"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis buru tahanan terjun sungai tangan bergari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis memburu seorang tahanan lelaki yang melarikan diri dalam keadaan tangan bergari ketika dibawa untuk menjalankan siasatan ke lokasi kes curi di Kampung Jias C, Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan, Isnin lalu.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, suspek ditahan di sebuah kedai runcit kerana dipercayai menjual barang dicuri dari rumah guru di kuarters Sekolah Kebangsaan Tohoi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Sik Choon Foo, berkata suspek berusia 24 tahun, bagaimanapun berjaya meloloskan diri dengan terjun ke dalam Sungai Betis di kampung itu sebelum masuk ke hutan.

Katanya, anggota polis cuba mengejar lelaki berasal dari Pos Tohoi itu sejurus kejadian dan kemudian menggerakkan operasi mengesannya selama tiga jam.

“Suspek dipercayai menjual barangan curi termasuk tong gas di sebuah kedai runcit dan barangan terbabit dipercayai dicuri dari rumah guru di kuarters Sekolah Kebangsaan Tohoi.

“Keesokan harinya (Selasa), kita (polis) dimaklumkan penduduk kampung ada terserempak dengan suspek dan suspek meminta tolong (orang awam) supaya memotong gari di kedua-dua tangannya tetapi mereka takut berbuat demikian.

“Suspek kembali lari ke hutan selepas itu dan ada orang awam turut memaklumkan suspek sempat balik ke rumahnya (di Pos Tohoi) untuk mengambil makanan serta pakaian sebelum lari semula ke hutan,” katanya menurut laporan Bernama.

Sik berkata, pihaknya juga sedang mengesan rakan suspek yang berusia 26 tahun bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 223 serta Seksyen 224 kanun sama kerana melarikan diri daripada tahanan dan kecuaian mengakibatkan tahanan melarikan diri, katanya.

Tiada ulasan: