"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Lelaki maut dipercayai dipukul adik alami masalah menta

BERNAMA

MARANG: Seorang lelaki maut selepas dipercayai dipukul menggunakan tukul oleh adiknya yang mempunyai masalah mental, dalam kejadian di Kampung Tasek, di sini, hari ini.

Mangsa Mohd Nasir Ismail, 43, yang merupakan anak sulung daripada sembilan adik-beradik, dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian itu.

Ibu mangsa Hasnah Sulong, 63, berkata, dia masih terkejut dengan kejadian itu.

Katanya, ketika kejadian, dia berada di ruang tamu rumah sebelum terdengar jeritan dari bahagian hujung rumah dan diikuti bunyi seperti seseorang dipukul.

“Saya terus memanggil suami Ismail Ibrahim, 80, yang ketika itu berada di luar rumah. Apabila masuk ke dalam rumah, dia nampak Nasir sudah berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tasek, di sini hari ini.

Hasnah berkata, anak keduanya, Affendi, 42, yang mempunyai masalah kesihatan mental, disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata, seorang lagi anaknya Rurazmiza, 36, turut cedera pada bahagian belakang akibat dipukul menggunakan tukul ketika cuba meleraikan kejadian itu.

“Rurazmia cuba masuk untuk meleraikan kejadian, tetapi dia turut mengalami kecederaan akibat dipukul,” katanya.

Hasnah yang pernah mengalami strok berkata, kejadian itu mengingatkannya kepada insiden kira-kira 12 tahun lalu apabila suaminya pernah ditikam oleh anak yang sama.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak menghalang keluarga berkenaan daripada terus menjaga dan tinggal bersama dengan suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Superintendan Saari Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Anggota tentera ditahan bersama pistol, ketum

HARRITH HISHAM

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang anggota tentera bersama sepucuk pistol serta puluhan butir peluru dan cecair disyaki ketum dalam kejadian di kawasan parkir kereta di Kem Askar Sungai Besi, di sini, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Lim Chun How berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.42 tengah malam.

“Sepasukan polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras kemudian menahan suspek yang merupakan seorang penjawat awam.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau membabitkan dua kes dadah dan satu kes jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chun How berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Suspek sebelum ini direman selama lima hari dan tempoh reman dilanjutkan lima hari lagi sehingga 8 Oktober bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Kelantan: Budak 8 tahun cedera diserang anjing liar di Pantai Kuala Kemasin

ROHANA MOHD. NAWI
Keadaan kepala dan leher Azuar Firdaus yang cedera selepas diserang sekumpulan anjing liar di Pantai Kuala Kemasin, Bachok, kelmarin. Foto IHSAN KELUARGA
BACHOK – Seorang kanak-kanakKeadaan kepala dan leher Azuar Firdaus yang cedera selepas diserang sekumpulan anjing liar di Pantai Kuala Kemasin, Bachok, kelmarin. Foto IHSAN KELUARGA lelaki berlumuran darah selepas diserang lima ekor anjing liar ketika sedang bermain di Pantai Kuala Kemasin, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu menyebabkan bahagian kepala dan leher Azuar Firdaus Zuraiman, 8, mengalami kecederaan.

Bapa mangsa, Zuraiman Mahmod, 47, berkata, ketika kejadian, Azuar Firdaus sedang bermain bersama lima saudara yang sebaya dengannya sebelum sekumpulan anjing datang mengejar mereka.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan anaknya terjatuh sebelum diserang dan digigit beberapa ekor anjing berkenaan.

“Azuar Firdaus sempat bangun dan menendang anjing itu sebelum melarikan diri ke arah kawasan pantai. Haiwan itu terus mengejar sehingga dia masuk ke air, barulah anjing tersebut berhenti menyerang.

“Seorang buruh yang berada di kawasan berdekatan menyedari kejadian itu terus membantu menghalau anjing terbabit sebelum membawa anaknya keluar dari kawasan pantai berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Zuraiman memberitahu, dia membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Balai, di sini sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Katanya, Azuar Firdaus selamat menjalani prosedur jahitan pada bahagian kepala dan leher yang luka akibat digigit anjing itu.

“Dia masih lagi dirawat di wad dan memerlukan pemantauan doktor. Saya berniaga di kedai makan di Pantai Kuala Kemasin dan sudah lama melihat anjing liar berkeliaran di kawasan itu

“Penduduk kawasan ini sudah melaporkan keadaan itu dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian itu berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada seorang pekerja resort berhampiran berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Penunggang motosikal disyaki mabuk, rempuh dua peserta KLSCM

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

KUALA LUMPUR: Penunggang motosikal dipercayai mabuk ditahan selepas merempuh dua peserta acara Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) di sini, awal pagi hari ini.

​Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dua peserta membabitkan seorang lelaki berusia 41 dan wanita berusia 50 tahun mengalami kecederaan.

​”Siasatan awal mendapati penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun bersama pembonceng, seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun, melepasi laluan yang ditutup menggunakan kon.

​”Anggota bertugas mengarahkan penunggang untuk berhenti namun suspek cuba melarikan diri dengan menunggang secara melawan arus sebelum melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

​Menurutnya, mangsa lelaki cedera di bahagian leher manakala mangsa wanita cedera di lutut kanan dan tangan lalu kedua-dua warga tempatan berkenaan dibawa ke hospital bagi menerima rawatan.

​Katanya, saringan awal alkohol terhadap penunggang menunjukkan keputusan positif dengan bacaan pernafasan, EBA sebanyak 164mg.

​”Penunggang dan pembonceng kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pengambilan sampel darah dan air kencing untuk tujuan siasatan dan ujian lanjut.

​”Penunggang direman tiga hari bermula hari ini hingga 5 Oktober sementara pembonceng dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

​Terdahulu tular di media sosial klip video memaparkan pelari KLSC terbaring di atas jalan dikatakan dilanggar sebuah motosikal yang mana penunggangnya dilihat sudah ditahan anggota polis trafik.

Lelaki temu 3 bom mortar dalam tong Roro

FMT Reporters

Bom itu berjaya dimusnahkan pagi tadi di tapak lapang di Dengkil.
objek disyaki bom dijumpai
Tiga bom mortar ditemukan Kampung Dato Ahmad Razali, dekat Sepang, semalam, ketika kerja pengasingan barang besi. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Polis mengesahkan penemuan tiga bom mortar di Kampung Dato Ahmad Razali, Dengkil, dekat Sepang.

Ketua Polis Sepang Norhizam Bahaman, berkata semua bom itu ditemukan seorang lelaki ketika mengasingkan barangan besi buruk daripada sebuah tong ‘Roll-On Roll-Off’ (Roro) di kawasan luar sebuah rumah.

Katanya, polis menerima laporan berhubung penemuan bom itu sekitar 3 petang semalam, sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi untuk menjalankan kawalan keselamatan.

“Unit Pemusnah Bom (UPB) polis yang menjalankan pemeriksaan mendapati objek berkenaan terdiri daripada tiga bom mortar iaitu satu butir berukuran 81mm dan dua butir berukuran 60mm,” katanya dalam kenyataan.

Norhizam berkata, semua objek tersebut kemudian dialihkan UPB ke lokasi selamat bagi pemusnahan.

“UPB menjalankan kerja pemusnahan kira-kira 9.20 pagi ini di sebuah tapak lapang pembinaan di Dengkil dan selesai pada 9.25 pagi dalam keadaan selamat serta terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan,” katanya.

Norhizam turut menasihati orang ramai supaya tidak menyentuh, mengalih atau menghampiri sebarang objek disyaki bahan letupan dan segera menghubungi polis sekiranya menjumpai objek sedemikian.

Sah kanoha: Penduduk solat berjemaah dalam laut

KOSMO
TANGKAP layar video menunjukkan orang ramai menunaikan solat secara berjemaah di tengah laut baru-baru ini. - TikTok
JAKARTA – Satu klip video tular di Indonesia menunjukkan sejumlah orang menunaikan solat secara berjemaah di tengah laut. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @pojoksatu.id menunjukkan lebih 10 orang sedang menunaikan solat di dalam laut, dengan air mencapai paras dada orang dewasa. 

Solat itu juga dipimpin oleh seorang imam. 

Masih belum diketahui lokasi sebenar kejadian. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 904,700 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen. 

“Kenapa solat di tengah laut?” kata seorang netizen. 

“Saya malu dengan tingkah laku mereka,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

‘Lebai Pas’ salah guna kuasa, khianat dan fitnah dakwa Tun Faisal

SITI NUR ZAWANI

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz sekali lagi mengkritik Pas secara terbuka susulan kemelut hubungan antara kedua-dua parti yang semakin berpanjangan dalam Perikatan Nasional (PN).

Menerusi satu hantaran di Facebook, Tun Faisal menyifatkan pemimpin Pas sebagai ‘lebai’ yang sepatutnya berlaku adil dan mengikut ajaran Islam, namun mendakwa perkara sebaliknya berlaku selepas Pas mengambil alih kepengerusian serta pentadbiran PN.

Dalam perkongsian yang dimuat naik, beliau mendakwa Pas telah menyalahgunakan kuasa, melakukan khianat, fitnah dan menindas. 

Hantaran itu bagaimanapun tidak menjelaskan secara khusus isu tertentu yang menjadi rujukan grafik berkenaan.

“Selepas kuasai PN sepatutnya lebai berlaku adil dan ikut ajaran Islam. Tapi lebai pilih salah guna kuasa, khianat, fitnah dan menindas,” katanya ringkas.

Pemimpin Bersatu itu berterusan menyerang Pas sejak kemelut hubungan kedua-dua parti, termasuk dakwaan bahawa Pas selaku peneraju PN mengetepikan Bersatu dalam beberapa urusan gabungan.

Krisis Bersatu-Pas

Hubungan Bersatu dan Pas telah lama tegang berikutan status keanggotaan Bersatu dalam PN. Abdul Hadi mendakwa Bersatu terkeluar secara automatik, namun Ahmad Samsuri pada 9 Ogos berkata Bersatu masih merupakan ahli PN. 

Bersatu sendiri menegaskan keanggotaannya masih sah. 

Perkembangan itu akhirnya membawa Bersatu membuat aduan rasmi kepada RoS. 

Kemelut itu kemudian memasuki fasa baharu apabila RoS pada 22 September mengeluarkan notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966, meminta PN memberikan penjelasan berhubung aduan Bersatu.

Sehari kemudian, RoS turut mengeluarkan perintah penggantungan yang menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September. 

Keadaan itu meletakkan PN dalam tekanan ketika hubungan antara Bersatu dan Pas masih belum menunjukkan tanda-tanda reda, dengan Bersatu terus mempertikaikan cara Pas mentadbir gabungan berkenaan.

Penceramah motivasi diminta beri keterangan berhubung dakwaan gangguan seksual

Amira Suraini Che Mohamad

KANGAR: Seorang penceramah motivasi diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar bagi memberi keterangan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Ketua Polis Perlis, DCP Hamzah Hashim mengesahkan, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada jam 2.09 pagi, 26 September lalu.

Susulan laporan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 12 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

“Sehubungan itu, sekiranya terdapat mangsa lain yang terlibat dengan penceramah motivasi berkenaan, mereka diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut.

“Penama Farhaan Rahmat juga diminta hadir ke IPD Padang Besar untuk memberi kerjasama dan keterangan berhubung kejadian ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan, malam ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sharifah Nur Fasihah Syed Sofian, menerusi talian 04-9490824 atau 019-8151602.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, sebelum ini mengarahkan semua program membabitkan seorang motivator yang didakwa berkelakuan tidak senonoh ketika bersama murid di sekolah dihentikan serta-merta.

Media turut melaporkan dakwaan seorang penceramah bebas mengajak wanita muda menjadi ‘sugar baby’ dan ke hotel, namun belum ada pengesahan bahawa kedua-dua laporan itu membabitkan individu yang sama.

Dua pelancong berdepan detik cemas, kereta dihanyut arus deras

Johary Indan
Kenderaan Perodua Bezza dinaiki dua pelancong wanita dari Semenanjung masih tersadai di jambatan low level crossing Tamparuli.- Foto NSTP
TAMPARULI: Dua pelancong wanita berdepan detik cemas apabila kenderaan yang mereka naiki dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberang jambatan low level crossing Tamparuli, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, dua mangsa terbabit yang menaiki Perodua Bezza, dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu selepas selesai melakukan pendakian Gunung Kinabalu.

Beberapa saksi berkata, pemandu terbabit yang tidak mahir dengan laluan berkenaan hanya bergantung sepenuhnya kepada aplikasi navigasi ketika cuaca buruk, paras air yang kian meningkat dan keadaan semakin gelap sehingga menyebabkan kenderaan itu terapung.

Difahamkan, dua wanita terbabit bernasib baik, apabila orang awam bertindak pantas dengan menarik keluar mangsa itu ke tempat selamat.

Bagaimanapun, beberapa barang peribadi serta dokumen pengenalan diri terlepas dan hilang apabila kereta berkenaan tenggelam.

Jambatan low level crossing Tamparuli itu baru sahaja dibuka semula kepada pengguna jalan raya semalam, selepas ditutup selama sembilan bulan bagi kerja pembaikan struktur akibat tanah mendap.

Kenyataan rasmi pihak berkuasa berkaitan masih belum dikeluarkan.

Tinjauan di lokasi pagi ini mendapati kenderaan itu masih tersadai di lokasi kejadian.

Dalam perkembangan berkaitan, jambatan low level crossing Tamparuli ditutup semula kepada lalu lintas sehingga kerja pembersihan susulan banjir, selesai dijalankan.

Belajar dari AI, remaja cuba racun bapa

Agensi

Lahore: Mahkamah Majistret di sini pada Rabu memerintahkan seorang remaja lelaki dihantar ke penjara bagi menjalani reman kehakiman selama 14 hari atas pertuduhan cuba meracun bapanya selepas mendapatkan maklumat daripada kecerdasan buatan (AI).

Memetik laporan Asia News Network (ANN), suspek berusia 17 tahun itu dibawa ke hadapan Majistret Naeem Wattoo oleh Agensi Siasatan Siber Kebangsaan (NCCIA) selepas tamat tempoh reman selama tiga hari.

Majistret bertanya kepada pegawai penyiasat sama ada bapa suspek mempunyai sebarang bantahan terhadap kes berkenaan.

Pegawai itu menjawab bahawa bapa suspek tidak mempunyai sebarang bantahan selain memaklumkan bahawa remaja berkenaan adalah anak tunggal pasangan itu.

Menurutnya, bapa suspek memberitahu penyiasat bahawa anaknya yang juga pelajar tahun dua di Bahawalpur sering melakukan pelbagai jenis kajian.

Pegawai penyiasat turut memaklumkan bahawa penahanan suspek tidak lagi diperlukan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Susulan itu, majistret memerintahkan suspek dihantar ke penjara bagi menjalani reman kehakiman selama 14 hari serta mengarahkan pegawai penyiasat mengemukakan kertas pertuduhan dalam tempoh yang ditetapkan.

NCCIA menahan remaja itu pada 23 September lalu selepas suspek dilaporkan mempunyai hubungan yang renggang dengan bapanya dan didakwa merancang untuk membunuhnya susulan satu perselisihan faham.

Pihak berkuasa mendapati remaja itu berminat dalam bidang kimia selepas menonton siri drama jenayah Amerika Syarikat, 'Breaking Bad', sebelum mendirikan sebuah makmal kecil di rumah untuk menjalankan eksperimen kimia.

Suspek didakwa memperoleh bahan kimia dari Australia serta Islamabad sebelum membancuh bahan cecair di rumah. Dia juga didakwa pernah memberikan bahan berkenaan kepada bapanya dalam satu kejadian, namun percubaan itu tidak berjaya.

Remaja itu kemudian didakwa meminta panduan lanjut daripada AI mengenai cara memberikan racun yang boleh menyebabkan kematian bapanya tanpa dikesan pihak berkuasa.

Pengarah NCCIA Punjab, Hissam Iqbal mengarahkan penubuhan pasukan siasatan selepas menerima maklumat menerusi sistem automatik sebelum suspek ditahan di Bahawalpur untuk siasatan lanjut. 
-hmetro

Tipu urusan permit warga asing, anggota polis dipenjara 8 tahun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang anggota polis dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Temerloh di Pahang hari ini kerana menipu dua lelaki berjumlah RM111,485 dalam tempoh tiga tahun.

Darren anak Ayian turut didenda RM44,000 dan dikenakan enam sebatan selepas mengaku bersalah terhadap 44 pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa menipu Chong Kin Yew dan Yap Kah Poh antara Disember 2022 hingga Mac 2025 dengan mendakwa boleh membantu menyelesaikan urusan permit pasangan warga asing mereka dengan Jabatan Imigresen.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Jamaludin Mat berkata Darren telah menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan kepadanya sebagai anggota polis.

Mahkamah diberitahu Yap menyerahkan RM76,939 kepada Darren manakala Chong memberikan RM34,546 kepadanya.

“Kedua-dua kes menunjukkan modus operandi yang berulang,” kata Jamaludin.

Beliau turut berkata hukuman penjara lapan tahun itu tidak terlalu berat mahupun tidak mencukupi.

“Kepercayaan orang awam terhadap pegawai penguat kuasa mesti dilindungi, dan apabila kepercayaan itu digunakan untuk memudahkan pelaksanaan sesuatu kesalahan, faktor pencegahan perlu diambil kira ketika menjatuhkan hukuman,” katanya.

MCMC siasat video AI tarian depan jenazah Siti Hasmah

Malaysiakini

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti kandungan media sosial yang didakwa menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi rakaman Dr Mahathir Mohamad ketika berduka atas pemergian isterinya, Allahyarhamah Dr Hasmah Mohd Ali.

MCMC berkata pihaknya juga telah menghubungi platform media sosial berkaitan berhubung penyebaran kandungan tersebut.

“Sekiranya hasil penelitian mendapati adanya pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan semalam.

Malaysiakini difahamkan kenyataan itu merujuk kepada video AI menunjukkan seorang wanita menari di hadapan Mahathir dan hadirin ketika memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah allahyarhamah.

Menurut suruhanjaya itu, penggunaan teknologi untuk memanipulasi rakaman sebenar tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu peristiwa serta menjejaskan maruah individu dan keluarganya.

Katanya, perbuatan itu lebih tidak wajar apabila melibatkan saat kehilangan dan kedukaan seseorang.

MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan dimanipulasi yang boleh mengelirukan atau menjejaskan pihak lain.

Orang ramai juga digalakkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi, selain melaporkan bahan yang disyaki telah dimanipulasi kepada platform atau pihak berkuasa berkaitan.

“Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan,” katanya.

Kapal karam diserang paus

KOSMO
EMPAT pelayar diselamatkan oleh sebuah kapal kontena selepas 18 jam terdampar di tengah laut. - AFP / NEW ZEALAND DEFENCE FORCE
WELLINGTON – Sekumpulan pelayar terdampar di tengah laut selepas kapal layar dinaiki mereka karam akibat diserang kawanan paus sperma di perairan Pasifik Selatan, lapor akhbar The Sun UK. 

Kapal sepanjang 15.84 meter bernama Tai Tam itu karam di kawasan terpencil, menyebabkan empat anak kapal berjuang untuk terus hidup. 

Rakaman video kejadian menunjukkan kapal itu hilang dari permukaan air selepas serangan mengejut, dengan seorang pelayar dilihat melambai ke arah kamera demi meminta bantuan sebelum semua anak kapal diselamatkan oleh sebuah kapal lebih besar. 

Percutian mereka menjadi huru-hara selepas sekurang-kurangnya enam paus sperma merempuh kapal layar tersebut. 

“Kapal senget ke tepi. Terdapat antara enam hingga lapan paus,” kata mangsa,  Jemma Cooper. 

Mereka menghantar isyarat kecemasan pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) dan berusaha memastikan Tai Tam terus terapung tetapi gagal. 

Pesawat rondaan P-8A Poseidon milik Tentera Udara Diraja New Zealand dikerahkan untuk mencari bangkai kapal dan berkomunikasi dengan anak kapal ketika operasi menyelamat dijalankan.

Selepas menyedari Tai Tam retak teruk, keempat-empat pelayar bergegas menaiki bot penyelamat dan menunggu bantuan tiba. 

Mereka diselamatkan selepas 18 jam terdampar di tengah laut oleh sebuah kapal kontena sepanjang 143.25 meter, MV Sofrana Surville pukul 6 pagi (waktu tempatan), baru-baru ini. – AGENSI

Suri rumah didakwa bunuh ibu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya di sebuah rumah dalam kejadian di Menglembu, minggu lalu.

Tertuduh, Chew Loong Thye, 49, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Norizan Riduan, menurut Sinar Harian.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan pembunuhan terhadap Ching Lai Kheng, 70, di sebuah rumah di Taman Wang, Menglembu antara 7.15 malam hingga 7.30 malam pada 27 September lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainin Sofiya Azlaini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ainin Sofiya memaklumkan mahkamah bahawa laporan patologi dan toksikologi masih belum diperoleh selain tiada jaminan ditawarkan.

Tertuduh memberitahu dia ada mengambil ubat psikiatri.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dirujuk kepada pakar bagi mendapatkan laporan psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 November depan untuk mendapatkan laporan termasuk psikiatri.

Ahli Parlimen Petaling Jaya umum letak jawatan tanpa syarat

Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, hari ini, mengumumkan meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen, tanpa syarat.

Chean Chung yang memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), mengumumkan keputusan itu pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Pada 12 Jun lalu, Chean Chung, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkuat kuasa serta-merta selepas 18 tahun bersama parti itu dan lapan tahun memegang jawatan di peringkat pusat.

Bagaimanapun, ketika itu, beliau memaklumkan akan kekal sebagai ahli PKR dan terus menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen hingga Parlimen dibubarkan.

Lelaki maut dipercayai terjatuh dari pangsapuri

Nor Azizah Mokhtar

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah blok pangsapuri di Taman Bukit Segar, Batu 9 Cheras, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.46 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan pegawai bersama Unit Forensik digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan disahkan meninggal dunia,” katanya menerusi kenyataan.

Naazron berkata, mangsa ialah lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai tinggal di sebuah unit di tingkat tujuh blok berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), untuk proses bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sub Inspektor Norfaizal Zakaria di talian 016-290 2901 bagi membantu siasatan.

Kabel tersangkut treler, warga emas maut dihempap tiang

Ahmad Hasbi
Lelaki warga emas maut selepas dikatakan dihempap tiang utiliti ketika menunggang motosikal dekat simpang di Felda Jelai 4, di sini, pagi tadi.- Foto PDRM
TAMPIN: Seorang warga emas yang dalam perjalanan ke klinik maut selepas dipercayai dihempap tiang syarikat utiliti ketika menunggang motosikal di FELDA Jelai 4, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 61 tahun dilaporkan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan FELDA Jelai.

Kejadian kira-kira jam 8.55 pagi itu dipercayai berlaku apabila kabel syarikat utiliti tersangkut pada sebuah treler yang melalui jalan sama, menyebabkan tiang di bahu jalan bertentangan tumbang lalu menimpa mangsa.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman, mengesahkan siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal dari FELDA Jelai 3 menuju ke klinik kesihatan di tanah rancangan berkenaan.

“Siasatan dijalankan mendapati motosikal ditunggang warga emas dalam perjalanan dari FELDA Jelai 3 menghala ke Klinik Kesihatan di tanah rancangan berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah treler dipandu lelaki berusia 40 tahun dipercayai sedang keluar dari simpang tiga jalan di FELDA berkenaan dan kabel syarikat utiliti dikatakan tersangkut pada treler itu.

“Ia menyebabkan tiang di bahu jalan bertentangan tumbang dan menimpa mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik Daerah Tampin di talian 06-4412502 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Imanul Hassan Mohamad Shah.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu treler ditahan untuk membantu siasatan.

Buruh dipenjara 13 tahun sebabkan kematian perogol anak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap seorang buruh ladang yang mengaku bersalah menyebabkan kematian jirannya dua tahun lalu.

Sinar Harian melaporkan Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu terhadap warga asing berusia 34 tahun atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian seorang lelaki 33 tahun antara 7.30 malam 31 Ogos hingga tengah hari 1 Sept 2024 di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Tawau.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kemudiannya digantikan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika anak perempuan tertuduh memberitahu isterinya si mati merogolnya di kawasan semak semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.

Tertuduh yang berang kemudiannya mengambil sebilah parang dan mengejar si mati lalu melibas beberapa kali kerana mengaku tidak merogol anaknya.

Hasil pemeriksaan di Hospital Tawau mendapati terdapat koyakan baharu di bahagian sulit anak tertuduh berusia 12 tahun, selain DNA pada kuku mangsa dan air mani di seluar dalam mangsa sepadan si mati.

Peguam Jhasarry P Kang dalam rayuan memohon mahkamah mengambil kira anak guamnya tiada rekod jenayah, memberi kerjasama sepanjang prosiding dan tonggak ekonomi keluarga yang perlu menyara enam anaknya serta isteri.

Jelasnya, kejadian itu bukan dirancang, sebaliknya berlaku tiba-tiba dalam keadaan penuh emosi susulan dakwaan anak perempuan tertuduh dirogol jirannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif bagaimanapun menegaskan, hukuman berat perlu dikenakan untuk menjadi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai kerana kejadian itu sangat kejam serta mengerikan.

Tertuduh diperintahkan mahkamah menjalani hukuman itu bermula tarikh tangkapan pada 2 Sept 2024 dan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Parah dihempas ke kerusi kayu, mahkamah perintah remaja dibayar RM47,000

Bernama

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan Yayasan Islam Terengganu (YIT) membayar ganti rugi am RM30,000 kepada seorang remaja yang parah dihempas ke kerusi kayu empat tahun lalu.

Peguam Hazwan Hamidun yang mewakili remaja terbabit berkata, mahkamah turut memerintahkan guru Kafa itu, Ahmad Mursyidin Abdullah dan YIT membayar kos RM17,000 serta faedah 5% setahun dari tempoh saman difailkan pada Januari 2023 sehingga penyelesaian penuh kes kepada mangsa.

Beliau berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Yusrin Faidz Yusoff membuat keputusan itu semalam selepas membenarkan rayuan dikemukakan mangsa yang kini berusia 13 tahun melalui ibunya.

“Keputusan Mahkamah Tinggi itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang sebelum ini menolak tuntutan remaja berkenaan.

“Dalam penghakimannya, hakim Mahkamah Tinggi mendapati hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini terkhilaf dan gagal menilai keterangan dua saksi mata di dalam kelas sama (dengan mangsa).

“Hakim Mahkamah Tinggi juga mendapati hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila gagal meneliti laporan perubatan pakar Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang mengesahkan kecederaan itu akibat hentakan kuat,” katanya kepada pemberita di sini.

Pada Januari 2023, mangsa yang ketika itu dalam Tahun Tiga memfailkan saman terhadap seorang guru Kafa kerana melakukan perbuatan cuai hingga menyebabkan tulang tibia atau fibulanya patah dalam kejadian 6 Julai 2022 di sebuah sekolah di Marang.

Remaja itu yang ketika kejadian berusia sembilan tahun diwakili ibunya sebagai plaintif, memfailkan tuntutan berkenaan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Wanita tersepit 30 minit dalam SUV

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
Seorang wanita berdepan detik cemas apabila tersepit di dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori treler di Kilometer 422.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan, hari ini. FOTO IHSAN JBPM SELANGOR
Seorang wanita berdepan detik cemas apabila tersepit di dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori treler di Kilometer 422.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan, hari ini. FOTO IHSAN JBPM SELANGOR
Hulu Selangor: Seorang wanita tersepit di dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya selama hampir 30 minit selepas terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 422.1, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 petang hari ini, mangsa yang berusia 32 tahun turut mengalami kecederaan pada tangan dan belakang badan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.34 petang sebelum jentera bomba tiba di lokasi 16 minit kemudian.

"Nahas membabitkan Proton X50 dan treler. Setibanya di lokasi, didapati mangsa tersepit di dalam SUV. Anggota bomba segera menjalankan tugas mengeluarkan mangsa.

"Mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal oleh anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut," katanya.

8 polis ditahan disyaki terbabit aktiviti air ketum

Bernama

KUALA LUMPUR: Lapan anggota polis antara sembilan individu ditahan selepas disyaki terbabit aktiviti air ketum dalam serbuan di Taman Keramat, di sini, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Aida Abdul Hamid, mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, pihaknya memantau rapat kes itu dan siasatan telus sedang dilaksanakan IPD Ampang Jaya.

“Ya, JIPS Bukit Aman mengesahkan penahanan lapan anggota polis berserta seorang individu awam dalam operasi di Taman Keramat,” katanya ketika dihubungi.

Menurut sumber, serbuan di Jalan AU1, Taman Keramat pada 8.45 malam itu dilakukan Cawangan Risikan dan Operasi JIPS Bukit Aman serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ampang Jaya.

“Lapan anggota polis itu membabitkan tujuh yang bertugas di pelbagai cawangan sekitar IPD Sentul, manakala seorang lagi di IPD Brickfields,” kata sumber.

Sumber itu memaklumkan semua ditahan di lokap Balai Polis Hulu Kelang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

2 beradik tokoh korporat disyaki selewang pelaburan RM10 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua beradik yang juga tokoh korporat kerana disyaki bersubahat menyeleweng dan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.

Perintah reman selama lima hari sehingga 6 Oktober ini terhadap dua beradik bergelar ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk Wira’ itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi, lapor Utusan Malaysia.

Dua beradik berusia 40 dan 50an ditahan kira-kira 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada penghujung tahun 2020.

Mereka juga dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan yang berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan berjumlah kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama.

Susulan siasatan itu, SPRM menyita 15 kereta mewah, 12 motosikal berkuasa tinggi, lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman yang mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Lelaki dilarikan depan bengkel, mayat ditemui ditanam di Semenyih

Wartawan Jenayah

Kuala Lumpur: Seorang lelaki disyaki dibunuh selepas dilarikan sekumpulan individu dari hadapan sebuah bengkel kereta di Ampang Waterfront, Ampang Jaya, di sini, awal pagi Khamis lalu.

Mangsa berusia dalam lingkungan 30-an, dikenali sebagai Mulia dipercayai dilarikan oleh suspek dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Honda.

Seorang pemilik bengkel, yang enggan dikenali berkata, dia melihat rakannya dilarikan oleh suspek dari hadapan bengkelnya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premisnya.

"Saya bertemu mangsa sejam sebelum dilarikan. Ketika itu dia menghantar kenderaannya ke bengkel saya untuk dibaiki pada awal pagi Khamis sebelum saya pulang ke rumah.

"Pada siang hari (Khamis), saya dihubungi oleh isteri dan adik mangsa yang memaklumkan Mulia tidak pulang ke rumah sebelum saya ke bengkel dan meneliti rakaman CCTV.

"Berdasarkan rakaman itu, kejadian berlaku sekitar jam 4 pagi, yang mana Mulia dibawa menaiki sebuah kereta, sebelum saya menyarankan isteri dan adiknya untuk membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pemilik bengkel berkata, dia kemudian dihubungi oleh isteri mangsa pada awal pagi Isnin lalu memaklumkan Mulia sudah meninggal dunia disyaki menjadi mangsa bunuh.

"Isnin lalu, saya ada bertemu dengan adik dan isteri mangsa di Hospital Serdang, kami difahamkan ketika ini pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, rakaman CCTV di bengkelnya juga sudah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, mayat seorang lelaki yang ditemui ditanam di satu kawasan di Semenyih, Kajang, Ahad lalu dipercayai adalah mayat mangsa.

Pada masa ini, usaha mendapatkan pengesahan daripada Polis Daerah Kajang dan Polis Daerah Ampang sudah dilakukan namun masih menemui jalan buntu.

Berdasarkan maklumat yang diterima, pihak polis sudah menahan beberapa individu yang disyaki terbabit bagi membantu siasatan selain sedang mengesan saki-baki suspek utama.

Lelaki didakwa rakam 4 wanita buang air, miliki video lucah

Nur Izzati Mohamad

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan merakam empat wanita membuang air kecil dalam tandas dan memiliki video lucah pada bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Mukhris Sulaiman, 22, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sharifah Razali.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Muhammad Mukhris didakwa melakukan kesalahan di sebuah kilang di Bukit Minyak, Seberang Perai Tengah antara 11.44 pagi dan 6.55 petang, 2 September hingga 23 September lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa dengan pertuduhan memiliki beberapa video lucah ketika pemeriksaan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, pada 9.30 pagi, 24 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili V Sivakumar.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi semua tuduhan dan memerintahkannya tidak mendekati mangsa sehingga perbicaraan selesai.

Kes akan disebut semula pada 19 November ini untuk serahan dokumen.

Pengedar dadah lari bogel apabila kediamannya diserbu polis

KOSMO!
POLIS mengejar suspek yang berlari dalam keadaan berbogel. - Polis Merseyside
LONDON  – Seorang pengedar dadah di Wigan, Britain nekad melarikan diri melalui tingkap dalam keadaan bogel apabila kediamannya diserbu  pihak berkuasa, lapor akhbar  The Sun UK semalam.

Suspek dikenali sebagai  Jake Lowe, 28, ditangkap ketika cuba memanjat pagar sejurus  kediamannya diserbu polis, baru-baru ini.

Rakaman video di lokasi kejadian memaparkan anggota-anggota polis menjerit mengarahkannya turun ‘turun dari tembok itu sekarang’.

Suspek dibawa  ke balai polis dalam keadaan tangan bergari, manakala sehelai jaket diikat pada pinggang bagi melindungi alat sulitnya.

Lowe dan konco, Joseph Knockton ditahan berhubung pembabitan mereka dalam sindiket dadah yang menjual lebih 9 kilogram ganja dalam tempoh kurang sebulan.

Hasil serbuan di kediaman suspek, polis merampas 4 kilogram ganja, sedikit kokain, telefon bimbit  serta sejumlah wang tunai. 

Kedua-dua suspek mengaku bersalah atas pertuduhan membekal dadah serta memiliki harta hasil aktiviti jenayah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas Lowe, manakala Knockton dihukum penjara tiga tahun. – AGENSI

Lombong emas tanpa kebenaran, 9 individu ditahan

BERNAMA

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menahan sembilan individu dipercayai melakukan aktiviti perlombongan emas tanpa kebenaran di Kompartmen 152 dan 153, Hutan Simpan Bukit Ibam, Rompin, Isnin lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu memaklumkan, mereka terdiri tujuh lelaki dan dua wanita ditahan dalam operasi penguatkuasaan oleh Pejabat Hutan Daerah Rompin.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa lubang yang dipercayai digali menggunakan peralatan seperti cangkul bagi tujuan mendapatkan emas dengan kedalaman antara dua hingga tiga meter.

“Beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut turut disita, termasuklah mesin pam air yang diubah suai dan kuali,” menurut kenyataan itu.

Jabatan berkenaan memaklumkan, pemeriksaan mendapati aktiviti perlombongan tanpa kebenaran itu meliputi keluasan kira-kira 1.62 hektar, dengan anggaran kerugian berdasarkan kos pemulihan kawasan hutan berjumlah RM24,300.

Menurut kenyataan itu, koordinat lokasi lubang turut direkodkan bagi tujuan dokumentasi, pemetaan dan siasatan lanjut, manakala notis sitaan serta pita penguatkuasaan dipasang di laluan masuk ke kawasan terbabit.

“Kesemua orang yang disyaki dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin bagi tujuan siasatan lanjut oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang,” menurut kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 32(1), Seksyen 47(1) dan Seksyen 81(1)(e) serta (g) Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-Negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986.

Menurut kenyataan sama, Pejabat Hutan Daerah Rompin akan meneruskan pemantauan dan tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan atau disyaki membabitkan kesalahan hutan dalam Hutan Simpanan Kekal. – BERNAMA

Selepas suntikan maut gagal, banduan wanita jalani hukuman mati dibawa ke hospital

Astro AWANI
Christa Pike (foto) dibawa ke sebuah hospital di luar penjara untuk menerima rawatan perubatan selepas prosedur itu dihentikan. -Foto fail/Reuters
Christa Pike (foto) dibawa ke sebuah hospital di luar penjara untuk menerima rawatan perubatan selepas prosedur itu dihentikan. -Foto fail/Reuters
NASHVILLE: Seorang banduan wanita yang menunggu hukuman mati di Tennessee, Amerika Syarikat, dilaporkan masih hidup selepas pelaksanaan hukuman mati menggunakan dua dos pentobarbital gagal disempurnakan.
Menurut peguamnya, Christa Pike, 50, telah dibawa ke sebuah hospital di luar penjara untuk menerima rawatan perubatan selepas prosedur itu dihentikan.

Wanita bakal jalani hukuman mati di Tennessee buat pertama kali dalam tempoh 200 tahun
Sebelum itu, pasukan peguam Pike memfailkan usul kecemasan di mahkamah persekutuan bagi menghentikan pelaksanaan hukuman mati berkenaan ketika prosedur itu sedang berlangsung.

Menurut dokumen mahkamah yang difailkan peguamnya, Pike dipercayai telah tidak sedarkan diri tetapi masih mempunyai degupan jantung dan kedengaran berdengkur selepas kedua-dua dos pentobarbital diberikan.

Prosedur itu dijalankan di Riverbend Maximum Security Institution di Nashville selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat membatalkan perintah penangguhan yang dikeluarkan mahkamah rayuan beberapa jam sebelum pelaksanaan hukuman berkenaan.

Seorang peguam daripada Perkhidmatan Pembela Persekutuan mengesahkan bahawa anak guamnya sedang menerima rawatan perubatan selepas kedua-dua dos ubat berkenaan diberikan.

Sebagai rekod, Pike dijatuhi hukuman mati pada 1996 selepas didapati bersalah membunuh Colleen Slemmer, 19, pada 1995.

Menurut rekod kes, Pike dan teman lelakinya, Tadaryl Shipp, didapati bersalah membunuh Slemmer yang merupakan rakan mereka di sebuah pusat latihan pekerjaan di Tennessee.

Ibu mangsa, May Martinez, melahirkan kekecewaan terhadap kegagalan pelaksanaan hukuman itu selepas menunggu lebih tiga dekad untuk melihat hukuman berkenaan dilaksanakan.

Sementara itu, Tennessee Department of Correction (TDOC) berkata pihaknya telah mematuhi setiap langkah yang ditetapkan dalam protokol pelaksanaan hukuman mati negeri itu.

Pusara Negara diselubungi, Mahathir titiskan air mata di pusara isteri tercinta

Malaysiakini
Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menziarahi pusara Allahyarham Dr Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara di Putrajaya pada 11.05 pagi, empat hari selepas pemergian isteri beliau itu.

Kehadiran Mahathir yang ditemani anggota keluarga menarik perhatian orang ramai yang berada di kawasan Pusara Negara untuk menziarahi pusara Allahyarham.

Beliau berada kira-kira 20 minit di pusara Allahyarham sebelum beredar perlahan-lahan dalam suasana hening diselubungi hiba dan kesayuan.

Mahathir turut dilihat sebak dan menitiskan air mata dalam mengenang Allahyarham Siti Hasmah yang bersama-sama di sisinya selama tujuh dekad.

Orang ramai yang berada di pusara Allahyarham turut berkongsi rasa kepiluan itu memberikan ruang dan penghormatan kepada beliau.

Kira-kira 200 orang hadir ke Pusara Negara hari ini bagi menziarahi dan memberikan penghormatan kepada Allahyarham, termasuk kalangan anggota keluarga, rakan serta orang awam.

Terdahulu, anak sulung pasangan itu, Marina Mahathir hadir menziarahi pusara ibunya pada kira-kira 10 pagi.

Sementara itu, antara yang turut menziarahi ialah bekas jaguh badminton negara Lee Chong Wei, penyanyi Ramli Sarip dan anggota parlimen Putrajaya Radzi Jidin.

Berkongsi dengan media, Chong Wei berkata antara kenangan yang tidak dapat dilupakannya adalah sikap Siti Hasmah yang sentiasa menghubungi atlet untuk bertanya khabar, terutama selepas mereka menyertai sesuatu kejohanan.

“Apabila beliau datang berjumpa kami di stadium, beliau akan tanya seorang demi seorang. ‘How are you? Beliau ingat keperluan setiap atlet.

“Beliau sentiasa mengambil berat tentang kami. Itu yang kami (rasa) kehilangan, seorang tokoh yang begitu dekat dengan badminton,” katanya.

Chong Wei berkata Siti Hasmah turut memberikan kata-kata semangat ketika atlet berdepan kekalahan di samping terus menyokong mereka tanpa mengira keputusan yang dicapai.

“Ketika kami menang, beliau akan hantar mesej kepada kami..apabila kami kalah, ketika itulah kami lebih memerlukan sokongan dan beliau tidak pernah berputus asa dengan kami.

“Beliau akan telefon atau hantar mesej dan berkata, ‘It’s okay, you try your best, you have played very well’. Jangan berputus asa, teruskan usaha. Itu yang saya tidak akan lupakan sepanjang karier saya sebagai atlet,” katanya.

Chong Wei berkata beliau menerima berita pemergian Siti Hasmah ketika berada di Nagoya, Jepun selepas selesai menyertai kejohanan di Filipina.

“Saya rasa seluruh pasukan badminton turut bersedih dengan berita itu. Kami hanya mampu mendoakan beliau,” katanya.

Beliau berkata sebaik tiba di Malaysia, beliau bersama isteri yang juga bekas pemain badminton negara, Wong Mew Choo terus menziarahi pusara Siti Hasmah sebagai tanda penghormatan terakhir.

- Bernama

Suri rumah menyamar pegawai kanan Imigresen ditahan

Bernama

MELAKA: Jabatan Imigresen Melaka menahan seorang wanita tempatan yang disyaki menyamar sebagai pegawai kanan Imigresen dan menjadi dalang menguruskan permohonan pas kerja bagi warga asing yang ingin mendapatkan permit bekerja di negara ini.

Pengarah Imigresen Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, suri rumah berusia 50an itu ditahan dalam serbuan Op Serkap di sebuah kafe di Taman Malim Jaya kira-kira 6 petang semalam.

Anirwan Fauzee berkata, susulan tangkapan itu, serbuan turut dilakukan di sebuah kondominium di Kota Laksamana dan pelbagai barangan disyaki milik suspek dirampas bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata, antara barangan dirampas sepasang pakaian seragam hitam beserta aksesori, sepasang tanda pangkat pegawai kanan Imigresen, sepasang ‘collar batch’ Jabatan Imigresen, satu lencana integriti Jabatan Imigresen, dua tudung berwarna kelabu, dua kemeja-T berwarna hitam dengan logo Jabatan Imigresen dan sekeping kad pengenalan Jabatan Imigresen yang dipalsukan.

“Ketika ditahan di kafe berkenaan, suspek sedang berurusan dengan seorang warga China dan mangsa mendakwa telah membayar kira-kira RM6,000 bagi mendapatkan permit kerja dan setakat ini tiga mangsa telah diperdaya oleh suspek termasuk dua rakyat Malaysia.

“Suspek menawarkan khidmat permohonan pas kerja bagi warga asing yang memerlukan permit kerja atau pas lawatan kerja sementara tanpa majikan atau warga asing terlibat perlu hadir ke pejabat Imigresen,” katanya pada sidang akhbar.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Imigresen Melaka (Kawalan) merangkap Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Melaka Suzila Suhya dan Ketua Unit Risik dan Operasi Jabatan Imigresen Melaka Irwan Rizalman Abd Rashid.

Anirwan Fauzee berkata, siasatan awal mendapati suspek menjalankan aktiviti penyamaran dan penipuan itu antara satu hingga dua tahun dengan modus operandi bergerak secara solo, mendekati majikan atau warga asing yang dilihat terdesak mendapatkan permit kerja.

Beliau berkata, ibu kepada lima anak itu turut memuat naik gambarnya yang lengkap berpakaian seragam jabatan itu di media sosial bagi meyakinkan majikan bahawa suspek merupakan anggota jabatan itu.

Anirwan Fauzee berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 56(1)(k) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana cubaan memperoleh secara membuat kenyataan palsu atau tanpa kuasa yang sah mempunyai dalam milikannya pas, dokumen atau perakuan yang palsu atau yang dipinda secara menyalahi undang-undang.

“Jabatan Imigresen Melaka turut mengeluarkan saman saksi kepada mangsa atau pelanggan dan suami suspek bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

“Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan individu yang menawarkan perkhidmatan Imigresen secara tidak rasmi, sebaliknya berurusan terus di pejabat Jabatan Imigresen terdekat.”

Juruterbang selamat pesawat tersangkut pada pokok

KOSMO!
SEBUAH pesawat tersangkut pada pokok selepas terhempas berhampiran Lapangan Terbang Dream Team di Madison, negeri Georgia kelmarin. - Morgan Citizen
MADISON, GEORGIA – Seorang juruterbang dibawa ke hospital selepas pesawat ringan yang dikendalikannya terhempas di kawasan lapang dan tersangkut pada pokok berhampiran sebuah lapangan terbang di negeri Georgia, lapor laman berita 11Alive. 

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata, pesawat jenis Smith Pitts Special S-1 itu terhempas sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan) di bandar Madison kelmarin. 

“Hanya juruterbang berada di dalam pesawat,” kata FAA, sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan. 

Juruterbang tersebut berada dalam keadaan sedar dan peka ketika diterbangkan keluar dari lokasi kejadian.

Imej dimuat naik oleh 11Alive menunjukkan pesawat enjin tunggal keluaran 1976 itu tersangkut pada sebatang pokok. 

Laman pemantauan FlightAware menunjukkan pesawat berkenaan berlepas dari Falcon Field pada pukul 1.17 petang (waktu tempatan) dan terbang selama kira-kira 30 minit sebelum terhempas berhampiran Lapangan Terbang Dream Team di Madison. 

Lebuh Raya Dixie ditutup ketika kru menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan serta pembaikan pada talian elektrik yang terputus, demikian menurut Pejabat Syerif Daerah Morgan. – AGENSI

5 ditahan gadai gelang emas palsu, termasuk seorang warga asing

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang warga asing antara lima ditahan kerana cuba menggadai barang kemas palsu di Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Kota Tinggi, Yusof Othman, berkata pihaknya menerima maklumat pada 1.58 tengah hari semalam daripada pengurus kedai pajak gadai mendakwa menerima seutas gelang emas dianggarkan seberat 23g dianggarkan bernilai RM13,000 mengikut harga pasaran daripada seorang individu.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati gelang emas itu palsu dan bertindak atas maklumat, tiga lelaki dan dua wanita berusia 34 hingga 62 tahun, termasuk seorang warga asing ditahan.

“Semakan mendapati seorang suspek memiliki satu rekod lampau berkaitan kes penjualan emas palsu di Alor Setar, Kedah,” katanya menurut Berita Harian sambil menambah dua lagi suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan narkotik.

Beliau berkata, polis yakin penahanan semua suspek dapat membantu siasatan beberapa kes berkaitan pemajakan atau penjualan emas palsu di sekitar Kota Tinggi.

Menurutnya, semua suspek direman tiga hari hingga 2 Okt ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terengganu: Banduan dipenjara lima tahun, satu sebatan liwat rakan sel di Penjara Marang

Malaysiakini

Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan kepada seorang banduan yang mengaku bersalah meliwat rakan sepenjaranya, awal bulan ini.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman ke atas Mohd Ridzuan Zahar, 42, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan.

Mohd Ridzuan didakwa meliwat seorang lelaki berusia 23 tahun pada kira-kira 3 pagi 4 Sept di dalam sel Penjara Marang, Marang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima hingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabilah Rusli manakala lelaki itu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Abdul Hayyi Salim.

- Bernama

Lelaki berbogel cuba larikan dua kanak-kanak ditahan

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
MELAKA – Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki berbogel yang didakwa cuba melarikan dua kanak-kanak berusia 10 dan dua tahun dalam dua kejadian berasingan di Taman Ayer Molek, di sini, malam tadi.

Suspek berusia 36 tahun itu turut mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 8 malam apabila suspek dalam keadaan berbogel dilihat menaiki kenderaan milik pengadu yang diletakkan di pekarangan rumah di Taman Ayer Molek.

Katanya, anak lelaki pengadu berusia 10 tahun bagaimanapun sedang menunggunya di dalam kenderaan tersebut dan pengadu segera meminta kanak-kanak itu keluar melarikan diri.

“Pengadu kemudian telah menarik suspek keluar dari kereta berkenaan, namun lelaki itu bertindak agresif dan enggan beredar dari kawasan tersebut.

“Pengadu terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Halim berkata, dalam kejadian berasingan, seorang lagi pengadu bersama isteri dan anak perempuannya berusia dua tahun turut terserempak dengan suspek di kawasan simpang Taman Ayer Molek.

Katanya, suspek didakwa cuba merampas telefon bimbit milik isteri pengadu sebelum tiba-tiba bertindak memegang anak perempuan mereka.

“Pengadu cuba mendapatkan semula anaknya sehingga berlaku pergelutan dengan suspek dan telah dibantu oleh orang awam sehingga pihak polis tiba di lokasi.

“Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Melaka Tengah telah menahan semula suspek kira-kira pukul 8.20 malam dan pemeriksaan mendapati lelaki itu mengalami kecederaan di bahagian kepala,” ujarnya.

Tambahnya, suspek telah dibawa ke Balai Polis Tiang Dua dan saringan awal ujian air kencing mendapati lelaki tersebut positif THC (tetrahydrocannabinol) atau ganja.

Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 6 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 14(a) AKSTK 2017, Seksyen 324 serta Seksyen 377D Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Lelaki ditembak dua individu di stesen minyak

Sinar Harian
https://www.sinarharian.com.my/article/798450/berita/semasa/lelaki-ditembak-dua-individu-di-stesen-minyak
Tangkap layar CCTV memaparkan seorang lelaki mengacukan senjata api ke arah kenderaan mangsa sebelum beredar melarikan diri.
TAPAH: Seorang lelaki cedera ditembak dua individu menggunakan senjata api ketika berada di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral, Bidor di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.08 petang itu, mangsa berusia 41 tahun tiba di stesen minyak berkenaan dengan menaiki Toyota Land Cruiser berwarna putih untuk mengisi minyak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati sebuah Honda City berwarna hitam datang dari arah Pekan Bidor sebelum berhenti di hadapan kenderaan mangsa.

Menurutnya, dua lelaki kemudian keluar dari kenderaan berkenaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan mangsa sebelum melarikan diri.

"Mangsa yang merupakan penumpang kenderaan tersebut mengalami kecederaan selepas terkena satu das tembakan di bahagian bahu kiri.

"Ketika kejadian, terdapat lima individu di dalam kenderaan mangsa dan kesemua individu lain tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Alwi berkata, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Tapah sebelum dirujuk ke sebuah hospital di Ipoh dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Mohd Alwi berkata, keadaan mangsa kini dilaporkan stabil selepas diberikan rawatan.
Image
http://sinarharian.com.my/article/798450/berita/semasa/lelaki-ditembak-dua-individu-di-stesen-minyak
Kesan tembakan pada kereta mangsa.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, pemeriksaan pasukan forensik di lokasi kejadian menemukan satu peluru 9mm Luger, empat kelongsong peluru 9mm Luger serta serpihan anak peluru.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan mangsa turut menemukan beberapa serpihan anak peluru dan kesan tembakan pada bahagian kenderaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan penggunaan senjata api dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian,” katanya.

Menurutnya, pasukan penyiasat turut menjalankan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi berkaitan, termasuk laluan sekitar Bidor serta plaza tol yang dikenal pasti.

Jelasnya, pemeriksaan dan analisis barang kes berkaitan juga sedang dijalankan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis.

Terdahulu tular rakaman video CCTV berdurasi 56 saat di media sosial memaparkan kejadian tembakan yang berlaku di sebuah stesen minyak di Bidor pada Selasa. -- Sinar Harian

Menjelang PRU16: Sanusi dengan ketuanan PAS

Mohsin Abdullah

Mesej Sanusi Nor jelas: Pemimpin dan juru runding PAS mesti berani pertahan pendirian, jangan rasa kerdil.

Saya mulakan penulisan ini dengan mengimbau kembali sedutan ucapan penggulungan Sanusi Nor selaku pengarah pilihan raya PAS pada muktamar PAS pada 16 Sept 2025.

Kata Sanusi, pada PRU15, parti rakan dalam Perikatan Nasional (PN) bergantung pada peralatan yang terpaksa dibayar oleh PAS: “Semua peralatan kita bayar, mereka datang bertanding sahaja, lepas tu nak jadi ketua tapi duit tak ada dan jentera tak ada.”

Dan kata beliau lagi, “Jangan sampai kita ungkit semua”. Sebenarnya apa yang diucapkan itu sudah pun boleh dianggap ‘mengungkit’.

Sindiran Sanusi umum tahu ditujukan kepada Muhyiddin Yassin dan partinya Bersatu yang ketika itu duduk bersama PAS dalam PN. Tidak lama kemudian, hubungan antara dua parti itu mulai renggang. The rest is history.

Imbau pula ucapan Sanusi pada muktamar PAS 2026 awal bulan ini. “PAS ni sudah jadi parti gajah. Tiba tiba lalu kucing bawa anak dua tiga ekor … jadi takut.” Rasanya ramai sudah tonton video ucapan itu.

Jika pernah ikuti, tentu anda ingat apa lagi kata beliau: “Jangan ikut kucing tu, dia pun baru nak hidup ja Dia baru tubuh parti dua hari lepas, dok ajar kita lepas tu kita turut dia, tak betul tu.”

Siapa yang Sanusi maksudkan? Mana parti yang baru ditubuhkan? Mungkinkah Wawasan? Wallahua’lam tetapi memang Wawasan baru ditubuhkan akibat masalah dalaman Bersatu. Ia parti serpihan Bersatu. Dan Wawasan baru diterima sebagai komponen PN.

Perhatikan beberapa sedutan ucapan Sanusi lagi: “Orang yang ada masalah pun, mai kat kita. Mereka nak cari ubat, suruh kita hembus, kita tolonglah hembus .Dah jadi sihat elok, jangan nak duduk atas kepala kita pulak.”

“Pastu dah tak ada orang, ambil orang kita, lepas tu kita pi seronok. Orang kita pi kat dia, kita seronok. Lepas tu, parti dia besar, parti kita kecil. Dia jadi calon, kita jadi jentera.

“Orang mai menumpang kita, kita pula rasa kerdil. Bilik tidur kita, bagi kat dia, kita tidur ruang tamu … banyak cantik!”

Adakah apa yang Sanusi huraikan itu sudah berlaku? Adakah parti yang baru ‘berusia’ dua hari dan punya masalah datang minta pertolongan PAS, tetapi sekarang sudah besar kepala, lantas buat tuntutan? Dah nak duduk atas kepala PAS?

Sanusi pemimpin kanan parti. Tentu beliau tahu apa yang ramai termasuk ahli PAS biasa tidak tahu.

Atau mungkin beliau ‘sekadar’ mengingatkan PAS supaya berhati-hati agar apa yang beliau kata tadi tidak terjadi?

Pun begitu, mesejnya jelas, yakni PAS jangan rasa diri kerdil.

Ini kerap beliau ulangi. Masalah orang PAS, rasa kerdil, padahal PAS sudah parti besar berusia 75 tahun, katanya. Namun bagi saya yang melihat PAS dari luar dan jauh, parti itu tidak pernah tunjuk tanda rasa diri kerdil. At least not in the open.

Malah ramai pemimpinnya bila bercakap kedengaran ‘condifent’ sehingga tahap overconfident dan appear arrogant. Bagaimanapun, Sanusi pada ucapannya menyentuh juga aspek ‘deal’.

Maksudkan apabila pemimpin atau sesiapa yang mewakili PAS pergi berunding dengan pihak dalam dan luar PN, elemen ‘kerdil’ timbul, yang boleh atau sudah bawa sesal di belakang hari.

“Jangan lepas dok rugi, bagi semua kat orang, lepas tu menyesal mai dok meratap di sini.”

Ini jelas merujuk rundingan pengagihan kerusi untuk ditandingi pada PRU atau PRN. Adakah rundingan atau meminjam istilah Sanusi, ‘deal’, membabitkan Wawasan?

Mungkin ya, tetapi runding dengan Wawasan tentang kerusi untuk dipertandingkan bukan masalah besar untuk PAS. Meskipun Presiden PAS Hadi Awang ada soft spot terhadap Hamzah Zainudin, iaitu presiden Wawasan, saya percaya PAS will not be cowed. Ibarat parti gajah dengan parti kucing. Sekali lagi meminjam istilah yang digunakan Sanusi.

Maka menurut saya, selain rundingan dalam PN, apa yang diperkatakan Sanusi pada ucapannya merujuk lebih kepada seat negotiation dengan parti besar, umpamanya Umno.

Mesej Sanusi adalah pemimpin dan juru runding PAS mesti berani mempertahankan pendirian. “Kerusi kita jangan diserahkan.”

Menghayati apa yang dikatakan Sanusi, mesejnya, menurut saya, ditujukan kepada kepimpinan PAS, iaitu sama ada runding dengan parti luar PN (boleh dibaca Umno), apa lagi dengan komponen (Wawasan, Pejuang, Gerakan, MIPP), PAS mesti jadi tuan.

Meskipun mesej disampaikan menerusi ucapan 5 Sept lalu, saya kira pendirian Sanusi tidak berubah.

Tun Mahathir masuk IJN

Malaysiakini

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam untuk menjalani pemerhatian, kata anaknya Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Mokhzani berkata keadaan bapanya ketika ini adalah baik dan tidak membimbangkan, namun keputusan untuk memasukkannya ke IJN dibuat bagi membolehkan beliau diberi perhatian selepas pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

"Beliau dimasukkan ke IJN untuk pemerhatian. Dua hari lepas sangat menekan Tun M. Buat masa ini, beliau okey dan tidak dalam keadaan yang merisaukan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di IJN pada pagi, 28 Sept lepas dan dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari yang sama dengan Istiadat Pengebumian Negara.

Seorang lagi anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini berkata sebelum pemergian Dr Siti Hasmah, Dr Mahathir berada di IJN untuk menemani isterinya sepanjang menerima rawatan.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan tahun ini genap 70 tahun usia perkahwinan mereka dan pasangan itu dikurniakan tujuh anak.

- Bernama

Remaja perempuan berusia 14 tahun ini dilaporkan hilang, kali terakhir dilihat di Puchong

MOHD. FAHMI ISMAIL
Nur Athilah dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya di Puchong pada 25 September lalu.
PUCHONG – Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya di Taman Puchong Prima, di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja berkenaan daripada ahli keluarganya kira-kira pukul 10.20 pagi tadi.

Menurut beliau, orang hilang (OH) dikenali sebagai Nur Athilah Mohd Zulkefli itu kali terakhir dilihat keluar dari rumah beralamat di Pangsapuri Cempaka, Taman Puchong Prima kira-kira pukul 9.30 malam pada 25 September lalu.

“Ketika keluar dari rumah, OH memakai baju-T berwarna biru dan seluar trek berwarna hitam. OH mempunyai ketinggian 153 sentimeter, berat 52 kilogram, berkulit sawo matang, berambut hitam pendek serta mempunyai mata berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat remaja berkenaan supaya tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya).

Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Fikri Md Said di talian 012-666 5946. – KOSMO! ONLINE

Remaja dakwa dipaksa hisap vape sebelum dirogol

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Remaja perempuan berusia 18 tahun mendakwa dipaksa menghisap rokok elektronik (vape) oleh seorang lelaki sehingga tidak sedarkan diri sebelum dirogol.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah residensi di Petaling, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Polis Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang berlaku kira-kira 5 pagi.

"Mangsa mendakwa dipaksa suspek menghisap vape sebelum tidak sedarkan diri. Dia hanya tersedar kira-kira 7 pagi dan mendapati tidak berpakaian.

"Mangsa turut mengalami kesakitan pada bahagian kemaluan dan mengesyaki dirogol suspek," katanya kepada Harian Metro malam ini.

Susulan itu, Hoo berkata, pihaknya sedang mengesan suspek untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

G25 desak Ismail letak jawatan, pihak berkuasa perlu siasat usaha singkir Tuanku Muhriz

Harapandaily
Kemelut membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan memasuki fasa baharu apabila G25 menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang didakwa terbabit dalam usaha menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar negeri itu.

Menurut laporan The Malaysia Press(TMP) kumpulan bekas penjawat awam kanan itu turut mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim supaya meletakkan jawatan, dengan alasan beliau telah kehilangan kredibiliti dan kewibawaan moral untuk menerajui pentadbiran negeri susulan tindakannya dalam isu berkenaan.

Dalam kenyataannya, G25 mendakwa usaha menyingkirkan seorang pemerintah merupakan perbuatan serius yang boleh disiasat mengikut Seksyen 121B Kanun Keseksaan, selain mendakwa ia turut boleh melibatkan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.

G25 berkata pihak berkuasa perlu bertindak tanpa mengira kedudukan mana-mana individu sekiranya terdapat asas untuk menyiasat dakwaan berhubung usaha menyingkirkan Tuanku Muhriz. 

Kumpulan itu turut menegaskan Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan dan prinsip kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan.

Gesaan itu dibuat ketika polis sedang menjalankan siasatan susulan beberapa laporan berkaitan kemelut pentadbiran dan institusi diraja negeri berkenaan. Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail sebelum ini mengesahkan keterangan 10 bekas Exco akan direkodkan di Negeri Sembilan.

Malah, beberapa bekas Exco telah hadir di Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) pada 28 September untuk membantu siasatan pasukan Bukit Aman. Polis turut dijangka mengambil keterangan daripada saksi dan individu lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan.

G25 turut mempersoalkan kedudukan Ismail selepas beliau mengangkat sumpah jawatan serta ikrar taat setia sebagai Menteri Besar di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos, sebelum didakwa menandatangani proklamasi berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar pada hari berikutnya.

Menurut G25, keadaan menjadi lebih rumit apabila Ismail sebelum ini mendakwa beliau menandatangani dokumen itu di bawah tekanan serta menganggapnya tidak sah dan tidak mempunyai kesan perundangan, sebelum pada 16 September muncul kenyataan yang menunjukkan pendirian berbeza mengenai proklamasi berkenaan.

Pada 17 September, Jabatan Peguam Negara menjelaskan Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.

 AGC turut menyatakan keputusan Exco yang kemudiannya mengiktiraf penyingkiran Tuanku Muhriz adalah tidak sah dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

Susulan kemelut itu, pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan dibatalkan berkuat kuasa 20 September. Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata tindakan berkenaan sah mengikut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan kemudiannya diwartakan.

Kesemua 10 bekas Exco berkenaan ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

G25 dalam pada itu mengulangi gesaan supaya Ismail menjelaskan siapa yang didakwa memaksanya menandatangani proklamasi berkenaan serta sebab pendiriannya berubah mengenai kesahihan dokumen tersebut. 

Bagaimanapun, gesaan dan dakwaan G25 itu merupakan pendirian kumpulan berkenaan, manakala siasatan polis terhadap perkara tersebut masih berjalan.