"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerja tak ada, kenapa nak undi PAS, soal pengundi muda

Chan Kok Leong

JAM mencecah 9 malam pada Ahad lalu di Seberang Jaya tetapi Muhamad Afiq Syaham masih bekerja keras melakukan kerja keduanya, iaitu sebagai pemandu Uber.

Afiq, yang menayangkan selempang Kedah FA di papan pemuka keretanya, berkata dia bukan warga Pulau Pinang tetapi terpaksa merantau dari Kedah, negeri yang pernah ditadbir oleh PAS selama satu penggal, kerana sukar mendapat pekerjaan di negeri asalnya itu.

“Pembangunan di Kedah tidak berkembang ketika pentadbiran PAS dari 2008-2013. Mulanya nampak keadaan jadi lebih baik bila Mukhriz Mahathir jadi menteri besar. Tapi dia diganti pula selepas itu,” kata Afiq, yang menyalahkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atas kesukaran yang dihadapinya itu.

Selain membawa bekal dari rumah dalam kereta kecilnya Viva, Afiq, 26, memandu antara 12-14 jam di Pulau Pinang pada hujung minggu untuk menampung kehidupan.

“Saya baru saja kahwin dua bulan tetapi jarang dapat jumpa isteri kerana saya kena kerja,” katanya yang tetap ceria walaupun berdepan kesukaran hidup.

Dan bila soalan dilontarkan padanya parti mana dia sebagai pengundi kali pertama akan pilih, Afiq menjawab “sudah tentu Bersatu”.

“Ibu bapa saya ahli PAS tapi saya tidak akan undi mereka (PAS),” katanya yang menyertai Bersatu tahun lalu.

“Walaupun PAS kata ia berjuang untuk Islam dan itu sebab ia keluar Pakatan Rakyat untuk tolong Umno. Ini strategi salah. Mereka patut sertai parti pembangkang lain.”

Afiq berkata menteri besar PAS sebelum ini, allahyarham Azizan Abdul Razak, seseorang yang baik tetapi tidak melakukan secukup baik untuk pembangunan Kedah.

PAS bukan pembangkang yang berkesan

Ini tidak mengejutkan bagi penyelidik PAS Dr Mazlan Ali, yang memberitahu The Malaysian Insight bahawa imej parti Islam itu tercalar sejak 2015.

“Akhir-akhir ini, persepsi masyarakat melihat PAS tidak berperanan sebagai pembangkang yang berkesan kerana kurang mengkritik polisi kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Tambahan pula, kebolehan dan keberkesanan PAS sebagai pemerintah di Kelantan akhir-akhir ini semakin dipertikaikan berikutan pelbagai kritikan timbul terutama isu yang berkait dengan penerokaan sumber hutan kekal di negeri itu,” kata pensyarah Universiti Teknologi Malaysia itu.

Ketika pelancaran jentera pilihan raya Perak, pemimpin PAS berkata semakin ramai pengundi muda menyokong parti itu dan ia bakal menjadi asas kejayaan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Keyakinan PAS terhadap sokongan pengundi muda untuk parti itu disokong kerana institusi itu dibina dalam suasana guru agama, kata Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

“PAS mempunyai institusi yang mampu mendidik dan membentuk pemikiran sesuai dgn ideologi PAS seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang akan membentuk pengenalan dengan konsep sesuai dengan Islam PAS.

“Ini akan berkembang dengan sekolah-sekolah madrasah atau pondok yang simpati kepada perjuangan PAS. Sebahagian generasi inilah yang membantu membentuk kelompok pengundi muda untuk PAS,” kata Awang Azman.

Apa yang pengundi muda mahu?

PAS tidak menarik kepada ramai pengundi muda kerana ia tidak sepadan dengan “keperluan” mereka, kata Mazlan.

“Dalam ilmu sains politik, pengundi muda dikategorikan sebagai ‘participant’ iaitu satu kumpulan yang membuat pilihan politik berdasarkan isu, bukan parti politik.

“Lebih dari 85% sumber maklumat politik yang diperoleh pengundi muda adalah melalui media sosial dan biasanya mereka menganalisis isu di sekeliling mereka yang menyentuh kehidupan mereka.

“Mereka bertindak seperti ‘pengguna politik’, dan akan menilai tawaran yang lebih menguntungkan dibuat oleh parti-parti politik.

“Pada hari ini, masyarakat berdepan dengan tekanan kos kehidupan seperti kenaikan harga barang, petrol dan pengenalan kerajaan sejenis cukai regresif (GST) yang agak membebankan pengguna.

“Golongan pengundi muda adalah kumpulan paling teruk terjejas terutama yang berumur antara 25-35 tahun kerana beban saraan keluarga, pekerjaan yang sukar dan peluang ekonomi kurang,” kata Mazlan.

Sehubungan itu, katanya pengundi muda tidak mempunyai sebab yang kukuh untuk menyokong PAS kerana melihat parti ini bukan suatu pilihan alternatif menggantikan BN.

“Sama juga pengundi muda kurang tertarik dengan manifesto BN, kerana sebagai pemerintah, persepsi mereka berfikir bahawa masalah tekanan kos kehidupan yang dihadapi sekarang disebabkan kegagalan polisi kerajaan hari ini,” katanya.

Dilema Dr Mahathir

Pengarah Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata pengundi muda sudah mula menerima bekas perdana menteri Dr Mahathir Mahathir, sekali lagi.

Mereka boleh menerima Tun Mahathir, mereka keliru Tun Mahathir yg mereka kenali melalui teks di sekolah yang memperlihatkan jasa besar Tun kepada Negara. Akibat serangan yang berlebihan terhadap negarawan ini menukar kepada simpati generasi muda kepada Tun Mahathir yg telah berjasa selama 22 tahun.

“Mereka mulanya keliru bagaimana pemimpin yang dikenali melalui buku teks di sekolah sebagai seorang yang sangat berjasa kepada negara, kini diserang.

“Akibat serangan yang berlebihan terhadap negarawan ini, ia menukar kepada simpati generasi muda kepada Dr Mahathir yang telah berjasa selama 22 tahun,” kata Hisommudin.

Faktor Dr Mahathir membantu menarik pengundi muda Melayu menyertai Bersatu, kata Mazlan.

“Dalam kalangan empat parti Melayu – Umno, PAS, Bersatu dan Amanah – Bersatu ada momentum kerana beliau.

“Pengundi muda hari ini terutama yang lahir 1990-an mungkin kurang mengenali Tun, namun mereka pasti dipengaruhi persepsi umum bahawa zaman pemerintahan beliau, Malaysia pernah mencapai era kegemilangan dan kemajuan,” kata Mazlan.

Menurut laporan terdahulu, 55% daripada 200,000 ahli Bersatu terdiri daripada golongan muda.

Awang Azman, pensyarah di Akademi Pengajian Melayu berkata golongan muda Melayu lebih sukakan Bersatu kerana Dr Mahathir.

“Walaupun terdapat segelintir anak muda yang tidak mahu Dr Mahathir kerana faktor umur, ramai yang mengakui beliau mampu menyatukan Pakatan dan menjadikan Malaysia kembali hebat,” kata Awang Azman.

Bagi Afiq, undinya pada PRU14 nanti sudah pasti.

“Saya pilih Bersatu sebab ada Mukhriz dan Dr Mahathir. Walaupun saya terlalu muda untuk tahu tentang dasarnya ketika beliau jadi perdana menteri, kehidupan masa itu lebih baik. Ibu bapa saya tidak perlu buat dua kerja macam saya.

“Saya tidak akan undi PAS,” kata Afiq sambil memandu melepasi sekumpulan orang ramai yang berkumpul di program ceramah PAS di Kubang Semang, malam tadi.

Tiada ulasan: