"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelancong India lemas lepas tanggal alat selaman

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
PERAIRAN Renggis Pulau Tioman yang merupakan lokasi mangsa terjatuh selepas melakukan selaman.
ROMPIN – Kegembiraan seorang pelancong wanita warganegara India yang naik ke atas bot selepas melakukan selaman skuba berakhir dengan tragedi apabila dia terjatuh semula ke dalam laut selepas menanggalkan alat selaman sebelum ditemukan lemas di Perairan Renggis dekat Pulau Tioman di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian berlaku ketika mangsa Sabiya Shiek,65, keluar bersama tujuh ahli keluarganya ditemani dua jurulatih dan seorang ‘dive master’ ke Perairan Renggis Pulau Tioman untuk melakukan aktiviti ‘discovery scuba diving’.

“Semasa melakukan aktiviti semalam, mangsa naik ke permukaan air dan memberitahu jurulatih untuk balik semula ke dalam bot setelah menyelam selama lebih kurang 15 minit sebelum jurulatih menghantar mangsa ke bot.

“Semasa hendak naik ke atas bot mangsa dibantu anaknya menanggalkan peralatan selaman dan semasa memanjat tangga bot sambil berpegang tangan anak perempuannya, mangsa tergelincir dan jatuh semula ke dalam laut dan tidak timbul,”katanya di sini hari ini.

Menurut Sharif Shai setelah pencarian dilakukan oleh jurulatih dalam masa kira-kira 15 minit, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri terdampar di dasar berpasir tidak jauh dari kawasan selaman.

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Kg Tekek pada pukul 12.29 tengah hari sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas.

“Pada kira-kira pukul 2.28 petang saksi telah datang ke Balai Polis Pulau Tioman untuk membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Nahas LPT 1: 12 hari bertarung nyawa, pemandu CRV meninggal dunia

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
KEADAAN kenderaan dinaiki mangsa yang terlibat dalam kejadian kemalangan
TEMERLOH – Selepas kira-kira 12 hari bertarung nyawa seorang lagi mangsa kemalangan melibatkan 11 kenderaan yang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh meninggal dunia semalam.

Mangsa Sebastian Seow Jhen,18, yang merupakan pemandu Honda CRV meninggal dunia petang semalam.

Kematian terbaharu ini menjadikan jumlah mangsa yang maut dalam kemalangan tragis itu meningkat kepada lima orang.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika dirawat di hospital petang semalam.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan perjalanan pulang tiga beranak selepas menyambut Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada Isnin lalu berakhir dengan tragedi apabila mereka maut selepas dirempuh treler simen di Kilometer 110.3 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1).

Lebih memilukan Allahyarham Muhammad Nazatul Nazmi,32, bersama isteri, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan,32, dan anak mereka, Muhammad Armaan Nazeef,4, kali pertama menyambut Hari Kemerdekaan di luar negeri Pahang.

Turut terkorban dalam kejadian kemalangan ngeri membabitkan 11 kenderaan itu ialah penumpang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV iaitu Seow Beng Wain,55, manakala pemandu Honda CRV dan pemandu treler cedera parah. – KOSMO! ONLINE

2 lelaki langgar kereta peronda diburu

Bernama

Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof berkata suspek yang menaiki Proton Wira rempuh kenderaan polis ketika melarikan diri daripada pemeriksaan.
Tangkap layar video tular menunjukkan sebuah kereta Wira merempuh sebuah kereta peronda polis ketika cuba ditahan di Jalan Semenyih berhampiran lampu isyarat Kajang Prima, petang semalam.
KAJANG: Polis sedang mengesan dua lelaki yang meloloskan diri dengan sebuah kereta selepas cuba diperiksa anggota Unit Kereta Peronda (MPV) di Jalan Semenyih berhampiran lampu isyarat Kajang Prima, petang semalam.
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof berkata kejadian berlaku kira-kira 3.15 petang ketika anggota MPV Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPD Kajang menjalankan rondaan di kawasan itu.

Beliau berkata anggota terbabit cuba menjalankan pemeriksaan serta mendapatkan dokumen pengenalan diri daripada dua lelaki yang menaiki sebuah Proton Wira berwarna hijau.

“Kedua-dua individu berkenaan, iaitu pemandu dan penumpang kereta tersebut, kemudian bertindak melarikan diri dengan kenderaan berkenaan menuju ke arah Kajang,” katanya dalam kenyataan.

Naazron berkata ketika melarikan diri, kereta dipandu suspek melanggar sebuah Perodua Ativa sebelum merempuh MPV polis.

Akibat kejadian itu, kenderaan MPV polis mengalami kerosakan pada bahagian pintu hadapan sebelah kanan, bagaimanapun tiada orang awam atau anggota polis yang cedera,” katanya.

Beliau berkata usaha mengenal pasti dan mengesan kedua-dua suspek sedang dijalankan, termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka, selain keterangan saksi.

Naazron berkata kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Azlan Zulkiflee di talian 017-316 1138 atau mana-mana balai polis berhampiran.l

Zahid cabar PH singkir BN dari kerajaan

Haspaizi Zain

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi hari ini secara terbuka mencabar Pakatan Harapan (PH), yang diketuai oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai pengerusi, untuk menyingkirkan BN daripada kerajaan perpaduan.

Menyasarkan penyokong PH yang tidak berpuas hati dengannya kerana mengkritik dasar kerajaan, Zahid mengingatkan bahawa kerajaan persekutuan akan runtuh tanpa BN.

"Satu (pilihan buat PH) dapatkan semula mandat baru dengan mengadakan pilihan raya umum (PRU).

"Kedua, keluarkan kami (BN) secara rasmi (dengan) buat undi tidak percaya di Dewan Rakyat, bubar (Parlimen)," katanya ketika berucapan pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Hidayah: Bekas penerjun wanita negara, Kimberly peluk Islam

Saiful Affendy Sapran
Kimberly berkongsi berita gembira di akaun Instagram miliknya. Foto Kimberly Bong
KUALA LUMPUR: Bekas penerjun wanita negara, Kimberly Bong Qian Ping mengumumkan dirinya sudah memeluk agama Islam pada Julai lalu.

Berita itu dikongsikan sendiri Kimberly menerusi akaun Instagram miliknya dengan menyifatkan keputusan berkenaan sebagai antara detik paling istimewa dalam hidupnya.

“Tidak pernah berasa lebih bangga dengan keputusan yang saya buat pada Julai. Benar-benar antara detik yang paling istimewa. Alhamdulillah,” tulisnya.

Kimberly yang sinonim dengan acara tiga meter papan anjal dan platform 10 meter mula mencuri perhatian ketika berusia 14 tahun apabila mewakili negara pada Kejohanan Grand Prix (GP) Terjun FINA Australia 2016.

Sepanjang hampir 15 tahun dalam sukan terjun, Kimberly melakar pelbagai pencapaian di pentas antarabangsa, termasuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA dan Terbuka Malaysia 2023.

Beliau turut meraih pingat perak dan gangsa pada Sukan SEA 2021 serta 2017 sebelum mengumumkan persaraan daripada sukan terjun pada 2024.

Dalam perkembangan sama, Kimberly dilaporkan bakal bergelar isteri kepada bekas penyerang skuad Bawah 23 (B-23) negara, Danial Asri yang kini beraksi bersama kelab DPMM.

Spekulasi itu semakin hangat apabila Danial turut dilihat berkongsi hantaran Kimberly mengenai penghijrahannya itu menerusi Insta Story miliknya.

Disyaki bunuh ibu kandung, seorang lelaki ditahan

Bernama

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan selepas disyaki membunuh ibunya di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, Tambunan semalam.

Ketua Polis Daerah Keningau Supt Erwansyah Abdul Basir berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan wanita berusia 56 tahun itu kira-kira 2 petang, sebelum bertindak menjejak suspek.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dipercayai disebabkan senjata tajam.

"Suspek berjaya dikesan dan ditahan oleh penduduk kampung di sebuah sulap (pondok tradisional) di Kampung Sukung, Tambunan sebelum dibawa ke Balai Polis Tambunan menggunakan kenderaan mereka.

"Setibanya di pekarangan Balai Polis Tambunan, tangkapan rasmi telah dibuat oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambunan ialah sebuah daerah pedalaman Sabah terletak 72 kilometer Timur dari Kota Kinabalu.

Erwansyah berkata pasukan penyiasat dan forensik telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian serta merampas beberapa barang kes yang dipercayai berkaitan dengan insiden berkenaan.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat manakala kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kes ini," katanya.

-- BERNAMA

Ketua sami seleweng lebih RM12 juta ditahan bersama pembantu wanita

Agensi
POLIS mengiringi warga emas berkenaan keluar dari Wat Phutthaisawan di Ayutthaya selepas dilucutkan jawatan sebagai sami pada Khamis. FOTO Agensi.
POLIS mengiringi warga emas berkenaan keluar dari Wat Phutthaisawan di Ayutthaya selepas dilucutkan jawatan sebagai sami pada Khamis. FOTO Agensi.
Bangkok: Seorang bekas ketua sami berusia 66 tahun yang didakwa menyeleweng 100 juta baht (kira-kira RM12.32 juta) daripada sebuah kuil terkenal di Ayutthaya ditahan polis, Khamis bersama seorang wanita yang dipercayai membantunya menguruskan wang berkenaan, lapor Bangkok Post.

Polis turut menemukan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan bekas ketua sami itu melakukan hubungan intim dengan wanita terbabit di kediamannya.

Polis menyerbu kediaman warga emas itu di Wat Phutthaisawan, sebuah biara diraja purba di subdaerah Samphao Lom, daerah Muang pada jam 6 pagi.

Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat (CIB), Polis Leftenan Jeneral Natthasak Chaowanasai berkata, siasatan bermula selepas pihaknya menerima aduan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana kuil dan penyerahan wang kepada seorang rakan wanita untuk disembunyikan menggunakan nama orang lain.

Katanya, siasatan secara sulit menemukan bukti yang menyokong dakwaan berkenaan yang mana siasatan mendapati ketua sami itu didakwa mengeluarkan lebih 20 resit sumbangan atas nama kuil tanpa kebenaran menyebabkan kerugian keseluruhan kira-kira 100 juta baht (kira-kira RM12.32 juta) dalam tempoh lebih dua tahun.

Menurut polis, wanita yang ditahan itu dipercayai membantu bekas ketua sami berkenaan menguruskan wang yang diselewengkan. Puluhan juta baht dilaporkan mengalir menerusi akaun bank wanita itu setiap tahun.

Dia ditahan atas pertuduhan bersubahat dengan pegawai negeri dalam aktiviti haram. Mengikut undang-undang, ramai sami dianggap pegawai negeri kerana menerima elaun bulanan daripada kerajaan.

Warga emas berkenaan dilantik sebagai ketua sami Wat Phutthaisawan pada 2022 dan turut dikenali dalam perdagangan azimat kerana menghasilkan azimat Buddha terkenal termasuk syiling "Nuea Duang" yang menjadi rebutan ramai penganut.

Selepas ditahan, dia diiringi ke dewan perkahwinan kuil sebelum jubah putih disediakan untuk upacara pelucutan jawatan sami. Suspek kemudian kembali menggunakan nama asalnya sebelum ditahan polis dan dibawa ke CIB untuk siasatan lanjut.

Penyiasat mendakwa bekas ketua sami itu turut menyalahgunakan hasil jualan azimat serta barangan keagamaan lain dengan memindahkan wang berkenaan ke akaun peribadi manakala resit sumbangan dikeluarkan atas nama kuil yang dikatakan menyerupai modus operandi dalam skandal berprofil tinggi membabitkan Wat Phrabat Namphu di Lop Buri yang mengalami kerugian dianggarkan 10 bilion baht (RM1.298 bilion).

Pemeriksaan di rumah pembantu wanita itu di daerah Khlong Luang, Pathum Thani pula membawa kepada penyitaan 35 azimat emas, jongkong emas dan barang kemas seberat 90 baht (1.36 kilogram) bernilai kira-kira 6.04 juta baht (kira-kira RM742,000).

Polis turut merampas wang tunai 3.6 juta baht (kira-kira RM443,000), tiga telefon bimbit, iPad, dokumen tanah dan bank, buku simpanan, dokumen pelaburan, polisi insurans serta dokumen berkaitan emas dan loteri.

Penyiasat berkata, kes itu mungkin turut membabitkan dua atau tiga individu lain termasuk lebih daripada seorang Wanita manakala seorang pentadbir awam Wat Phutthaisawan, Chettha Ninsukhum, turut dibawa ke CIB untuk disoal siasat, namun dia enggan menjawab soalan wartawan sebelum dibawa masuk ke bangunan berkenaan.
-hmetro

Terlelap ketika memandu, lori rempuh kedai nasi lemak

NURUL IZZATI ZAINI
Tangkap layar video tular memaparkan pemandu sebuah lori dipercayai terlelap sebelum merempuh gerai nasi lemak di Batu 12, Cheras, semalam.
KAJANG – Gara-gara dipercayai terlelap ketika memandu, seorang pemandu lori hilang kawalan sebelum merempuh struktur hadapan sebuah kedai nasi lemak di Batu 12, Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya mengesan rakaman video kejadian yang tular di media sosial kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi sebelum menjalankan siasatan.

Menurutnya, kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu membabitkan sebuah lori yang dalam perjalanan menghala ke Cheras.

“Siasatan awal mendapati pemandu lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dipercayai terlelap ketika memandu sehingga menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan.

“Lori berkenaan kemudian melanggar struktur hadapan sebuah kedai nasi lemak di Jalan Batu 12, Cheras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Naazron, akibat kejadian, lori mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan manakala kedai makan terbabit mengalami kerosakan pada payung perniagaan serta kelengkapan dapur.

Menurut beliau, anggaran kerugian dialami pemilik kedai adalah kira-kira RM500, manakala tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan dengan baik.

Terdahulu rakaman tersebut tular di Thread apabila seorang pengguna memuat naik video rakaman kamera papan pemuka memaparkan kejadian tersebut.

Menerusi video berkenaan, selepas rempuhan itu, lori tersebut dilihat meninggalkan kawasan tersebut tanpa berhenti sekali gus mengundang kecaman orang ramai. – KOSMO! ONLINE

Mayat lelaki tanpa pakaian ditemukan di tebing Sungai Langat

NURUL IZZATI ZAINI

KAJANG – Mayat seorang lelaki tanpa seurat benang ditemukan di tebing Sungai Langat berhampiran Seksyen 5, Bandar Baru Bangi, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat berkenaan kira-kira pukul 6 petang.

Menurutnya, susulan maklumat itu, sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan sebelum mengesahkan penemuan mayat tersebut.

“Pemeriksaan awal mendapati mayat seorang lelaki yang masih belum dikenal pasti identitinya ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian di tebing sungai berkenaan.

“Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut berada di lokasi bagi membantu mengeluarkan mayat dari tebing sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, pemeriksaan awal Unit Forensik mendapati tiada kesan kecederaan jelas pada fizikal mangsa yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

“Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

“Punca kematian masih belum dikenal pasti sementara menunggu keputusan analisis makmal dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Sutri Patang di talian 018-942 7088. – KOSMO! ONLINE

Lelaki Indonesia dipenjara, sembunyi gading gajah dalam termos

KOSMO!
GADING gajah itu disembunyikan di dalam sebuah termos. - NParks
SINGAPURA – Seorang lelaki warga Indonesia berusia 30 tahun dihukum penjara lapan minggu selepas ditangkap cuba menyeludup sebatang gading gajah ke Singapura, lapor laman berita Channel News Asia. 

Tertuduh dikenali sebagai Hafiludin dan merupakan seorang anak kapal, diberkas pada 9 Ogos lalu dengan gading seberat 550 gram yang disembunyikan di dalam sebuah termos. 

Kapal dinaiki tertuduh memasuki Singapura pada 8 Ogos dan Hafiludin turun bersama bagasinya sekitar pukul 12.15 tengah hari pada keesokan hari, demikian menurut dokumen mahkamah. 

Singapura merupakan pelabuhan persinggahan terakhir tertuduh sebelum dijadualkan pulang ke Indonesia. 

Pemeriksaan sinar-X ke atas bagasinya membawa kepada penemuan objek tajam dan runcing yang menyerupai gading gajah. 

Apabila disoal siasat, Hafiludin berulang kali mendakwa objek tersebut merupakan peranti berbentuk cerut yang diperbuat daripada plastik dan digunakan untuk merokok.

Hafiludin dilaporkan membeli gading pada itu beberapa bulan lebih awal daripada seorang pedagang bergerak yang menaiki kapalnya di Lagos, Nigeria, pada akhir Disember 2025.

Dia membeli gading tersebut pada harga AS$150 (RM611), dengan niat untuk dihadiahkan kepada bapanya.

Ujian makmal mengesahkan bahawa gading berkenaan berasal daripada gajah Afrika, walaupun spesies tepatnya tidak dapat dikenal pasti. – AGENSI

Pelancong Jerman maut ketika mendaki bersama isteri

Fazli Ahmad
Bomba mengusung mayat pelancong Jerman yang meninggal dunia selepas terjatuh di Gunung Jasar, Cameron Highlands, hari ini.- Foto NSTP
CAMERON HIGHLANDS: Seorang pelancong Jerman maut selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Jasar di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi, ketika Jorg Habelbusch, 58, mendaki gunung terbabit bersama isteri.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan seorang pelancong cedera ketika mendaki gunung itu pada jam 12.04 tengah hari.

Menurutnya, sejurus mendapat laporan, 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands bergegas ke lokasi.

Katanya, bomba terpaksa mendaki laluan curam dan mengambil masa lebih sejam untuk tiba di lokasi kejadian.

“Berdasarkan laporan, mangsa terjatuh di kawasan lurah bekas laluan air berhampiran puncak gunung.

“Ketika tiba di lokasi, didapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Zulfadli berkata, bomba dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pegawai Pejabat Perhutanan Daerah Cameron Highlands, terpaksa mengusung mayat mangsa melalui cerun berbahaya ke kaki gunung.

Menurutnya, operasi membawa turun mayat mangsa mengambil masa hampir tiga jam dan dilakukan ketika hujan lebat.

Isteri mangsa, Marina Dehne, 57, berkata beliau dan suami mula mendaki Gunung Jasar pada jam 10 pagi, hari ini.

Menurutnya, ketika suaminya melangkah kawasan cerun, mangsa terjatuh.

“Muka suami saya terbenam dalam lumpur dan seorang pendaki cuba membantu mengangkat dia tetapi gagal,” katanya ketika ditemui.

Marina berkata, beliau dan suami tiba di Cameron Highlands sejak semalam untuk percutian selama tiga hari di pusat peranginan itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, di sini, untuk proses bedah siasat.

Veteran Umno: Ucapan dasar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) hari ini disifatkan sebagai isyarat “perang” terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.eteran Umno:

Shakira Buang

Ucapan dasar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) hari ini disifatkan sebagai isyarat “perang” terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata, luahan Zahid dalam ucapan dasarnya mengesahkan keresahan dan kebimbangan yang selama ini dirasai anggota parti itu terhadap kerajaan.

“Memang, apa yang telah diluahkan setelah lapan tahun (selepas BN kalah pilihan raya umum) dia tunggu, hari ini dia luahkan segala-galanya dan luahan itu luahan perang.

“Jadi kita bersedia untuk berdepan dengan apa saja kebarangkalian dan kemungkinan yang akan berlaku,” katanya kepada Malaysiakini selepas ucapan dasar Zahid di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.

Menurut Mustafa, isyarat yang diberikan Zahid itu dijangka menjadikan perbahasan pada PAU kali ini lebih panas.

Katanya, Umno bukan sahaja bersedia untuk berdepan dengan kerajaan sedia ada di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH), khususnya Anwar, malah berhasrat untuk menawan semula Putrajaya.

“Saya rasa tak nak tambah banyak sebab apa yang dia cakap itu selama ini kita dah cakap dan hari ini dia mengesahkan keresahan dan kebimbangan, kesakitan hati kita orang Umno.

“Dan dia dah mengesahkan tadi, insya-Allah, bukan saja perang dengan kerajaan yang ada sekarang khususnya Anwar, kita juga bercita-cita untuk menawan balik Putrajaya,” katanya.

Mustafa turut menyifatkan ucapan dasar Zahid sebagai satu manifesto sekiranya Umno berjaya kembali menguasai Putrajaya.

“Ucapan presiden tadi sebagai manifesto sekiranya kita berjaya memenangi Putrajaya.

“Jadi saya tak nak cakap banyak sebab segala-galanya telah diluahkan oleh presiden tadi dan kita hanya tunggu saat dan ketikanya untuk kita meneruskan amanat tadi dan untuk menjalankannya,” katanya.

Hubungan Zahid-Anwar

Ditanya sama ada penegasan dan luahan Zahid itu menjadi bukti hubungan antara Presiden Umno berkenaan dengan Anwar kini tidak lagi sehaluan, Mustafa berkata perkara itu tidak lagi boleh disembunyikan.

“Tidak boleh disembunyikan lagi, sahih, sah dan tak ada benda nak sembunyikan lagi,” katanya.

Bagaimanapun, dia berkata kedudukan Zahid dan Anwar yang masih berada dalam kerajaan menyebabkan kedua-duanya perlu mengekalkan hubungan secara rasmi.

“Jadi, apa kedudukan sekarang ini oleh kerana kedua-duanya berada dalam kerajaan terpaksalah bermanis muka tapi hakikatnya tidak lagi,” katanya.

Bagaimanapun, bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengambil pendekatan berbeza dan enggan membuat tafsiran bahawa ketegasan Zahid itu membuktikan dia dan Anwar kini tidak lagi sehaluan.

“Itu tafsiran masing-masing, saya lebih suka melihat ini sebagai ucapan daripada bakal kerajaan akan datang.

“Hala tuju yang jelas untuk masa depan negara kita,” katanya ketika diminta mengulas sama ada ketegasan Zahid dalam ucapan dasarnya membuktikan hubungan timbalan perdana menteri itu dengan Anwar tidak lagi sebulu.

"Ucapan Zahid jelas bagi hala tuju Umno dan BN dalam pilihan raya yang akan datang, saya rumuskan ucapan ini, sebagai ucapan bakal perdana menteri untuk kerajaan akan datang," tambahnya.

Kelantan: Pati terjun sungai elak ditahan pihak berkuasa

Nor Fazlina Abdul Rahim
Lokasi lelaki terjun ke Sungai Golok ketika melarikan diri daripada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang meronda di kawasan pangkalan haram Abe Yie Parking di Rantau Panjang, Kelantan. – Foto PGA
RANTAU PANJANG: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Golok ketika cuba melarikan diri daripada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan rondaan di pangkalan haram Abe Yie Parking, di sini, awal pagi tadi.

Dua anggota PGA yang melakukan rondaan dengan berjalan kaki di sekitar pangkalan haram berkenaan menyedari kehadiran dua lelaki di tebing Sungai Golok berhampiran ‘concertina wire’ yang sudah dirosakkan, kira-kira jam 4.15 pagi.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi berkata, sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, kedua-dua lelaki terbabit terjun ke Sungai Golok dan berenang menuju ke tebing sungai di sebelah Thailand.

Beliau berkata, jarak antara anggota bertugas dengan kedua-dua lelaki berkenaan ketika kejadian adalah kira-kira lima meter.

“Anggota PGA melihat seorang daripada lelaki berkenaan sempat berpaut pada tali sebelum seorang pemandu bot dari Thailand datang menyelamatkannya dan membawanya ke tebing sungai sebelah Thailand.

“Seorang lagi lelaki hilang di dalam sungai, disyaki hanyut dan dikhuatiri lemas,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ahmad Radzi berkata, tiada rampasan dilakukan dalam kejadian itu.

Katanya, kejadian berkenaan turut dimaklumkan kepada Pegawai Pemerintah Medan Op Taring Wawasan Kelantan dan Pegawai Turus Gerakan Briged Tenggara PGA untuk tindakan selanjutnya.

“Seterusnya, Pegawai Pemerintah Medan Op Taring Wawasan Kelantan menghubungi Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor untuk memohon bantuan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Wanita mengaku rompak, cederakan datin guna kayu golf

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Nur Arisha Harmira mengaku bersalah merompak dan memukul ibu saudaranya dengan kayu golf dalam cubaan samun di Parit Raja, Batu Pahat. FOTO Alias Abd Rani
Nur Arisha Harmira mengaku bersalah merompak dan memukul ibu saudaranya dengan kayu golf dalam cubaan samun di Parit Raja, Batu Pahat. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Seorang suri rumah mengaku salah memukul ibu saudaranya yang bergelar datin menggunakan kayu golf dalam kejadian cubaan samun awal bulan ini.

Tertuduh, Nur Arisha Harmira Abd Halim, 28, membuat pengakuan itu ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Nur Arisha didakwa melakukan rompakan harta milik ibu saudaranya berusia 71 tahun menggunakan kayu golf hingga cedera, di sebuah rumah di Taman Manis 2, Parit Raja, dekat sini, pada jam 4.15 petang, 7 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan penuh perubatan mangsa dan fakta kes.

Sementara itu, tertuduh diwakili peguam, Siti Farha Garieb daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan, tidak boleh mengganggu mangsa dan hendaklah menyerahkan pasport kepada mahkamah dengan segera.

Berdasarkan laporan, kejadian berlaku ketika mangsa berseorangan di rumah manakala anaknya keluar kerana ada urusan.

Tertuduh memasuki rumah mangsa dan bertindak memukul ibu saudaranya menggunakan kayu golf milik arwah suami wanita itu di kepala dan kedua-dua pergelangan tangan hingga cedera.

Mangsa kemudiannya menjerit meminta pertolongan jiran yang menyebabkan tertuduh terburu-buru keluar dari rumah dan melarikan diri sambil membawa kayu golf.

Terengganu: Pelajar gugur bayi, minta bantuan masjid kebumikan

MEDIA MULIA
Polis melakukan pemeriksaan di lokasi seorang pelajar dipercayai melahirkan bayi di tandas asrama sebuah kolej di Dungun, Rabu lalu.
DUNGUN – Tindakan seorang pelajar perempuan meminta bantuan pengurusan sebuah masjid untuk menguruskan pengebumian bayinya membongkar kejadian dia melahirkan seorang bayi lelaki di tandas asrama sebuah kolej, di sini, malam Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, polis menerima laporan penemuan mayat bayi itu pada pukul 10.48 malam tadi dan siasatan awal mendapati pelajar berusia 19 tahun itu melahirkan bayi itu di tandas asrama selepas mengalami keguguran. 

Katanya, bayi yang dilahirkannya itu dianggarkan berusia lapan bulan. 

“Pelajar itu telah membungkus bayi yang dilahirkannya dengan kain sebelum memasukkannya ke dalam beg dan simpan di dalam loker asrama,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pelajar terbabit kemudian menghubungi pihak pengurusan sebuah masjid bagi meminta bantuan pengebumian, namun pihak terlibat pula telah memaklumkan perkara itu kepada pengurusan kolej berkenaan.

Katanya, polis akan mengesan teman lelaki pelajar terbabit bagi membantu siasatan selain mendapatkan keterangan daripada saksi berkaitan.

“Mayat bayi dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.

Agong tangguh permohonan Najib, bebaskan 65 banduan

Malaysiakini

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan untuk membebaskan 65 banduan pada hari ini dan kesemua banduan bukan warganegara hendaklah diusir pulang ke negara asal.

Pengusiran itu hendaklah dibuat dalam tempoh enam bulan.

Baginda bagaimanapun berkenan supaya permohonan pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya “yang akan diadakan kelak”.

Keputusan itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri sebentar tadi susulan mesyuarat lembaga itu hari ini.

Tarikh khusus mesyuarat akan datang tidak dinyatakan dalam kenyataan media ringkas itu hari ini.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan PH seolah-olah membantah perintah tahanan rumah berkenaan dengan menyatakan bahawa individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau penyalahgunaan kuasa, terutamanya dalam kes profil tinggi, perlu menjalani hukuman penuh.

Najib masih berdepan pertuduhan rasuah lain di mahkamah berkaitan 1MDB. Dia juga sedang merayu bagi sabitan berasingan pada 2025 atas 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang membawa hukuman penjara 15 tahun.

Sumber yang menghadiri mesyuarat PH memberitahu Straits Times Singapura bahawa Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh dijangka membantah sebarang pengampunan tambahan untuk Najib apabila Lembaga Pengampunan bersidang.

“Bagaimanapun, keputusan akhir terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, Anwar akan memohon perkenan untuk menghadap Seri Paduka Baginda sebelum mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi membincangkan perkara tersebut,” kata sumber yang dipetik.

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 2022 selepas disabitkan kesalahan dalam kes rasuah SRC International, bekas anak syarikat 1MDB. Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya kepada separuh dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Anak dedah skandal bapa dalam 86 halaman

Agensi

Beijing: Dua beradik perempuan di China masing-masing berusia 20 dan 15 tahun membongkar hubungan sulit selama sepuluh tahun antara bapa mereka yang juga bekas profesor Universiti Wuhan dengan pelajarnya yang kini berkhidmat sebagai profesor di institusi sama.

Mereka menerbitkan dokumen 86 halaman yang mendedahkan hubungan terlarang itu dalam talian, sekali gus membangkitkan perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

Dua beradik itu menyasarkan bapa mereka, Fu Lei, 47, yang kini berkhidmat sebagai timbalan pengetua Universiti Anhui serta anggota jawatankuasa tetap parti, lapor SCMP.

Sebelum ini Fu adalah bekas profesor dan penyelia doktor falsafah di Kolej Kimia dan Sains Molekul di Universiti Wuhan.
 
Berdasarkan dokumen tular itu, bekas pelajar doktor falsafah Fu dikenali Zeng Mengqi, 35, dilapor menjalin hubungan sulit dengannya sejak 2016, namun adik beradik berkenaan mengetahui mengenainya pada 2018 selepas menemui watak avatar dalam talian yang digunakan pasangan terbabit.

Mereka mendakwa Fu akan sentiasa membalas setiap permintaan Zeng dengan segera walaupun ketika sedang bercuti bersama keluarga.

Kedua-duanya juga mendakwa mereka pernah melihat mesej berbaur provokasi yang dihantar Zeng kepada ibu mereka.

Walaupun Zeng berkahwin dengan rakan sekerjanya di universiti pada 2023, dia didakwa masih meneruskan hubungan sulit dengan Fu.

Dua tahun lalu, Fu meninggalkan keluarga mereka menyebabkan ibu dua beradik itu terpaksa menguruskan pinjaman perumahan dan menjaga dua anak perempuan sendirian sehingga menderita dan berat badannya susut 15 kilogram.

Si kakak kemudian bersemuka dengan Fu pada satu mesyuarat kepimpinan universiti dan mendesak bapanya menandatangani perjanjian membayar nafkah anak sebanyak 5,000 yuan (kira-kira RM3,000) sebulan.

Gaji tahunan Fu dilapor melebihi satu juta yuan (kira-kira RM606,000).

Pendedahan itu turut mendakwa Fu dan Zeng menyalahguna dana penyelidikan universiti untuk kegunaan peribadi, selain mempersoalkan integriti akademik Zeng yang menamatkan pengajian PhD pada 2018, dilantik sebagai profesor madya pada 2020 dan dinaikkan pangkat sebagai profesor setahun kemudian.

Pada 3 September, Universiti Wuhan mengumumkan secara rasmi bahawa pihaknya menerima aduan berhubung pendedahan itu pada 19 Ogos dan akan menjalankan siasatan lanjut.

Wakil Universiti Anhui turut mengesahkan bahawa pihaknya memulakan siasatan terhadap Fu.
-hmetro

Rumah tangga hancur setelah suami mengaku murtad

KOSMO
Ain terkejut apabila melihat perbualan di WhatsApp suaminya yang mengaku telah murtad.- Ilustrasi Shah Hasan
“SAYA terkejut membaca WhatsApp di telefon suami, dia mengaku sudah murtad. Hati saya hancur dan begitu juga masa depan rumah tangga kami.”

Demikian luah Ain (bukan nama sebenar) ketika menceritakan peristiwa pahit yang terjadi kepadanya kira-kira tiga tahun lalu hingga menghancurkan rumah tangga dibina selama sedekad itu.

Cerita wanita itu, suaminya seorang yang sangat baik, penyayang dan bertanggungjawab menjalankan tugasnya sebagai ketua keluarga, malah ibu bapa Ain juga dijaga oleh mereka.

“Saya berasa sangat bahagia sepanjang 10 tahun perkahwinan kami. Segala keperluan saya serta anak-anak dipenuhi dengan baik, malah boleh dikatakan kehidupan kami agak mewah.

“Saya suri rumah sepenuh masa, dan ia adalah permintaan suami yang mahu saya memberi fokus kepada keluarga dan tiga orang anak memandangkan dia sibuk menguruskan perniagaan.

“Kehidupan yang saya jalani ini menjadi idaman kawan-kawan yang lain kerana mereka melihat semuanya serba cukup.

“Jadi, saya dapat memberi perhatian penuh kepada keluarga dan anak-anak, sedangkan mereka perlu bekerja bagi menampung keperluan hidup,” ujar wanita berasal dari Kuala Lumpur itu.

Akui Ain, dia berasa sangat bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT, tetapi tidak ada hidup yang sempurna kerana sebagai manusia kita tidak dapat elak daripada diuji.

“Dari luaran kehidupan kami seperti biasa, tetapi naluri seorang isteri dapat ‘menghidu’ ada yang tidak kena pada suami apabila dia sering balik lewat.

“Pada setiap hujung minggu pula ada sahaja mesyuarat yang perlu dihadirinya.

“Sampailah suatu hari, saya tergerak hati membaca WhatsApp perbualan suami dengan seorang rakan dan dia mengaku telah murtad,” luahnya.

Jelas Ain, suaminya bukan seorang yang terlalu jahil dalam bab agama, tetapi ibadah wajib seperti solat lima waktu, zakat dan puasa di bulan Ramadan ditunaikan dengan sempurna.

Namun, perubahan ketara berlaku apabila dia bertemu semula dengan sahabat lamanya ketika belajar di universiti suatu ketika dahulu.

“Suami ada cerita, dia bertemu semula dengan kawan lamanya ketika belajar di luar negara dulu.

“Sahabatnya itu juga sudah murtad, dan kebetulan dia sudah kembali menetap di Kuala lumpur hingga berjaya mempengaruhi suami.

“Pada awalnya, saya tidak syak apa-apa, sehinggalah saya tengok dia (suami) sudah mula tinggalkan solat dan banyak masa diluangkan bersama kawannya itu.

“Segalanya terjawab apabila saya melihat WhatsApp pengakuan murtad suami kepada kawannya yang turut menjalani hidup seperti orang Barat,” katanya.

Jelas Ain, dia ada pujuk suaminya untuk bertaubat dan kembali kepada agama Islam, namun tetap gagal.

“Lama juga saya bagi masa kepada suami untuk berubah, tetapi keadaan bertambah buruk dari masa ke masa.

“Boleh dikatakan, kami kerap bergaduh dan hubungan suami isteri menjadi semakin renggang sebab isu itu. Ada juga hari yang suami tidak balik ke rumah langsung.

“Rumah tangga yang dulunya bahagia dan harmoni hancur sekelip mata.

“Saya reda kerana Allah SWT sudah bagi kami kehidupan yang baik selama 10 tahun, dan kini saya perlu lepaskan semuanya.

“Akhirnya, kami sah bercerai talak satu di sebuah Mahkamah Syariah. Kini, saya menjalani hidup sebagai ibu tunggal bersama anak-anak,” katanya sebelum menutup bicara.

Kapal kargo terbakar ragut 25 nyawa

KOSMO!
TANGKAP layar daripada rakaman video menunjukkan asap keluar dari sebuah kapal kargo yang terbakar di pelabuhan Qingdao di timur China. - AFP
BEIJING – Angka kematian akibat insiden kebakaran sebuah kapal kargo berbendera asing yang berlabuh di sebuah pelabuhan di timur China, semalam meningkat kepada 25 orang.

Menurut agensi berita tempatan CCTV, kapal kargo berkenaan membawa seramai 42 orang di hab perkapalan Qingdao.

Seramai 17 individu berjaya dipindahkan dari tempat kejadian, dengan lima daripadanya mengalami kecederaan.

“Menjelang petang semalam, kesemua 25 mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini telah ditemui, namun tiada seorang pun yang menunjukkan tanda-tanda masih hidup,” lapor CCTV.

Kebakaran sepenuhnya berjaya dipadamkan sekitar jam 2:30 petang (waktu tempatan).

Agensi berita Xinhua melaporkan kebakaran dipercayai bermula kira-kira jam 11:15 pagi (waktu tempatan) ketika kapal berkenaan sedang berada di pelabuhan bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

Walau bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih belum disahkan.Seorang saksi dari kawasan perumahan berhampiran memberitahu AFP, dia melihat kepulan asap tebal keluar dari kapal tetapi tidak mendengar sebarang bunyi letupan. – AFP

Dua lelaki ditahan uji kelajuan di Jambatan Putra

KOSMO!
Dua kenderaan yang terlibat dalam video tular di Thread, semalam
PETALING JAYA – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung video tular aksi uji kelajuan di Jambatan Putra, Putrajaya, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, berkata, dua lelaki masing-masing berusia 19 dan 21 tahun itu didapati berada di lokasi tersebut bagi tujuan berkumpul dan menghasilkan kandungan untuk dimuat naik ke media sosial serta bukan bertujuan untuk berlumba.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati pemandu berusia 21 tahun tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala lesen bagi kenderaan yang dipandunya telah tamat tempoh.

“Kedua-dua pemandu turut dikenakan tindakan saman atas kesalahan mengubah suai kenderaan.

“Ujian saringan awal air kencing telah dijalankan terhadap kedua-dua pemandu dan keputusan mendapati kedua-duanya negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti menguji kelajuan atau berlumba di jalan awam serta tidak menghasilkan kandungan media sosial yang melibatkan aksi pemanduan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Kelantan: Warga emas rentung rumah terbakar

ROHANA MOHD. NAWI
Anggota bomba memadam kebakaran sebuah rumah berhampiran Pasar Gok Kapor, Jalan Pantai Cahaya Bulan dekat Kota Bharu, hari ini. Foto BOMBA
KOTA BHARU – Seorang lelaki warga emas rentung selepas terperangkap dalam kebakaran di rumahnya yang terletak berhampiran Pasar Gok Kapor, Jalan Pantai Cahaya Bulan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam tu, mangsa yang berusia 66 tahun ditemukan di dalam sebuah bilik air di rumah berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd. Ridzuan Baharudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.43 malam sebelum bergegas keluar ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota polis mendapati sebuah rumah dua tingkat sudah terbakar kira-kira 90 peratus.

“Kita dapati seorang seorang warga emas terperangkap di dalam bilik air rumah berkenaan sebelum operasi mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian dijalankan,” katanya.

Mohd. Ridzuan memberitahu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Wanita warga Malaysia maut dipercayai diserang di Perth

Hmetro

Kuala Lumpur: Seorang wanita warga Malaysia berusia 28 tahun yang menetap di Perth, Australia, meninggal dunia selepas dipercayai diserang pada bulan lalu.

Menurut laporan 7News Australia pada 28 Ogos, Kah Ming Tan ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah kediaman di Taree Street, St James, kira-kira jam 8.30 malam, 26 Ogos lalu.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Royal Perth Hospital, namun disahkan meninggal dunia.

Detektif siasatan pembunuhan mendakwa Younis Qambari, 38, menyebabkan kecederaan parah terhadap Kah dalam satu serangan yang berlaku beberapa hari sebelum kematiannya.

Polis mendakwa kejadian itu berlaku dalam konteks hubungan kekeluargaan dan domestik.

Pada 28 Ogos, Qambari didakwa atas pertuduhan membunuh dan hadir sebentar di hadapan Mahkamah Majistret Perth.

Tiada jaminan dipertimbangkan berikutan tertuduh dijadualkan kembali ke mahkamah bulan ini.

Sementara itu, 7News melaporkan kakak Kah yang tinggal berdekatan amat tertekan dengan kematian adiknya dan masih cuba menerima tragedi berkenaan.

Mayat lelaki berikat: Motif bunuh disiasat, jejak suspek terlibat

SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Lima lagi suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk permohonan reman, petang tadi. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!
SEBERANG PERAI – Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kematian seorang lelaki tempatan yang ditemukan berikat dalam tangki kumbahan di Taman Seri Bistari, Nibong Tebal, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Mohd. Norazmi Abd Ghapar berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas kes berkenaan diklasifikasikan semula daripada Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, tindakan itu dibuat susulan hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini selain perkembangan terkini dalam siasatan kes berkenaan.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh bagi mengenal pasti motif serta punca kejadian, selain mengesan dan menahan mana-mana suspek yang terlibat,” katanya di sini, malam ini.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seramai 10 suspek ditahan reman selama tujuh hari, bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, polis menerima laporan kehilangan seorang lelaki tempatan yang dibuat pada 7 September lalu, manakala pada 9 September, satu mayat ditemukan di sebuah rumah di Taman Seri Bistari, Nibong Tebal.

“Bedah siasat yang dijalankan hari ini mengesahkan identiti mangsa, sekali gus membawa kepada pengklasifikasian semula kes berkenaan sebagai kes bunuh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Zahid, Ismail bertemu berhubung dakwaan dipaksa tandatangan dokumen

Anne Muhammad dan Nur Alif Hazmi

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Zahid Hamidi, dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, bertemu petang tadi berhubung dakwaan Ismail dipaksa menandatangani dokumen proklamasi untuk menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pertemuan pada 4 petang itu berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di tepian Perhimpunan Agung Umno 2026,

Turut hadir Naib Presiden Johari Ghani, Wan Rosdy Wan Ismail dan Khaled Nordin.

Terdahulu, Zahid memaklumkan bahawa beliau mahu bertanyakan latar belakang kenyataan Ismail.

Selasa lepas, beberapa individu termasuk Undang Luak Johol Muhammed Abdullah dalam sidang media mendakwa Ismail sudah menandatangani dokumen proklamasi untuk menurunkan Tuanku Muhriz.

Mereka mendakwa, Ismail menandatangani dan melengkapkan surat cara proklamasi di bawah Perkara 10(2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan yang bertarikh 3 Ogos.

Bagaimanapun, Ismail semalam mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen proklamasi itu, dan satu laporan polis dibuat kelmarin.

Seorang lelaki ditahan berkait kes petani mati ditembak di hadapan rumah di Banting






Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis mengesahkan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun maut ditembak di hadapan sebuah rumah di Telok Bunut, Banting, kelmarin.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian berkenaan dipercayai berlaku antara 10.30 malam hingga 11 malam.

Katanya, susulan kejadian, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menahan seorang lelaki berusia 20-an bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Sehingga kini, siasatan masih dijalankan dan motif kejadian belum dapat ditentukan. Namun, pada lewat malam tadi, IPK Selangor dan IPD Kuala Langat membuat tangkapan seorang lelaki tempatan di sekitar Banting.

"Pada hari ini, suspek dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman, dan dibenarkan direman dua hari bagi membantu siasatan.

"Kita belum dapat tentukan yang ditangkap itu adalah suspek utama atau sebaliknya tapi Insya-Allah (dia) akan membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejadian berkenaan berlaku di hadapan sebuah rumah yang disewa anak mangsa, namun ia tidak berpenghuni, dan lelaki berkenaan dipercayai hadir ke kawasan itu untuk melihat kediaman itu.

"Motif belum dapat dipastikan kerana (ketika) kejadian, tiada saksi mata dan berlaku lewat malam. Tetapi kita dapat kenal pasti kemungkinan-kemungkinan, namun saya tidak mahu kongsikan kerana belum lengkap (siasatan).

"Setakat ini, tiada senjata berkaitan kes ditemukan," katanya.

Shazeli berkata, mangsa adalah seorang petani yang menjalankan pertanian di sekitar Banting itu, dipercayai terkena lebih dari satu das tembakan di badan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan tahap kecederaan mangsa kerana masih menunggu laporan perubatan dan bedah siasat.

Ditanya adakah suspek dan mangsa saling mengenali, Shazeli berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Anak saya diliwat lebih lima pelajar tahfiz

MOHD YUNUS YAKKUB
Tangkap layar video yang memaparkan seorang wanita bersama seorang kanak-kanak dipercayai berkaitan dakwaan kes liwat di sebuah pusat tahfiz di Banting.
KUALA LANGAT – Seorang pelajar tahfiz berusia 11 tahun didakwa menjadi mangsa liwat oleh lebih lima pelajar lain di sebuah pusat tahfiz di Banting, di sini.

Dakwaan mengejutkan itu dibuat ibu mangsa menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Instagram milik pempengaruh, Caprice.

Menurut wanita berkenaan, dia mengetahui kejadian tersebut selepas anaknya memaklumkan kepadanya bahawa dia didakwa diliwat oleh beberapa pelajar lain di pusat tahfiz berkenaan.

“Saya seorang ibu yang menghantar anak saya berusia 11 tahun ke sebuah tahfiz di Banting. Saya dapat tahu daripada anak saya bahawa dia telah diliwat oleh lebih lima pelajar di sekolah tahfiz tersebut,” katanya.

Wanita tersebut turut memaklumkan pihak keluarga kini masih berusaha mendapatkan bukti dan saksi berhubung dakwaan berkenaan.

Sehubungan itu, dia merayu ibu bapa yang pernah menghantar anak mereka ke pusat tahfiz tersebut antara 2024 hingga tahun ini supaya bertanya kepada anak masing-masing sama ada pernah menjadi mangsa gangguan seksual atau perbuatan seumpama itu.

“Saya mohon kepada ibu bapa, sila tanya anak masing-masing jika mereka pernah diliwat atau mengalami gangguan seksual oleh pelajar di sekolah tersebut.

“Jika ada, saya mohon tampil ke hadapan dan hubungi kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya akan memanggil wanita tersebut bagj mendapatkan penjelasan berkaitan video tular tersebut. – KOSMO! ONLINE

Polis sahkan wanita Malaysia ditahan di New Delhi seludup 15kg ganja

BERNAMA

BACHOK: Wanita warga Malaysia berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa India selepas didapati membawa dadah jenis ganja seberat 15 kilogram (kg) di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi (IGI), New Delhi, India pada 4 September lalu.

Mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, wanita berasal dari Perak itu ditahan selepas pemeriksaan pihak Kastam India terhadap bagasi troli miliknya menemukan dadah berkenaan yang disembunyikan dalam 30 bungkusan.

“Wanita warga Malaysia ditahan bersama 15kg ganja di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi (IGI), New Delhi, India pada 4 September lalu,” katanya kepada BERNAMA hari ini.

Hussein berkata, JSJN menerima maklumat daripada pihak Narcotics Control Bureau (NCB) India, berhubung penahanan wanita berkenaan.

Beliau berkata, suspek menaiki penerbangan Batik Air OD205 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke New Delhi pada 4 September.

“Suspek kini ditahan pihak Kastam India dan akan disiasat mengikut Narcotic Drugs and Psychotropic Substances (NDPS) Act 1985 sementara menunggu perbicaraan kes,” katanya.

Hussein berkata, suspek turut mempunyai satu rekod berkaitan dadah mengikut Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, JSJN akan terus berhubung dengan NCB India bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan.

Bekas pegawai pentadbiran didakwa cabul, gangguan seksual enam pelajar perempuan

Bernama
IPOH, 9 Sept - Seorang bekas pegawai pentadbiran Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas enam pertuduhan mencabul dan melakukan gangguan seksual secara komunikasi terhadap enam pelajar perempuan, antara Jun hingga September lepas. Tertuduh Roykarnaen Maseri, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas dua pertuduhan pertama dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha, manakala empat lagi pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Ridu
Seorang bekas pegawai pentadbiran Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas enam pertuduhan mencabul dan melakukan gangguan seksual secara komunikasi terhadap enam pelajar perempuan, antara Jun hingga September lepas. - Foto BERNAMA
IPOH: Seorang bekas pegawai pentadbiran di sebuah kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas enam pertuduhan mencabul dan melakukan gangguan seksual secara komunikasi terhadap enam pelajar perempuan.

Roykarnaen Maseri, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha dan Majistret Norizan Riduan.

Bagi dua pertuduhan pertama yang dibacakan di hadapan Majistret Punitha, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan dua pelajar perempuan, masing-masing berusia 19 dan 22 tahun, di dalam sebuah bilik aktiviti di kolej itu pada 6.12 petang, 5 Ogos dan 6.15 petang, 6 Ogos lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulqarnain Wan Asmira menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu saksi serta mangsa selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan.

Bagaimanapun, peguam Aiman Rusli yang mewakili tertuduh memohon jaminan secara keseluruhan sebanyak RM3,000 atas alasan anak guamnya telah berhenti bekerja daripada kolej itu sejak 17 Ogos lepas serta tiada pendapatan sehingga kini.

“OKT (Orang Kena Tuduh) juga sebelum ini menanggung ayahnya yang berumur 72 tahun yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan lain-lain, serta OKT juga menanggung ibunya yang berusia 58 tahun yang menghidap penyakit arthritis.

“Selain itu, OKT juga menanggung isteri dan seorang anak perempuannya yang berumur tujuh tahun dan untuk makluman mahkamah yang mulia, OKT juga mempunyai kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Pada masa sama, Aiman berkata beliau mendapat maklumat bahawa pengadu-pengadu telah pun menarik balik laporan polis terhadap Roykarnaen pada 11 Ogos lepas, namun tidak membawa salinan laporan tersebut pada hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 22 Okt depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Majistret Norizan, Roykarnaen didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kata-kata berunsur lucah terhadap empat pelajar perempuan berusia antara 19 hingga 22 tahun dengan niat menyebabkan atau mengetahui komunikasi berkenaan berkemungkinan menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi berbeza termasuk di dalam kenderaan di kawasan Silibin di sini, bilik asrama serta bilik aktiviti di kolej tersebut, selain sebuah kediaman di Halaman Meru Impian di sini antara 18 Jun hingga 6 Sept lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin menawarkan jaminan RM10,000 serta dua syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua kali setiap bulan sehingga prosiding kes selesai, selain tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan jaminan keseluruhan RM4,500 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 22 Okt untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

Hantar video lucah bekas isteri, lelaki didenda RM30,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pemandu lori mengaku salah di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan menghantar gambar dan video lucah bekas isteri kepada suami wanita itu menerusi WhatsApp, pada 2023.

Hakim Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman denda RM30,000 ke atas Mohd Suhaimi Yusof, 50, selain mengarahkan tertuduh dipenjara dua bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan WhatsApp secara tidak wajar dengan menghantar tiga gambar dan dua rakaman video lucah kepada seorang lelaki dengan niat mengganggunya, lapor Berita Harian.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan pada 22 Mac 2023 di sebuah premis di Mantin, Seremban.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Seksyen 233(3) memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pengadu menerima beberapa gambar dan video berunsur lucah daripada tertuduh yang juga bekas suami isterinya. Pengadu berasa terkilan dan terganggu selepas menerima serta melihat kandungan berkenaan yang memaparkan isterinya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan terhadap hukuman dan memaklumkan dia reda sekiranya dihukum penjara.

Suhaimi memberitahu mahkamah bahawa dia kini bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai empat anak, tiga daripadanya masih bersekolah serta kini dijaga bekas isterinya.

Katanya, dia bertindak demikian kerana buntu dan berang selepas mendakwa ditipu wanita berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah/Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohamad Farhan Kamarudin.

Lelaki yang tular minta wang orang awam ditahan polis

Zuliaty Zulkiffli

SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun yang tular di media sosial kerana didakwa meminta wang daripada orang awam sebelum menjerit terhadap seorang pemilik kenderaan selepas permintaannya tidak dilayan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek ditahan jam 11 malam berhampiran sebuah kedai nasi kandar, di sini.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari Bakar Kapor, di sini, dikesan selepas video kejadian berkenaan tular di media sosial.

Berdasarkan video berkenaan, suspek dipercayai meminta wang daripada seorang pemilik kenderaan di hadapan sebuah kedai buku di pusat perniagaan Taman Pekan Baru, di sini.

Namun, selepas permintaannya tidak dilayan, suspek dipercayai menjerit terhadap mangsa.

Kejadian itu menjadi perhatian selepas suspek didakwa memegang objek menyerupai parang, sekali gus menimbulkan rasa tidak selamat dalam kalangan pelanggan dan pekerja premis, khususnya wanita.

Hanyan berkata, bagaimanapun sehingga kini, polis masih belum menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian terbabit.

Kapal terbakar di Palawan, Filipina: Lima maut, 87 penumpang, anak kapal masih hilang

Malaysiakini

Sekurang-kurangnya lima orang maut manakala 87 masih hilang selepas sebuah kapal terbakar pada Rabu di perairan berhampiran kawasan tumpuan pelancong di Wilayah Palawan, Filipina, menurut pengawal pantai tempatan pada Khamis, lapor Xinhua.

Kebakaran berlaku pada petang Rabu ketika kapal itu membawa 117 penumpang dan 17 anak kapal, kira-kira 1.2 batu nautika dari pantai Perbandaran Coron, menurut pengawal pantai tempatan.

Seramai 42 orang berjaya diselamatkan.

Rakaman video yang dikongsi pengawal pantai di media sosial menunjukkan kapal berkenaan dijilat api sepenuhnya.

Menurut laporan media tempatan, kapal itu berlepas dari Manila menuju ke Coron sebelum kebakaran berlaku.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

DAP dah tak ada pun masih bergaduh, kemelut Negeri Sembilan berlarutan, siapa paksa MB cetus sindiran

ARIF ATAN

Kemelut politik dan institusi di Negeri Sembilan terus menjadi bahan sindiran apabila tokoh wartawan, Fathi Aris Omar mempersoalkan bagaimana pertelingkahan masih berlaku meskipun DAP dan Pakatan Harapan (PH) sudah dihalau dari kerajaan negeri.

“Jahat betul DAP, paksa MB tandatangan proklamasi tolak Yang di-Pertuan Besar,” katanya secara sinis menerusi hantaran di Facebook sebelum mengulang sindiran bahawa akhirnya DAP juga yang akan dipersalahkan.

Sindiran itu susulan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bahawa beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi, sehingga membawa kepada laporan polis dan persoalan besar mengenai siapa sebenarnya yang memberi tekanan kepadanya.

Isu itu menjadi semakin panas apabila Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri bertanyakan, “Siapa paksa MB Negeri Sembilan? Dia kata dia dipaksa.”

Reaksi Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sekali gus menambah tanda tanya mengenai pihak yang dikatakan berada di belakang tekanan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Zahid turut menafikan menerima sebarang surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, menjadikan kemelut berkenaan semakin ‘lucu’ selepas BN menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu bulan lalu.

Fathi berpendapat keadaan itu memperlihatkan satu ironi besar dalam politik Melayu selepas PH dan DAP tidak lagi boleh dijadikan alasan sebagai punca perpecahan.

Ini memandangkan pertelingkahan dan perebutan pengaruh tetap berlaku dalam kalangan kelompok yang selama ini melaungkan soal penyatuan.

“Hey, kau dah halau DAP dan PH, apahal tidak boleh bersatu padu lagi?

“Kuasa sudah di tangan, sampai masa untuk jaga kebajikan negeri dan rakyat,” tegas Fathi yang juga bekas Ketua Pengarang Malaysiakini.

Bertelagah

Penganalisis sosio-politik yang prolifik itu turut mengaitkan situasi itu dengan sejarah hubungan Pas dan Umno, dengan mengingatkan bahawa kedua-dua parti Melayu itu pernah bertelagah meskipun berada dalam satu gabungan politik.

Menurut Fathi, corak politik yang sama sering berulang iaitu slogan perpaduan dilaungkan ketika mahu mendapatkan kuasa, namun apabila kuasa sudah berada di tangan, pertikaian dalaman, perebutan kedudukan dan kepentingan kembali muncul.

Sindiran beliau turut menyentuh kecenderungan sesetengah pemimpin politik untuk menjadikan DAP atau kaum lain sebagai kambing hitam apabila berlaku masalah dalaman, sedangkan konflik sebenar boleh berpunca daripada perebutan kuasa sesama sendiri.

“Samalah punca Pas ditendang keluar daripada BN dahulu. Pas tidak suka MB Kelantan, Umno sokong. Tempat Umno ada cawangan, Pas nak buka juga.

“Yang b*d*h pengundi Melayu, percaya sangat cakap pemimpin. Pemimpin gila kuasa tak sedar. Lepas itu gila projek dan harta negara pula. Senyap je!

“Sepuluh tahun selepas Umno tendang Pas, Umno bergaduh sesama sendiri. Putar belit undi, bawa ke mahkamah, Umno diharamkan pada 1988.

“Nak menang, jaja perpaduan. Dapat kuasa, berebut. Dah stabil, pakat curi duit negara milik Melayu B40 – FELDA, Tabung Haji, RISDA dan MARA misalnya,” tempelak Fathi lagi.

365 warga asing didakwa di mahkamah salah guna MyKad, sijil kelahiran

Bernama

PELABUHAN KLANG: Seramai 365 warga asing didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan berkaitan penyalahgunaan MyKad dan sijil kelahiran dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mazhad Abdul Aziz berkata jumlah itu hasil 738 operasi yang dijalankan bersama dengan pelbagai agensi di seluruh negara termasuk di premis dan kilang bagi mengesan penggunaan dokumen pengenalan palsu.

“Daripada jumlah itu, 286 kes membabitkan penggunaan kad pengenalan palsu atau milik orang lain manakala 79 lagi berkaitan sijil kelahiran palsu, dengan kebanyakan yang ditahan merupakan warga Indonesia dan Filipina,” katanya 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Ops Layar di sebuah kilang percetakan di Bandar Sultan Suleiman di sini Rabu malam.

Mazhad berkata tindakan pendakwaan dilakukan mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 serta Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 [Akta 299].

“JPN akan terus menggerakkan operasi penguatkuasaan termasuk secara bersepadu atau terancang bagi membanteras kegiatan berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Ops Layar selama empat jam bermula 5 petang melibatkan 52 anggota JPN Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur selain 15 anggota Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya serta Jabatan Tenaga Kerja Selangor.

“Seramai 195 individu diperiksa termasuk 63 warga tempatan yang memiliki kad pengenalan sah.

“Tiga wanita berusia antara 21 hingga 37 tahun dipercayai warga Indonesia ditahan kerana disyaki menggunakan salinan kad pengenalan palsu atau milik individu lain bagi mendapatkan pekerjaan di kilang itu,” katanya.

-- BERNAMA

Ibu, dua anak maut terperangkap dalam kebakaran

MOHD SHARKAWI LONDING
MAYAT ketiga-tiga mangsa ditemui terperangkap di dalam sebuah rumah di Taman Titiwangsa, Kluang malam tadi. Foto IHSAN BOMBA
KLUANG – Seorang ibu bersama dua anak lelakinya maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Titiwangsa di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.44 malam itu, ketiga-tiga mangsa ditemui terperangkap di dalam rumah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.

Mangsa dikenali sebagai Noraini Ibrahim, 49, serta dua anak lelakinya, Khairul Nurhaziqq Khairulnizam, 18, dan Khairul Nurhadiff Khairulnizam, 11.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 10.44 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang kemudian dikejarkan ke lokasi dan tiba lima minit kemudian.

“Setibanya pasukan keluaran operasi di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat dengan anggaran 50 peratus rumah terbakar.

“Terdapat tiga mangsa terperangkap di dalam rumah dan kesemua mereka disahkan meninggal dunia oleh pegawai KKM yang hadir di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran dan dua pancutan bagi mengawal kebakaran daripada merebak.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 12.32 tengah malam, namun operasi diteruskan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.

“Seramai 14 anggota BBP Kluang terbabit dalam operasi berkenaan dengan kekuatan logistik membabitkan sebuah jentera SITRAK-2 dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS),” katanya.

Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-KOSMO! ONLINE