"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Maut ditikam ketika halang rakan cederakan isteri sendiri

Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Pemandu lori ditemukan mati dibunuh dengan tujuh kesan tikaman di belakang badan di sebuah rumah pangsa di Taman Desa Jawi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 3.45 pagi, lelaki berusia 35 tahun itu parah ditikam dengan pisau ketika cuba menghalang perbuatan pengutip kelapa sawit berusia 27 tahun yang memarahi serta memukul isterinya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, polis yang menerima laporan berhubung kejadian itu berjaya menahan suspek lelaki di lokasi untuk siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa dan suspek dikatakan minum sehingga mabuk di luar rumah.

"Bagaimanapun, ketika hendak pulang ke rumah masing-masing, suspek didapati membuat bising sehingga isterinya berusia 23 tahun keluar lalu menegurnya.

"Teguran itu tidak dapat diterima suspek yang kemudian memarahi dan memukul isterinya di ruang tamu sebelum dia mengambil dua anaknya lalu dibawa masuk ke dalam bilik.

"Mangsa yang ketika itu berada bersama suspek meminta lelaki itu menghentikan perbuatannya, namun suspek enggan lalu turut memarahi mangsa dan bertindak menikam belakang badan mangsa beberapa kali dengan sebilah pisau," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, kejadian itu turut disaksikan seorang penyewa bilik wanita berusia 50 tahun yang terdengar bunyi jeritan.

Katanya, wanita itu bersama isteri suspek cuba menghalang perbuatan lelaki terbabit yang menikam mangsa, namun turut cedera di lengan akibat terkena pisau.

"Mangsa yang parah meminta pertolongan saksi untuk menghubungi ambulans, namun petugas Hospital Sungai Bakap (HSB) yang tiba kira-kira 7.15 pagi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Isteri suspek dan saksi yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan " katanya.

Katanya, polis merampas sebilah pisau yang digunakan suspek dalam kejadian itu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: