"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Remaja dikurung, diseksa sebelum mayat dibuang tepi semak

NORLIDA AKMAR IDROS
ADZLI menunjukkan rumah yang menjadi tempat remaja dikurung dan dipukul sehingga maut di Gurun pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar hari ini.
ALOR SETAR – Seorang remaja lelaki melalui azab pedih apabila dikurung dan diseksa selama dua hari sebelum mayatnya dibuang di tepi semak berhampiran Jalan Harvard Golf Club, Gurun, Khamis lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, mangsa yang berusia 19 tahun dipercayai dilarikan sekumpulan suspek pada Isnin lalu sebelum dikurung dan dipukul di sebuah rumah di Gurun.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada kemarahan suspek selepas menerima aduan penduduk yang mendakwa mangsa mencuri motosikal.

“Mangsa dituduh mencuri motosikal, namun ia tuduhan tanpa ada laporan polis dibuat. Mereka tangkap suspek ini pada Isnin lalu dan bawa balik ke rumah salah seorang tangkapan di Gurun.

“Bagi kes ini, kita telah menahan reman seramai 14 suspek berusia antara 16 hingga 24 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian ini termasuk memukul mangsa sehingga maut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa dipercayai dipukul selama dua hari, selain rambutnya digunting sebelum meninggal dunia pada malam Rabu lalu.

“Mayat mangsa kemudian dibuang di tepi jalan dekat Jalan Harvard Golf Club sebelum ditemukan oleh orang awam. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan hentakan di kepala oleh daya objek tumpul,” ujarnya.

Adzli berkata, polis berjaya menahan kesemua suspek di sekitar Gurun dan Guar Chempedak antara pukul 12 tengah hari hingga 8.30 malam pada hari sama.

Dalam tangkapan itu, polis turut merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta Honda City berwarna perak, gunting dan kad pengenalan milik mangsa.

Beliau berkata, hanya seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

“Saya ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak bertindak sendiri kepada mana-mana suspek bagi sebarang jenis jenayah, termasuk mencuri mahupun merompak.

“Apa yang perlu dilakukan adalah buat laporan polis dan serahkan siasatan dan tindakan kepada pihak polis,” katanya.

Kosmo! pada Khamis lalu melaporkan mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditemukan orang awam dalam keadaan terbaring di tepi semak berhampiran Jalan Harvard Golf Club, di sini.

Dalam pada itu, ibu mangsa, Azura Zor, 41, meluahkan kesedihan selepas mayat anaknya, Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 19, ditemukan selepas remaja itu gagal dihubungi sejak bulan lalu.

Azura berharap kes pembunuhan anaknya disiasat hingga tuntas, manakala mereka yang terlibat ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal. – KOSMO! ONLINE

Ibu tunggal nafi dedah anak perempuan kepada risiko seksual

NUZULSHAM SHAMSUDDIN

KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendedahkan anak remaja perempuannya kepada keadaan yang boleh menyebabkan atau membenarkan kanak-kanak itu dianiaya dari segi seksual, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 32 tahun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr. Azrul Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kediaman di Taman Yarl, di sini, antara 1 September hingga 5 Oktober lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu semasa prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, peguam Leo Yap yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada kadar minimum.

“Mahkamah turut dimaklumkan tertuduh disyaki menghidap kanser serviks dan memerlukan kos susulan serta rawatan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Disember ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Wanita dirogol warga asing di pusat beli-belah selepas diugut sebar rakaman intim

Safeek Affendy Razali
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang wanita tempatan disyaki dirogol seorang lelaki warga asing di satu kawasan di tingkat tujuh sebuah pusat beli-belah di Jalan Cochrane, di sini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 malam Sabtu lalu, ketika wanita berusia lingkungan 20-an itu sedang melakukan hubungan intim bersama teman lelakinya.

Pada masa sama, suspek dipercayai warga Bangladesh dilaporkan merakam hubungan intim pasangan terbabit sebelum mengugut akan menyebarkan rakaman itu sekiranya mangsa enggan menuruti arahan.

Suspek kemudian mengarahkan teman lelaki mangsa beredar sebelum merogol mangsa di kawasan berkenaan.

Mangsa dipercayai tidak langsung mengenali dan tidak pernah melihat suspek.

Pada masa ini, pihak media sedang berusaha mendapatkan pengesahan dan maklum balas polis mengenai kejadian ini.

Difahamkan, Polis Kontinjen Kuala Lumpur sedang berusaha mengesan dan menjejaki suspek.

Penganggur didakwa bunuh penuntut Polisas

Bernama

KUANTAN: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) pada 6 Okt lalu.

F Alan Stevekumar, 19, yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Tuan Ruzaini Tuan Lah, namun tiada pengakuan direkodkan.

Alan Stevekumar didakwa membunuh M Elisa Jonova, 19, di sebuah rumah di Jalan Air Putih di sini, antara 4.32 hingga 4.55 pagi 6 Okt lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dikenakan hukuman mati.

Pengarah Pendakwaan Pahang, Sabri Othman memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan bedah siasat dan ujian toksikologi.

Mahkamah menetapkan 12 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Pada 6 Okt lalu, Elisa Jonova ditemui maut dipercayai dibunuh teman lelakinya di sebuah rumah di Jalan Air Putih pada 4.32 pagi.

Anggota Cawangan Khas dakwa dikasari Shuhaily, buat laporan polis baharu

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anggota polis Cawangan Khas yang mendakwa dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, membuat laporan polis baharu bagi mengemukakan bukti tambahan.

Peguam Kamal Hisham Ja'afar dan Muhammad Nor Tamrin, berkata anak guam mereka, Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad Saman, 40, membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi pada 10 Oktober lalu.

Mengikut laporan polis berkenaan, Mohammad Faiz mendakwa beliau sedang merakam gambar insiden di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan telefon bimbitnya.

Beliau mendakwa, telefon bimbitnya kemudian dirampas dan dia ditahan secara salah, selain turut dikasari, dipukul, dan diugut.

Menerusi satu kenyataan firma guaman yang mewakilinya hari ini, menyatakan bahawa fakta kes menjurus kepada kemungkinan berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 186, 323, 353, 355 dan 506 Kanun Keseksaan.

Peruntukan itu merangkumi kesalahan menghalang tugas penjawat awam, sengaja mendatangkan kecederaan, menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam menjalankan tugas, menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat menjatuhkan maruah, serta ugutan jenayah.

Kenyataan itu mendakwa, Mohammad Faiz dan seorang lagi anggota, Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman yang bertugas sebagai Pegawai Kawalan Perjalanan (TCO), dikasari Mohd Shuhaily di kawasan awam.

Ia mendakwa, insiden itu menyebabkan anak guam mengalami kecederaan dan menjejaskan maruahnya.

Firma guaman berkenaan turut menimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat kenyataan palsu mengenai peguam dan anak guam mereka, termasuklah dakwaan kononnya kos guaman dibiayai sindiket jenayah.

Muhammad Ekmal dan Mohammad Faiz turut menafikan dakwaan bahawa mereka bertindak sebagai 'ulat' atau terbabit kegiatan counter setting (mengatur kemasukan warga asing).

Firma guaman itu menegaskan, penyebaran dakwaan palsu boleh diklasifikasikan kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan atas kenyataan mendatangkan khianat awam, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Minggu lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah memulangkan kertas siasatan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Polis setakat ini merakam keterangan 25 individu sebagai saksi, namun beberapa aspek termasuk pengesahan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memerlukan penelitian lanjut sebelum siasatan dilengkapkan sepenuhnya.

Bot imigran karam, 139 lemas

KOSMO
GAMBAR IOM menunjukkan petugas membantu mangsa bot karam yang terselamat di perairan Djibouti semalam. – AFP
NAIROBI – Sekurang-kurangnya 139 imigran termasuk 15 kanak-kanak terkorban, manakala 84 labgi hilang apabila sebuah bot sarat dengan penumpang karam ketika belayar dari Djibouti menuju Yemen.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) berkata, bot membawa 305 orang dengan sebahagian besar imigran merupakan warga Ethiopia itu karam  di utara bandar Obock, Djibouti pada malam antara 8 hingga 9 Oktober lepas.

“Mangsa terselamat memberitahu saya bahawa bot mula tenggelam sebaik sahaja mereka menaikinya.

“Ini adalah kehilangan nyawa yang sangat memilukan,” kata ketua misi IOM di Djibouti, Alexandre Coissac.

Antara 109 mayat ditemukan lebih awal termasuk 52 lelaki, 42 wanita dan 15 kanak-kanak.

Seramai 82 orang terselamat dalam kejadian itu dengan kesemua mereka rakyat Ethiopia, demikian menurut angka korban terkini. – AFP

11 maut, 27 cedera bas persiaran bertembung lori

Agensi
11 maut, 27 cedera selepas bas persiaran bertembung lori tunda di Manisa, barat Turki. - Reuters
11 maut, 27 cedera selepas bas persiaran bertembung lori tunda di Manisa, barat Turki. - Reuters
ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 11 orang maut manakala 27 lagi cedera selepas sebuah bas persiaran bertembung dengan sebuah lori tunda di wilayah Manisa, barat Turki, pada Ahad.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Bursa menuju ke Izmir.

Pejabat Gabenor Manisa memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 11.11 pagi sebelum ambulans, anggota bomba dan pasukan polis dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

Menurut pihak berkuasa, pasukan perubatan dan penyelamat bertindak segera membantu mangsa serta menguruskan operasi pemindahan mereka yang cedera ke hospital berhampiran.

Siasatan awal mendapati semua mangsa yang terkorban dan cedera merupakan warga Turki.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Turki, Mustafa Ciftci mengesahkan jumlah kematian dalam nahas berkenaan. Bagaimanapun, beliau memaklumkan angka awal menunjukkan seramai 26 individu cedera.

Beliau berkata pihak berkuasa sedang memantau perkembangan situasi dengan teliti menerusi kerjasama dan penyelarasan bersama semua agensi berkaitan.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.
-astroawani

Lelaki dibelasah guna topi keledar, lima individu dicari polis

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular sekumpulan lelaki membelasah seorang lelaki menggunakan topi keledar. FOTO tular
TANGKAP layar video tular sekumpulan lelaki membelasah seorang lelaki menggunakan topi keledar. FOTO tular
Kota Kinabalu: Polis giat mengesan lima lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian membelasah seorang lelaki menggunakan topi keledar di hadapan sebuah premis di KK Taipan, Inanam, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 23 tahun dipercayai dipukul dan ditendang sekumpulan lelaki tidak dikenali sehingga mengalami keretakan tulang hidung, selain lebam serta calar pada beberapa bahagian badan.

Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa pada jam 5.48 petang, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang sekumpulan lelaki termasuk menggunakan topi keledar.

"Polis kini giat mengesan dan mengenal pasti lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrudin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Terdahulu, sejak petang tadi, tular rakaman video berdurasi 33 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki dipercayai dibelasah sekumpulan individu menggunakan topi keledar di kawasan berkenaan.

Rumah terbakar 100 peratus, wanita ditemukan rentung

Mohd Roji Kawi
Wanita ditemukan maut (foto kecil) dalam kebakaran rumah di Jalan Taman Kim Pang, di Kuching hari ini.- Foto JBPM
KUCHING: Seorang wanita ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Taman Kim Pang, di sini, hari ini.

Mayat mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu ditemukan pasukan bomba ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan selepas wanita itu dipercayai terperangkap dalam rumah berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.57 petang.

Menurutnya, sepasukan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bersama bantuan BBP Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 18 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.15 petang dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah satu tingkat berstruktur separuh kekal.

“Rumah berkenaan didapati terbakar 100 peratus dan dihuni enam orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, seorang wanita dewasa dilaporkan masih terperangkap di dalam rumah ketika kebakaran berlaku.

Susulan itu, pasukan bomba menjalankan operasi mencari mangsa selain melakukan kerja pemadaman menggunakan bekalan air daripada tangki jentera bomba.

Mangsa kemudian ditemukan dalam keadaan rentung pada jam 4.36 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 4.25 petang, manakala kerja pemeriksaan dan pembersihan bagi memastikan tiada lagi punca api dilakukan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.09 petang.

“Punca kejadian itu masih dalam siasatan lanjut oleh bahagian forensik kebakaran,” katanya.

2 lelaki ditahan selepas dikejar polis, alatan curi kabel dirampas

Buletin TV3
Foto tular
KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan selepas kenderaan jenis Isuzu D-Max dinaiki mereka dikejar polis dari Jalan Wangsa 5, Bukit Antarabangsa menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Hulu Kelang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, kedua-dua suspek berjaya ditahan di persimpangan Jalan Jelatek dengan Jalan Taman Setiawangsa berhampiran sebuah stesen minyak di Setiawangsa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kejar-mengejar itu daripada anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Balai Polis Hulu Kelang.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap kenderaan Isuzu D-Max berwarna oren itu menemukan beberapa senjata berbahaya termasuk sebilah parang dan sebilah sabit.

Pemeriksaan di dalam kenderaan saspek menjumpai senjata merbahaya seperti (1) bilah parang dan (1) bilah sabit serta alatan mencuri kabel seperti alat pembuka Manhole. Turut dirampas dari kedua-dua saspek tersebut disyaki dadah.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menjumpai senjata berbahaya seperti sebilah parang dan sebilah sabit serta alatan mencuri kabel.

“Polis turut merampas bahan disyaki dadah daripada kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mayat lelaki ditemukan dalam parit berhampiran surau

BERNAMA
KEPALA BATAS: Mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan di dalam parit berhampiran Surau Permatang Pak Elong, Jalan Permatang Pak Elong di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada polis pada 3.52 petang bagi mendapatkan bantuan mengangkat mayat itu.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas tiba di lokasi dan mendapati mayat lelaki itu berada di dalam parit sebelum komander operasi mengarahkan anggota menjalankan kerja-kerja mengangkat mayat ke kawasan selamat.

“Mayat lelaki berusia lingkungan 40-an itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata operasi yang melibatkan tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) itu tamat pada 6.44 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Kelantan: Ibu, bayi maut nahas tiga buah Myvi

AIMUNI TUAN LAH
Keadaan lokasi kejadian melibatkan tiga buah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kampung Paloh 3, Gua Musang hari ini. Foto BOMBA
GUA MUSANG – Seorang wanita dan bayi perempuannya maut, manakala tujuh lagi cedera dalam nahas melibatkan tiga buah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kampung Paloh 3 di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.10 petang sebelum jentera tiba di lokasi kejadian pada pukul 6.08 petang.

Katanya, kemalangan itu membabitkan tiga buah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah motosikal jenis Modenas.

“Pemandu salah sebuah kereta yang merupakan suami kepada wanita itu tersepit di dalam kenderaan, namun dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Kesemua mangsa diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut. Pasukan bomba turut menjalankan kerja pembersihan sisa kemalangan dan tumpahan minyak di lokasi kejadian,” katanya.

Muhammad Azrul memberitahu, jarak lokasi kejadian dengan Balai Bomba Gua Musang sejauh 56 kilometer.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut mengenai punca nahas masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Dua maut, 16 cedera dalam kemalangan kereta berhias ketika festival di Osaka Bernama

Bernama

TOKYO: Dua lelaki maut manakala 16 lagi cedera dalam dua kemalangan berasingan membabitkan kereta berhias tradisional ketika festival di dua bandar di wilayah Osaka, barat Jepun pada Sabtu, menurut polis tempatan, lapor Xinhua.

Di Izumisano, seorang lelaki berusia 51 tahun terperangkap di bawah sebuah kereta berhias yang terbalik ketika menaikinya bersama peserta lain.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di hospital, manakala tujuh yang lain cedera.

Dalam kejadian berasingan di Izumiotsu, sebuah lagi kereta berhias terbalik, menyebabkan seorang lelaki berusia 48 tahun yang terperangkap di bawahnya maut.

Menurut polis wilayah itu, sembilan yang lain cedera.

Kedua-dua kemalangan dipercayai berlaku ketika acara "yarimawashi", antara acara kemuncak festival berkenaan yang menyaksikan sekumpulan peserta menarik kereta berhias tradisional dikenali sebagai "danjiri" pada kelajuan tinggi ketika melalui selekoh.

Menurut polis, peserta yang menaiki kereta berhias itu berisiko hilang keseimbangan.

Polis sedang menyiasat punca kedua-dua kemalangan itu.

-- BERNAMA-XINHUA

PAS-Umno semakin erat Wawasan berisiko terpinggir

Pan Eu Joe dan Ameer Fakhri

PETALING JAYA: Wawasan berisiko kehilangan momentum politik jika terus terpinggir ketika PAS dan Umno bergerak ke arah kerjasama secara langsung menjelang PRN Melaka akan datang, kata seorang penganalisis.

Dengan PRN ditetapkan pada 14 Nov, PAS dan Umno dilaporkan sedang mengadakan rundingan secara langsung berhubung kemungkinan aturan pilihan raya, sekali gus memperkukuh kerjasama yang mula dilihat di Johor sebelum diperluas ke Negeri Sembilan.

Pemimpin kedua-dua parti juga menghadiri perhimpunan parti masing-masing, menunjukkan hubungan kerjasama mereka yang semakin kukuh.

Sebaliknya, wakil Wawasan dilihat tidak menghadiri perhimpunan agung Umno baru-baru ini, meskipun parti itu memainkan peranannya dalam kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan.

Naib Presiden The Asia Group, Asrul Sani, berkata momentum Wawasan ketika ini terhasil daripada usahanya meletakkan kedudukan sebagai penghubung antara BN dan PN, mengisi ruang yang ditinggalkan Bersatu dalam penyusunan semula politik Melayu.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran peranan itu boleh semakin terhakis jika PAS dan Umno terus berunding secara langsung antara satu sama lain.

“Kedudukan Wawasan sebagai penghubung antara kedua-dua parti boleh terjejas,” katanya kepada FMT.

Asrul berkata Wawasan perlu menyesuaikan diri dengan terus terlibat dalam rundingan, membuktikan sumbangan jelasnya kepada pilihan raya serta mengenal pasti kerusi yang mempunyai peluang realistik untuk dimenangi.

Pada Mac, sebelum kemunculan Wawasan, presidennya ketika ini, Hamzah Zainudin, menyatakan keyakinan bahawa beliau mampu menjadi penghubung antara dua gabungan politik utama — dipercayai merujuk kepada BN dan PN — bagi membantu memastikan kestabilan dan kemajuan politik.

Dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, Wawasan, sebuah parti komponen PN, menyokong kerjasama BN-PN yang memperoleh majoriti besar dua pertiga berikutan satu kerjasama pilihan raya.

Bertanding atas tiket PN, parti itu memenangi tiga daripada empat kerusi yang ditandinginya.

Asrul berkata Wawasan mendapat manfaat daripada profil Hamzah dan ketidaktentuan dalam PN, namun menambah bahawa keterlihatan semata-mata tidak menjamin parti itu mempunyai asas pengundi yang kukuh.

Katanya, parti itu perlu memperkukuh jentera akar umbi, memperjelas identiti politiknya serta menunjukkan kepada pengundi perbezaan dasar yang dibawanya berbanding Umno dan PAS.

Wawasan juga perlu memastikan ia memperoleh kerusi yang benar-benar berpotensi dimenangi, kata Asrul, dan mengelakkan keadaan apabila parti itu ditolak ke kerusi campuran atau marginal yang boleh merugikannya.

Beliau berkata meskipun parti itu mempunyai dorongan kuat untuk kekal dalam kerangka politik Melayu yang lebih luas, Wawasan perlu membuka ruang kepada pilihan lain jika gagal memperoleh peranan bermakna dalam BN atau PN.

Ini termasuk meneroka kerjasama dengan gabungan utama lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau Pakatan Harapan (PH), tambahnya.

Peranan sederhana

Ahli akademik Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb, berkata Wawasan kelihatan sedang meletakkan dirinya sebagai komponen sederhana dalam kemungkinan penjajaran politik yang melibatkan PAS dan Umno.

Katanya, parti itu boleh bertanding di kawasan campuran yang mempunyai sedikit majoriti pengundi Melayu, sambil menampilkan dirinya sebagai pendamai selepas bertahun-tahun berlakunya perpecahan politik.

Azmil berkata Wawasan juga boleh menonjolkan fleksibiliti ideologinya dan bukannya dilihat sebagai parti yang tegar berteraskan ‘etnoagama’ seperti Umno dan PAS.

Katanya, pendekatan itu boleh menjadikan parti berkenaan lebih menarik kepada pengundi sederhana dan berhaluan tengah.

Dua suspek curi kabel ditahan selepas terbabas dalam longkang

KOSMO!
Anggota polis menahan suspek selepas kenderaan mereka naiki terbabas ke dalam longkang di Taman Sri Watan, Ampang semalam.
AMPANG JAYA – Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes curi kabel berjaya ditahan selepas kenderaan mereka naiki terbabas ke dalam longkang ketika cuba melarikan diri daripada polis di Jalan Watan 8, Taman Sri Watan, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian curi kabel kira-kira jam 5.53 pagi.

“Kereta peronda yang digerakkan ke lokasi mengesan sebuah Perodua Aruz tanpa nombor pendaftaran yang cuba melarikan diri.

“Aksi mengejar berlaku sebelum kenderaan itu terbabas ke dalam longkang, manakala dua suspek yang berada di dalamnya berjaya ditahan,” katanga dalam kenyataan hari kni.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186, Seksyen 379, Seksyen 431A dan Seksyen 124K Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE