Malaysiakini
Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mempersoalkan apakah pengisytiharan darurat yang dimohon kerajaan Perikatan Nasional untuk memerangi Covid-19, berhasil selepas enam bulan.
Kenyataan itu hadir sehari sebelum darurat, yang bermula pada 11 Januari, akan tamat (1 Ogos).
"Adakah darurat berjaya dalam tujuan yang dimaksudkan?" soalnya.
Dia menyatakan bahawa ketika darurat diisytiharkan, hanya ada 235,992 kes Covid-19 dan 551 kematian.
Sejak itu kes melonjak kepada 1,095,485 kes keseluruhan dan 8,859 kematian pada 29 Julai.
Kes Covid-19 baru setiap hari juga meningkat daripada empat angka ketika darurat diisytiharkan menjadi lima angka sementara kematian setiap hari adalah tiga angka berbanding satu angka pada Januari.
"Peningkatan tujuh kali ganda kes Covid-19 baru setiap hari dan peningkatan 15 kali ganda kematian Covid19 baru setiap hari adalah bukti kukuh bahawa darurat bukanlah penawar kepada Covid-19 dan mengapa tidak ada negara di dunia yang mengisytiharkan darurat untuk memerangi wabak Covid-19 kecuali dalam keadaan yang paling luar biasa," katanya.
Malah, tambah Lim, penghujung darurat kini juga ditandai dengan krisis perlembagaan.
Ini terjadi setelah kerajaaan membatalkan ordinandarurat tanpa perkenan Yang Di-Pertuan Agong, yang menimbulkan rasa tidak senang kerajaan.
"Malaysia dalam situasi yang tidak pernah dilalui sebelum ini, kerana ini krisis perlembagaan yang tidak dapat dibayangkan oleh pengasas negara yang menulis Perlembagaan Malaysia dan memberikan asas-asas pemerintahan yang baik berdasarkan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen serta doktrin pemisahan kuasa di kalangan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman," katanya.
Lim berkata jika Yang Di-Pertuan Agong masih tidak memberikan perkenan menjelang tengah malam, maka Parlimen perlu mengundi untuk membatalkan ordinan darurat.
Yang Di-Pertuan Agong sebelum ini mahu ordinan darurat dibahaskan di Parlimen tetapi kerajaan mahu pihak istana memberi perkenan untuk pembatalan tanpa melalui badan perundangan.
Perkembangan ini hadir ketika sokongan majoriti Muhyiddin Yassin di parlimen tergugat selepas Umno menarik sokongan terhadapnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan