"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti yang mengetuk pintu penguasa

“BARANGSIAPA yang mendatangi pintu-pintu penguasa maka dia akan terkena fitnah.” (hadith hasan gharib riwayat al-Tirmidhi)

Sikap menyatakan kebenaran, benci pada pengkhianatan dan tidak membenarkan diri diikat dengan penguasa daulah merupakan antara ciri ulama dan agamawan yang tulen dalam sejarah kita.

Tarikh al-Baghdadi telah merakamkan bagaimana Imam Abu Hanifah disebat dan dipenjara oleh Khalifah al-Mansur tatkala itu lantaran keengganannya untuk menerima pelawaannya untuk menyertai pentadbiran kerajaan sebagai Qadi al-Qudat (ketua hakim).

Memahami keperibadian Khalifah al-Mansur adalah penting untuk memahami posisi Abu Hanifah ini.

Al-Mansur bukanlah pemimpin yang disenangi rakyat tatkala itu. Sejarah telah mencatatkan bagaimana beliau terlibat dalam kudeta yang menggulingkan dinasti Umayyah secara batil.

Beliau turut mengkhianati Abu Muslim yang telah membantunya dalam mendirikan dinasti Abbasiyyah dengan membunuhnya di istana. Abu Hanifah sedar bahawa menyertai pentadbiran al-Mansur bererti bersekongkol dengan kezaliman.

Demikian sikap warak (berhati-hati) Abu Hanifah yang turut dapat ditemukan pada ulama lain seperti Imam al-Shafi‘i, Imam al-Nawawi, Imam al-Bukhari dan lainnya.

Mereka sentiasa bergelumang dalam ilmu dan masyarakat, serta menjaga jarak dengan kekuasaan politik untuk menjaga maruah mereka dan mengelak daripada diikat.

Mereka sentiasa meletakkan Allah dan Rasulnya di atas, mengatasi keegoan diri, faham perkauman sempit dan habuan material.

Namun sayangnya, kewarakan ini semakin menipis daripada dada mufti dan agamawan pada hari ini.

Mereka tanpa segan silu mengetuk pintu penguasa dan berdamping dengannya. Warisan ajaran Rasulullah SAW yang mempromosikan kemajmukan dipinggirkan, berpaut pula pada retorik perkauman sempit dan kedengkian pada individu tertentu.

Apakah yang mengelabukan mata hati mereka daripada pertimbangan yang jujur dan benar?

Tidak lain tidak bukan kilauan kuasa dan pengaruh demi kepuasan ego sendiri. Jika beliau berstatus mufti, maka sudah tentu egonya lebih tinggi.

Begitu tinggi sehingga beliau buta, atau buat-buat buta dengan apa yang berlaku. Sesungguhnya dinasti Abbasiyyah tidak bermula pertabalan al-Saffah, atau al-Mansur sebagai Khalifah, sebagaimana yang dikhayalkan.

Ia bermula sebelum itu lagi, dengan siri pengkhianatan dan penggulingan kuasa. Ini merupakan fasa yang cuba digelapkan oleh pihak tertentu. Amat hairan jika seorang mufti hanya ingin memfokuskan kepada fasa selepas pertabalan, dan berhujah bahawa pertabalan itu merupakan ‘illah (sebab) di sebalik keabsahan autoritinya.

Kenanglah! Apabila al-Mansur menaiki takhta, proses pertabalannya berlangsung dengan penuh adat istiadat, namun itu tidak menjadikan beliau Khalifah yang sah serta tidak memadamkan hakikat bahawa komplot rampasan kuasa telah berlaku. Istiadat ini diwar-warkan sekadar untuk membeli pengiktirafan daripada rakyat.

Sebab itu apabila seseorang mufti itu mengisytiharkan keberpihakannya, beliau akan mula menjadi berat sebelah dan mengeluarkan hujah-hujah yang menyalahi prinsip nilai dan dasar etika, hatta ke tahap menyanggahi dirinya sendiri (self-contradicting) demi mempertahankan tuannya.

Misalannya mengatakan bahawa penggulingan kuasa pada tahun 2008 adalah salah, pada masa yang sama mengiktiraf penggulingan kuasa pada tahun 2020. Ini merupakan dalil kecelaruan akal dan ketempangan mantik yang ketara.

Tambahan pula, percubaan tahun 2008 itu tidak pernah berlaku, sementara kejadian tahun 2020 ini benar-benar berlaku. Apapun yang cuba kamu katakan, beliau akan tetap mengecam percubaan tahun 2008 dan menghalalkan kejadian tahun 2020. Semuanya lantaran egonya yang dengki kepada individu tertentu.

Ketahuilah bahawa keberpihakan akan mengeluarkan seseorang daripada kesejagatan dan objektiviti. Hari ini sekadar menyatakan sokongan, esok lusa pasti akan menjadi jurucakap.

Tatkala itu, tinggalkanlah apa yang dikatakannya, kerana mizan pertimbangannya bukan lagi agama, tetapi politik.

Namun, jangan sesekali memintanya untuk terjun ke gelanggang politik. Orang sebegini elok kekal di luar gelanggang. Beliau hanya akan memusnahkan agama dengan menyertai politik kerana bermacam dalil akan ditunggangnya demi mengabsahkan tindakan kumpulannya, hatta yang berupa pengkhianatan.

Inilah antara punca masyarakat awam semakin menjauhi para ulama dan agamawan. Lantaran wujudnya orang seperti ini yang gemar mengetuk-ngetuk pintu penguasa, sombong serta angkuh kerana ramainya pengikut. Ja‘far al-Sadiq telah mengingatkan kita:

“Orang yang mendalami agama adalah amanah para Rasul. Jika kalian melihat mereka mula condong kepada para penguasa, maka curigailah mereka.”– 6 April, 2020.

* Hilman Fikri Azman, graduan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tiada ulasan: