"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid perlu buat ‘pengorbanan besar’ demi Umno, kata penganalisis

FMT Reporters

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi patut mempertimbangkan untuk membuat “pengorbanan” besar demi parti itu dan memberi laluan kepada pemimpin lain, kata seorang penganalisis politik.

Bekas profesor politik Mustafa Ishak berkata, hakikatnya Zahid dan Umno akan berdepan tugas sukar untuk mengatasi persepsi berkait perbicaraan Zahid terhadap 47 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi.

Jika bukan kerana kes rasuah itu, Zahid tentu dipilih Umno sebagai calon Perdana Menteri, kata Mustafa dalam respons terhadap cadangan bekas menteri, Zaid Ibrahim bahawa veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah patut dilantik sebagai Perdana Menteri sementara untuk kerajaan baharu.

Mustafa berkata, walaupun Zahid adalah presiden Umno, pemimpin lain seperti Tengku Razaleigh, Timbalan Presiden Mohamad Hasan, Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob dan bekas naib presiden Hishammuddin Hussein adalah calon yang lebih berkemungkinan bagi jawatan tertinggi itu.

“Saya rasa Zahid turut menyedari keadaannya dan keperluan untuk beliau mengambil tindakan yang tepat bagi Umno, khasnya jika beliau mahu Umno mempunyai peluang lebih baik memenangi pilihan raya umum akan datang (PRU15) atau mempunyai Perdana Menteri sementara daripada parti itu, jika perlu,” katanya.

Beliau berkata, ini adalah dilema yang dihadapi Umno dan mengapa ia perlu mempercepatkan pemilihan partinya.

Katanya, Umno memerlukan seorang pemimpin yang boleh menerajui parti itu mencapai kemenangan dan pemimpin yang mempunyai beban politik perlu memberi laluan kepada orang lain demi parti.

Azmi Hassan, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, bersetuju kes Zahid akan menyukarkan Umno dalam perang persepsi, walaupun pemilihan parti tidak semestinya menjadi jawapannya.

“Terdapat perpecahan dalam Umno, jadi mustahil untuk tahu siapa dalam kalangan pemimpin yang disebut-sebut untuk jawatan presiden akan jadi pemenang,” katanya.

Perpecahan dalam parti itu, tambahnya, mungkin bertambah teruk jika pemilihan parti diadakan, sehingga menyebabkan Umno menyertai PRU15 dalam keadaan lebih teruk berbanding sekarang.

Azmi berkata, walaupun Zahid boleh kekal sebagai presiden Umno, parti itu perlu menjelaskan pilihan calon Perdana Menteri mereka dan Zahid tidak patut menjadi orangnya, selagi beliau menghadapi perbicaraan.

Tiada ulasan: