"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Surat Hadi dipenuhi tohmahan dan berunsur fitnah

MALAYSIA DATELINE
Parti Amanah Negara (AMANAH) kesal dan terkilan dengan kandungan surat yang ditulis oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada pemimpin gerakan Islam di seluruh dunia yang disifatkan penuh dengan dakwaan dan tohmahan tidak berasas, palsu, mengelirukan dan berunsur fitnah.

Surat bertarikh 22 Mac 2020 menggunakan kepala surat (letterhead) Parti Islam SeMalaysia (Pas) dan ditandatangani oleh Abdul Hadi Awang yang ditulis dalam bahasa itu tular di media sosial beberapa hari ini.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, jelas di dalam surat tersebut Abdul Hadi cuba memberikan gambaran yang salah tentang kedudukan dan suasana politik di Malaysia.

Katanya, difahamkan bahawa penjelasan Abdul Hadi yang mengelirukan ini dibuat selepas terdapat dalam kalangan para pemimpin gerakan Islam seluruh dunia yang mempersoalkan kewajaran tindakan dan sikap politik Pas akhir-akhir ini.

“Abdul Hadi juga secara tidak bertanggungjawab dengan sengaja melabel parti komponen Pakatan Harapan (PH) dengan istilah yang buruk supaya dilihat menyeleweng dan memusuhi Islam.

“Abdul Hadi turut mendakwa kononnya PH telah dikuasai golongan bukan Islam, berada di bawah pengaruh Komunis dan Kristian serta disokong oleh Amerika Syarikat, Eropah, Singapura, Zionis dan gerakan Freemason.

“Selain itu, Abdul Hadi telah menyifatkan Anwar Ibrahim sebagai seorang ‘sekular pragmatik yang berbahaya’ dan buruk karakter peribadi dan akhlaknya.

“Anwar juga difitnah sebagai pemimpin kepada golongan yang memusuhi Islam dan beliau disokong oleh DAP yang digambarkan sebagai parti Kristian,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Terhadap AMANAH pula, kata Khalid, Abdul Hadi telah menuduh parti ini sebagai sebuah parti Islam Liberal dan Sekular yang ditubuhkan oleh Anwar Ibrahim dan juga pimpinan DAP.

Ujarnya, beliau turut menggelar mereka yang bersama AMANAH sebagai kelompok yang tergesa-gesa dan juga oportunis yang telah keluar daripada Pas.

Kata Khalid, kesemua tuduhan ini dibuat bagi menegakkan hujah Abdul Hadi dan meyakinkan penerima surat kononnya PH merupakan musuh dan ancaman kepada Islam.

“Berdasarkan hujah dangkal itu, Abdul Hadi cuba menjustifikasi tindakan Pas memimpin usaha pembentukan kerajaan pintu belakang yang tidak bermaruah itu.

“Tuduhan Abdul Hadi kononnya wujud konspirasi dalaman untuk menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang pro-Islam bagi memastikan golongan anti-Islam berkuasa sehingga Pas dan sekutunya terpaksa ambil alih kerajaan, adalah rekaan dan khayalan semata-mata.

“Hakikatnya, kerajaan PH berdiri teguh bersama kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan tegas mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan.

“Kerajaan PH turut meletakkan kepentingan Islam dan umat Islam sebagai agenda penting kerajaan. Banyak pembaharuan bagi pengukuhan pentadbiran Islam telah dilaksanakan dalam tempoh singkat 22 bulan,” kata beliau.

Jelas Khalid lagi, Pas yang tidak mampu membawa mesej politik Islam dalam suasana negara Malaysia yang berbilang kaum telah memilih jalan perkauman dan menyerang pendekatan politik berbilang kaum sebagai musuh kepada Islam dan Melayu dan ini merupakan satu perubahan haluan politik yang dibawa oleh Abdul Hadi ke dalam perjuangan Pas itu sendiri.

Katanya, disebabkan perubahan haluan dan prinsip politik, Pas turut sanggup mempertahankan dan bekerjasama dengan Umno yang telah ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia yang berpunca daripada skandal penyelewengan wang rakyat dan rasuah yang berleluasa.

Kerjasama ini tambah beliau, telah lama diusahakan, iaitu sejak sebelum PRU ke-14 lagi, ia bukan perkara baharu seperti didakwa di dalam surat ini.

“Haji Abdul Hadi juga telah mengambil sikap melulu dan tidak bertanggungjawab dengan membuat tuduhan bahawa ada negara-negara luar tertentu campur tangan dalam politik Malaysia.

“Ini adalah tuduhan yang berat yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara yang dibabitkan.

“Kebimbangan AMANAH adalah tuduhan rambang dan tidak berasas Abdul Hadi terhadap negara-negara tersebut berisiko meningkatkan salah faham sekaligus menjejaskan hubungan diplomatik antara negara,” katanya lagi.

Sehubungan itu, kata Khalid, AMANAH menyeru rakyat Malaysia untuk menolak corak politik fitnah, permusuhan dan adu domba yang tidak berakhlak ini. Sikap dan kelakuan Abdul Hadi boleh dinamakan ‘gutter politics” atau politik longkang tidak lagi layak dilayani apatah lagi diikuti.

“AMANAH menyeru kepada ahli dan pimpinan Pas untuk meninggalkan Pas beramai-ramai. Pas telah jauh terpesong dari dasar perjuangan Islamnya dan sekarang ini merupakan parti Machievelli yang menganggap matlamat menghalalkan cara.

“Ini termasuk menipu, memfitnah, adu-domba, perkauman dan merompak harta rakyat,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasarudin Hassan melalui hantaran di Facebooknya mengesahkan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sememangnya menghantar satu surat kepada pemimpin Arab.

“Surat TGHH dalam bahasa Arab. Surat tu bertarikh 22 Mac 2020. Surat peribadi TGHH kepada pemimpin Arab,” tulis Nasarudin.

Tiada ulasan: