"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pembahagian kerusi Dun Selangor: Azmin yang sebenarnya pembohong

Pembahagian kerusi Dun Selangor: Ambil sikap kebersamaan, elak perdebatan terbuka
DALIA ISMAIL 
Pembahagian kerusi Dun Selangor: Ambil sikap kebersamaan, elak perdebatan terbukaPengarah Pilihan Raya AMANAH Selangor Jaafar Samsuddin,berkata, pemimpin politik dan pemimpin parti perlu mengambil sikap kebersamaan dalam membuat sebarang kenyataan bagi mengelakkan pertikaian atau menjadi perdebatan di media secara terbuka.
Beliau bersetuju sekiranya pergeseran antara PKR dan AMANAH membabitkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dapat diselesaikan sekiranya kedua pihak bersedia untuk bersemuka.

Ini bagi meredakan perbalahan yang berlaku berpanjangan dengan reaksi balas pemimpin parti masing-masing mengenai dakwaan dibuat oleh dua pemimpin utama tersebut.

“Ia hanya masalah teknikal bukannya ada hubungkait dengan dasar mana-mana parti.

“Sebagai pemimpin mereka perlu menonjolkan sikap kebersamaan dalam PH ketika membuat sebarang kenyataan supaya ia tidak diperdebatkan oleh mana-mana pihak secara terbuka di media.

“Saya cadangkan kedua pihak (Azmin dan Izham) bersemuka untuk menjernihkan keadaan agar perkara ini tidak berlarutan dibincangkan oleh mana-mana pimpinan parti yang tidak berpuashati dengan isu tersebut,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Jaafar yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor juga mendakwa, telah dihubungi oleh beberapa pimpinan PKR Selangor yang melahirkan rasa tidak puashati mereka terhadap pergeseran dua pemimpin tersebut.

“Mereka hubungi saya dan bertanya apa sebenarnya berlaku.Saya akui memang tiada mesyuarat diadakan khusus untuk membincangkan soal pembahagian kerusi.

“Empat kali mesyuarat yang disebut oleh Azmin itu berlaku enam bulan yang lalu.

“Tetapi ia bukan membincangkan mengenai pembahagian kerusi.

“Dalam empat kali pertemuan itu ia lebih kepada mesyuarat biasa yang membincangkan mengenai strategi dan gerak kerja kempen pilihan raya,” ujarnya yang hadir dalam tiga kali mesyuarat pernah diadakan itu.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan Azmin ‘Amanah berbohong’ kerana mengatakan jawatankuasa rundingan kerusi untuk Selangor belum dibentuk,sedangkan ia sudah bermesyuarat sebanyak empat kali dan 80 peratus kerusi sudahpun dimuktamadkan.

Pertikaian mengenai pembahagian kerusi PH Selangor ini berlaku selepas Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan Majlis Presiden PH akan menubuhkan Jawatankuasa Khas selepas rundingan kerusi PH Selangor menemui jalan buntu kerana perbezaan pandangan antara PKR dan tiga lagi komponen AMANAH,DAP dan Bersatu.

Izham mempertahanan kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Selangor Jamzuri Ardani yang mengatakan rundingan kerusi negeri itu masih belum selesai kerana Azmin mengabaikan gesaan untuk menubuhkan jawatankuasa khas.

Menurut Jaafar lagi, PH Selangor masih tidak membincangkan pembahagian kerusi Dun kerana tidak mendapat mandat daripada parti masing-masing.

“Kita (PH) tidak membincangkan kerusi kerana belum mendapat mandat daripada parti masing-masing.

“Mandat untuk mendapatkan mana-mana kerusi yang akan ditandingi oleh parti akan diputuskan oleh Majlis Presiden yang mana pemilihan itu akan dibuat oleh parti masing-masing dan diserahkan di bawah Jawatankuasa Khas yang dibentuk untuk membincangkan pembahagian kerusi di Selangor,” terangnya.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi AMANAH dan Bersatu di Selangor, Jaafar yang juga Ketua Unit Pemilih Biro Politik Pilihan Raya AMANAH menjelaskan, perbincangan dengan Bersatu sudah diadakan secara tidak rasmi tetapi ia tidak pernah dibawa dalam perbincangan mesyuarat pembahagian kerusi PH.

“Kita (AMANAH dan Bersatu) sudah mencadangkan mengenai pembahagian kerusi di luar dari mesyuarat tetapi ia masih lagi tidak disahkan (endorsement) oleh parti masing-masing untuk dibawa dalam mesyuarat pembahagian kerusi PH.

“Jadi betullah kata Izham itu,” ujarnya yang merujuk kenyataan Izham bahawa tiada rundingan mengenai pembahagian kerusi dibuat oleh PH Selangor.

Kedudukan kerusi Dun di Selangor pada masa ini diwakili DAP sebanyak 14 kerusi, diikuti PKR dan Pas masing-masing 13 manakala AMANAH (2), Bebas (2) serta BN (12).

Pada Sabtu Azmin ketika ditanya media menjelaskan, pertikaian antara PKR dan AMANAH di Selangor akan diselesaikan tidak lama lagi.

Beliau dipetik berkata isu itu tidak lagi berbangkit dan beliau yakin akan diselesaikan dalam semangat kekeluargaan.

Tun Dr Mahathir Mohamad pula pada Sabtu, menyatakan keyakinannya yang pergeseran antara AMANAH dan PKR berhubung rundingan kerusi di Selangor untuk pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan dapat diselesaikan.

Beliau dipetik berkata, pihak yang terlibat dalam rundingan kerusi di negeri itu telah menyatakan persetujuan untuk menyelesaikan perkara itu.

Tiada ulasan: