"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya akan diseksa jika pulang ke India - Zakir Naik

Pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik hari ini berkata, beliau akan bekerjasama dengan Agensi Siasatan Negara India (NIA) sekiranya siasatan terhadapnya dilakukan secara "neutral".

Bagaimanapun, penceramah antarabangsa itu hanya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa menerusi aplikasi seperti Skype tanpa perlu beliau pulang ke India.

"Mereka boleh menemubual saya di Skype atau melalui telesidang video, tetapi mereka kata 'tidak' dan saya perlu pulang ke negara itu.

"Kenapa saya perlu lakukan perkara itu (pulang ke India), jika saya pulang, mereka akan seksa saya.

"Mereka dah lakukan perkara sama kepada orang Islam yang lain. Saya ada bukti," katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.

Zakir berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan NIA yang ingin mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) supaya menyenaraikannya dalam 'red alert' bagi menyekat pergerakan beliau.

Selain itu, beliau juga berkata, tindakan NIA yang tidak menerima cadangannya itu dilihat mempunyai motif tersembunyi.

"Satu proses penyiasatan yang pengecut, mereka tidak berani. Jika mereka mahu mereka boleh datang ke sini untuk bercakap. Jika mahu berdepan, datang sini dan bercakap," katanya lagi.

Portal Times of India melaporkan, Zakir didakwa melarikan diri dari India selepas satu siasatan terhadapnya dan organisasi milik penceramah itu, Islamic Research Foundation kerana didakwa mempromosi propaganda pengganas.

Laporan itu berkata, agensi itu mahu menyekat pergerakan Zakir dan memberi kuasa kepada Interpol dan pihak berkuasa Arab Saudi untuk menangkapnya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: