"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Covid-19 boleh berjangkit melalui kentut, percaya atau tidak?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Covid-19 boleh berjangkit melalui kentut – sesuatu yang bunyinya lucu, namun percaya atau tidak, logiknya berdasarkan virus berkenaan memang ditemui dalam najis manusia.

Pakar Perunding Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr Alzamani Mohammad Idrose, berkata susulan itu gas yang keluar daripada kentut juga berisiko mengandungi virus maut berkenaan.

Katanya, virus sama juga merebak melalui gas pernafasan yang keluar dari paru-paru pesakit yang positif Covid-19.

“Namun, sebenarnya risiko jangkitan merebak daripada kentut adalah amat rendah kerana terdapat lapisan perlindungan berupa seluar dalam dan seluar yang dipakai.

“Saya menerima pertanyaan bagi isu yang kedengaran agak lucu tetapi ini membabitkan persoalan yang serius.

“Kesimpulannya, pengamalan prosedur operasi standard (SOP) adalah langkah terbaik untuk mencegah jangkitan kerana sentiasa ada tapisan di dalam pernafasan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau mengulas kenyataan pakar Pusat Kawalan Penyakit di Beijing, China yang memberikan pandangan bahawa risiko teramat rendah melainkan kentut dihidu dari jarak dekat daripada seseorang yang tidak memakai seluar.

Selain itu, pendedahan seorang doktor dari Australia mengenai virus yang tersebar melalui kentut mengejutkan banyak pihak.

Malah, beberapa doktor sebelum ini memberi amaran bahawa kentut mempunyai zarah kotoran kecil yang boleh menyebarkan bakteria dan menjadi punca jangkitan.

Alzamani berkata, kesimpulannya disebabkan itu semua orang perlu memakai pelitup muka dengan sempurna.

“Nasihat saya, patuhilah SOP, pakai pelitup muka dan elakkan berada di kawasan ramai orang.

“Jika kita lihat kepada trend terbaru, Covid-19 turut menjangkiti orang muda, jadi kita kena lebih berjaga-jaga,” katanya.

Tiada ulasan: