Shafry Salim
Norma baharu kehidupan manusia yang terhasil daripada pandemik Covid-19 mencetuskan gelombang perubahan yang signifikan dalam pembentukan generasi masa depan.
Penularan virus berasal dari Wuhan, China ini bukan sahaja menyebabkan trauma kesihatan global tetapi turut membadai keseluruhan aspek kehidupan dan peradaban penduduk bumi merangkumi ekonomi, sosial, politik, kesihatan, keselamatan dan pendidikan.
Dalam masa tidak sampai 20 bulan sejak wabak ini bermula di Wuhan pada Disember 2019, lebih 175 juta penduduk dunia dijangkiti, melibatkan lebih 3.7 juta kematian.
Sehingga artikel ini ditulis, seolah tiada tanda yang menunjukkan krisis kesihatan akibat Covid-19 akan reda dalam masa yang terdekat, sungguhpun pengedaran vaksin sedang giat dijalankan.
Terdapat sesetengah negara yang begitu berjaya mengekang penularan virus ini seperti China, New Zealand,Taiwan, Vietnam, Singapura dan Brunei hingga rakyat mereka menjalani kehidupan hampir sepenuhnya normal.
Bagaimanapun masih banyak negara lain yang masih dalam status parah dan sedang bergelut dengan pertarungan menentang wabak ini.
Negara kita Malaysia sendiri masih terkial-kial dalam mencari penawar kepada kemelut ini.
Dalam usaha membanteras wabak ini, Malaysia mengambil pelbagai pendekatan seperti pengisytiharan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Semua pendekatan ini mengehadkan pergerakan dan pergaulan bersemuka dalam kalangan rakyat.
Banyak sektor ekonomi dan sosial terpaksa ditutup ataupun dilaksanakan secara maya.
Dalam masa setahun, negara mula merasai kesan pandemik ini dengan ekonomi menguncup, ketidakstabilan politik, peningkatan jumlah pengangguran, penurunan pendapatan rakyat, gangguan sistem pendidikan di semua peringkat serta gangguan emosi dan mental akibat tekanan kehidupan yang semakin mencengkam.
Banyak kajian di peringkat antarabangsa membangkitkan satu isu yang agak membimbangkan iaitu kewujudan generasi yang hilang atau “the lost generation” yang akan mewarisi masa depan kita.
Cecah 1.6 bilion pelajar pada April
Generasi ini terbentuk hasil daripada pelbagai sekatan yang terpaksa dilalui manusia pada ketika ini demi menghentikan penularan wabak Covid-19.
Menurut Laporan Bank Dunia, penutupan sekolah akibat Covid-19 menyebabkan kebanyakan pelajar di dunia tidak dapat bersekolah.
Ia mencecah 1.6 bilion pelajar pada April 2020 dan pastinya jumlah ini akan terus meningkat sekiranya pandemik ini masih belum dapat dikawal.
Apabila ini berlaku, bermulalah episod kecelaruan malah kemusnahan dalam dunia pendidikan khususnya di peringkat sekolah di serata dunia.
Kesan yang lebih buruk dirasai oleh pelajar-pelajar sekolah di negara miskin dan kalangan negara dunia ketiga.
Kajian Bank Dunia turut mendapati penutupan sekolah disebabkan Covid-19 berisiko menyebabkan 72 juta murid sekolah berdepan ancaman 'kemiskinan pembelajaran' yang bermakna mereka tidak boleh membaca dan memahami teks mudah pada usia 10 tahun.
Unicef pula dalam laporannya yang bertajuk “Averting a lost Covid generation” telah melaporkan, walaupun jangkitan Covid-19 terhadap kanak-kanak dan remaja bawah 20 tahun adalah kecil iaitu satu dari sembilan, namun kesan jangka panjang terhadap pendidikan, pemakanan dan kesejahteraan seluruh generasi kanak-kanak dan orang muda dijangka akan menjejaskan kehidupan masa depan mereka.
Kesiapsagaan pemerintah yang agak lemah dalam menangani masalah keciciran pendidikan ini ditambah dengan kekurangan infrastruktur pembelajaran atas talian seperti peranti ICT, kemudahan internet, kandungan pembelajaran atas talian dan juga persediaan guru turut memburukkan keadaan.
Dalam masa 12 bulan ini, jutaan pelajar tertinggal dalam banyak aspek pendidikan seperti subjek pelajaran, kemahiran komunikasi, insaniah, interpersonal, kepimpinan, kokurikulum, sukan dan pelbagai lagi akibat tidak dapat hadir ke sekolah.
Bayangkan, apabila mereka yang sepatutnya berada di sekolah selama lebih 40 minggu dalam setahun takwim persekolahan namun hanya mampu hadir ke sekolah selama 10 hingga 20 minggu sahaja!
Di sesetengah tempat ada yang terus tidak dapat ke sekolah. Bagaimana dengan mata pelajaran yang sepatutnya diajar di makmal tapi hanya mampu dikuti di paparan laptop mahupun telefon pintar sahaja?
Ada pelajar universiti yang telah berada di rumah lebih setahun mengikuti pembelajaran secara maya.
Bagaimana pelajar belajar?
Bagi pelajar dari keluarga miskin ataupun yang tinggal jauh di ceruk pedalaman, situasi mereka berganda lebih menyulitkan.
Bagaimana para pelajar ini belajar? Berapa peratus dari pengisian persekolahan yang mereka peroleh dangan pembelajaran dari rumah ini?
Fenomena ini sudah pasti menjejaskan input ilmu, kemahiran dan pengalaman seseorang pelajar.
Ini belum lagi mengambil kira keciciran pembelajaran bagi golongan pelajar OKU atau pendidikan khas.
Bagaimana jika pandemik ini berlarutan lagi satahun atau beberapa tahun lagi? Jelas, anak-anak kita merasa tertekan kerana tidak dapat bersekolah.
Apabila wabak ini berakhir kelak, mereka akan ketinggalan malah kehilangan ilmu pengetahuan, bakat dan kemahiran. Inilah kebimbangan dunia pada ketika ini, “generasi yang hilang”!
Kegawatan ini secara relatifnya akan menjejaskan kualiti seseorang lepasan persekolahan mahupun graduan universiti. Bagaimana pula peluang generasi yang hilang ini untuk memasuki dunia pekerjaan?
Dengan kemerosotan ekonomi yang melanda, sudah pasti peluang kerjaya turut berkurangan.
Para majikan pula akan lebih selektif dalam memilih pekerja dan sudah pasti kelompok generasi yang hilang ini akan menjadi calon bukan pilihan.
Selain dari aspek pendidikan, generasi yang hilang dari kalangan kanak-kanak turut terdedah kepada satu lagi krisis iaitu pemakanan berkualiti dan kesihatan mental.
Menurut Unicef, kesan dari penularan wabak ini, banyak keluarga yang terjejas teruk dari sudut punca pendapatan.
Kemiskinan akan menyebabkan akses kepada makanan berzat dan berkualiti akan terhalang sedangkan golongan kanak-kanak ini sangat memerlukan pemakanan berkualiti untuk pembesaran yang sempurna.
Kesihatan mental mereka juga terjejas akibat pelbagai masalah dan konflik kekeluargaan yang berpanjangan.
Ketakutan, kegusaran
Kebimbangan terhadap kesihatan mental dalam kalangan generasi muda ini turut dibangkitkan oleh Dr Nazrul dan Dr Nurul (2021) dalam tulisan mereka bertajuk “The fear of Covid-19 among Malaysian youths”.
Mereka merumuskan bahawa pandemik Covid-19 mencetuskan ketakutan dan kegusaran kepada golongan muda khususnya apabila melihat peningkatan angka pesakit dan jumlah kematian setiap hari.
Para pelajar berasa tertekan dan anxiety disebabkan kesempitan kewangan keluarga, sistem pembelajaran maya yang membebankan, ketidakpastian pencapaian akademik dan peluang kerjaya masa depan.
Di Malaysia, masih belum ada kajian dan cadangan penyelesaian yang bersepadu bagi mengatasi isu generasi yang hilang ini.
Namun kebimbangan mengenai generasi yang hilang ini telah mula rancak diperbincangkan di pelbagai wacana kajian, forum, webinar mahupun penulisan.
Sudah tiba masanya, kerajaan melalui kementerian-kementerian yang berkaitan, berganding bahu bersama pihak-pihak yang berkepentingan merangka satu pelan strategik jangka panjang khusus bagi menangani isu generasi yang hilang ini.
Fokus pemerintah harus melangkaui usaha menghentikan rantaian penularan Covid19.
Isu generasi yang hilang ini bukan lagi isu picisan yang boleh dipandang remeh atau ditangguhkan tindakan menanganinya.
Isu ini akan menjadi krisis global, oleh itu kerajaan perlu bersedia untuk memberi sokongan dan pelaburan kewangan yang sucukupnya demi memastikan negara tidak kehilangan upaya daya maju dan modal insan berkualiti di masa depan sekiranya isu ini tidak ditangani dengan bijak.
SHAFRY SALIM ialah timbalan pendaftar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan