"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Parlimen setaraf pub, spa dan salon?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan Parlimen bersidang selepas negara memasuki Fasa III Pelan Pemulihan Negara seperti meletakkan lambang demokrasi negara itu setaraf pub, spa dan salon kecantikan, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menyifatkan ketetapan Putrajaya itu tidak masuk akal dan lebih mengelirukan apabila dimaklumkan pada Fasa III semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, kecuali aktiviti dalam senarai negatif yang mempunyai risiko tinggi menyebabkan penularan Covid-19.

“Adakah ini bermakna Parlimen yang merupakan lambang demokrasi negara diletakkan dalam senarai negatif sama seperti pub, spa dan salon kecantikan?” soal Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam kenyataan malam tadi.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, strategi Pelan Pemulihan Negara merangkumi empat fasa dan negara kini berada dalam Fasa I.

Katanya, kerajaan akan menimbangkan peralihan daripada Fasa I ke Fasa II apabila purata kes harian menurun ke bawah 4,000 kes; sistem kesihatan awam tidak lagi di tahap kritikal dan 10% penduduk lengkap dua dos vaksin.

Muhyiddin berkata, negara akan beralih ke Fasa III jika purata kes harian menurun ke bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam di tahap selesa dengan kadar penggunaan katil ICU turun ke paras mencukupi dan 40% penduduk lengkap dua dos vaksin.

Beliau turut memberikan komitmen bahawa Parlimen boleh bersidang semula dalam Fasa III Pelan Pemulihan Negara, iaitu sekitar September atau Oktober.

Beliau menjangkakan semua sektor ekonomi akan dapat dibuka seawal akhir Oktober apabila negara memasuki Fasa IV Pelan Pemulihan Negara dengan purata kes harian Covid-19 berkurangan kepada 500 kes ke bawah dan 60% penduduk lengkap dos suntikan vaksin.

Zahid mempersoalkan kaitan Parlimen dibenarkan bersidang semula dengan 40% populasi negara menerima dua dos vaksin, yang dianggarkan sekitar September atau Oktober ini, sedangkan semua Ahli Parlimen telah lama menerima vaksin Covid-19 dan sidang Parlimen sepatutnya selamat diadakan.

“Pihak manakah yang sebenarnya sengaja cuba menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat berkenaan prinsip demokrasi berparlimen?” soalnya.

Tambah beliau, Umno akan terus menggesa supaya Parlimen kembali bersidang secepat mungkin sebagai tonggak demokrasi terpenting negara.

“Parlimen sebagai sebuah badan legislatif mewakili suara serta hak rakyat dan badan perundangan tertinggi di Malaysia. Parlimen sebagai proses semak dan imbang terhadap perbelanjaan serta pentadbiran negara supaya ia telus dan jujur demi kepentingan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: