"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan lihat Mahathir dengan ‘team’ dahulu, kata Husam

ARIF ATAN
Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa memberi jaminan Kabinet yang diterajui Tun Dr Mahathir akan dibarisi pemimpin Pakatan Harapan jika blok pembangkang itu mendapat mandat di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu berkata, menteri-menteri Umno tidak akan lagi mendapat tempat dalam Kabinet pasca PRU-14 memandangkan pendirian Tun Mahathir sudah berbeza berbanding ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

“Beza Tun Mahathir sekarang dengan yang dulu, kita akan ada Kabinet yang baru. Ahmad Maslan tidak boleh masuk Kabinet. Yang boleh masuk Kabinet adalah Nurul Izzah, Azmin Ali, Salahuddin Ayub.

“Nazri Aziz tidak boleh masuk Kabinet. Dia sudah tidak boleh keluar TV3 lagi sebagai menteri. Jadi, Tun Mahathir dengan ‘team’ baru.

“Jangan lihat Mahathir dengan team dahulu,” ujarnya dalam Ceramah Perdana Muafakat Rakyat di Melaka semalam.

Beliau berkata, keputusan PH mencalonkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri (PM) memandangkan pertukaran rejim bagi sebuah negara yang belum pernah mengalami pertukaran parti pemerintah memerlukan tokoh yang diterima banyak pihak daripada segi pengalaman.

Sehubungan itu, Husam menyeru supaya rakyat bersatu menolak rejim Umno-BN pada pilihan raya akan datang kerana masalah yang dihadapi di negara ini membebani semua pihak tanpa mengira kaum.

“Kita kena bersatu-padu, kena lupakan perselisihan, batu api, lupakan perbezaan kaum. Macam GST (cukai barang dan perkhidmatan), adakah kena pada orang Cina?

“Orang Melayu teruk (akibat GST) sebagai pengguna. Orang Cina rasa teruk sebagai ahli perniagaan. Orang India, orang Umno, orang Pas pun kena GST. Jadi masalah dihadapi semua rakyat,” ujar bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu.

Beliau turut mengulangi penegasan bahawa kerajaan PH akan melaksanakan janji menghapuskan GST sebaliknya cukai enam peratus itu dijangka akan naik jika rejim Umno-BN terus mendapat mandat.

“GST tidak boleh dijamin kekal enam peratus. Kalau Najib naik jadi perdana menteri sekali lagi, naik lapan peratus, sembilan peratus.

“Ada yang soal kalau hapus GST, apa jadi pada BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia)? Kita PH secara afirmatif menegaskan BR1M akan diteruskan kerana kita faham ada rakyat benar-benar susah kerana subsidi minyak dan barang-barang utama sudah tiada,” jelas Husam lagi.

Tiada ulasan: