamat dan menerima jagaan yang sepatutnya.

“Florida akan terus memimpin usaha menyelamatkan kanak-kanak yang hilang, memburu setiap pemangsa dan mendakwa mereka yang melakukan penderaan mengikut undang-undang,” tambahnya. – AGENSI