"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH Selangor jangan cari publisiti buruk - Tun Dr Mahathir

Faiz Zainudin 
PUTRAJAYA: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pertelingkahan terbuka antara parti komponen gabungan itu di Selangor hanya mengundang publisiti buruk dan meminta semua pihak bertelingkah berhenti menyerang sesama sendiri.

Beliau mengingatkan pertelingkahan terbuka sesama mereka hanya melemahkan keyakinan pengundi pada gabungan parti pemerintah di Selangor.

Dr Mahathir dalam program Bicara Pimpinan Anak Bersama Tun Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

“Kenyataan secara terbuka ini, kadang-kadang memberi kesan negatif. Ada benda yang perlu kita selesaikan sesama kita tanpa publisiti,” katanya kepada pemberita selepas program Bicara Pimpinan Anak Bersama Tun Mahathir di Yayasan Kepimpinam Perdana hari ini.

Beliau memberitahu pemberita bahawa “masalah” pengagihan kerusi DUN di Selangor memerlukan sedikit masa lagi untuk diselesaikan.

Beliau mengesahkan pemimpin PH Selangor ada membawa isu rundingan kerusi di negeri itu ke perhatiannya dan memberi penjelasan tentang perkara itu.

“Kita ada masa lagi. Memang lah nak bagi bersetuju 4 buah parti bukan mudah. Memang ada yang tak puas hati, parti kami (PPBM) pun tak puas hati,” katanya.

Perkelahian antara parti komponen PH tercetus selepas Amanah dan DAP negeri berkata mereka tidak tahu tentang mesyuarat pengagihan kerusi DUN di Selangor seperti yang didakwa oleh Pengerusi PKR Selangor Datuk Seri Azmin Ali.

Azmin sebelum ini mendakwa 4 mesyuarat sudah diadakan untuk menentukan 80% kerusi DUN di Selangor. Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata mereka hanya menghadiri 4 mesyuarat jawatankuasa pilihan raya sahaja, yang membincangkan strategi untuk PRU14.

Reaksi Amanah dan DAP Selangor itu bagaimanapun menyaksikan serangan bertalu-talu daripada beberapa pemimpin PKR negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor Dr Xavier Jayakumar dan Timbalan Pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin “mengesahkan” mesyuarat membincangkan pengagihan kerusi DUN di Selangor sudah diadakan.

Tiada ulasan: