"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMANAH perlu rapatkan saf, isi lompong ditinggalkan Bersatu menuju PRU-15

ABRAR SADIQ
Hari demi hari kita disajikan beberapa isu politik yang sentiasa berubah setiap saat dan minit. Masing masing rasa agak kecewa dan sedih apabila pendokong Pakatan Harapan (PH) hari ini seakan-akan tidak kenal musuh utama dan musuh yang sebenar.

Kian parah apabila pemimpin PH sendiri mengeluarkan kenyataan yang mengundang pada perpecahan dalaman itu sendiri.

Politik Malaysia tidak akan stabil selagi mandat itu tidak dikembalikan pada rakyat semula. Bicara kita hari ini soal menghadapi PRU-15 yang dikatakan amat dekat tarikhnya dan jika dinilai sumber yang sahih mengatakan akhir tahun atau awal tahun 2021.

Persoalannya, adakah PH telah bersedia? Jika dilihat seolah-olah PH masih berharap untuk menerima kembali baton pemerintahan walaupun ia mungkin sekadar bertahan enam bulan sahaja.

Berbanding persediaan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat tersusun daripada segi kewangan dan jentera seolah-olah mereka sudah mampu mendabik dada bahawa rakyat akan memilih mereka jika PRU-15 disegerakan.

Begitulah situasi sekarang, jika PH berkecamuk dalam soal memilih calon Perdana Menteri. Sebaliknya pihak PN masih berunding soal pembahagian kerusi dan sudah pasti keinginan satu lawan satu itu tinggi agar tidak berlaku kerugian daripada sudut pecah undi melalui segmen pengundi Melayu.

AMANAH mempunyai sosok pemimpin yang mampu menembusi tembok kawasan Pas dan Umno.

PH perlu muhasabah kembali sekalipun dapat memegang baton pemerintahan negara sudah pasti majoriti yang diperoleh bila-bila masa sahaja boleh berubah. Ini bukan soal Anwar Ibrahim sahaja tetapi kelangsungan parti dalam PH juga perlu difikirkan.

Hatta, AMANAH perlu lebih berperanan mengisi kekosongan yang ditinggalkan PPBM dalam memenuhi perjuangan AMANAH yang menguasai segmen pengundi Melayu Islam.

Ia satu cabaran dan wajar pada AMANAH juga mempunyai calon yang boleh diketengahkan sebagai pimpinan berperanan besar dalam kerajaan nanti.

Bekas Menteri Melaka, Adly Zahari dan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH, Faiz Fadzil antara yang disebut sebagai sosok yang mampu membawa AMANAH menjadi parti yang mampu menembusi tembok kawasan Pas dan Umno jika kita bijak memanfaatkan.

Oleh itu, AMANAH dan PH perlu merapatkan kembali saf agar lompong yang ada dapat diisi segera. Pergiatkan dua kali ganda program turun padang peduli kebajikan masyarakat setempat supaya omongan “nak PRU baru nampak muka” terhakis.

Buat kerja di lapangan lebih awal dalam menambat hati pengundi yang kecewa dengan situasi politik negara mutakhir ini.


*ABRAR SADIQ merupakan Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Kepala Batas.

Tiada ulasan: