"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kredibiliti PN dipersoal selepas elak soalan mudah Ordinan Darurat, kata penganalisis

Robin Augustin

PETALING JAYA: Kerajaan berdepan isu kredibiliti dan keabsahan yang timbul susulan enggan mendedahkan sama ada Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan membabitkan pembatalan ordinan darurat, menurut penganalisis.

Bercakap kepada FMT, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura dan Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya (UM), berkata kecurigaan sama ada Agong memberi perkenan tidak dapat dielakkan.

Oh berkata, enggan “memberi jawapan terhadap soalan mudah” menyebabkan “lebih banyak soalan berbangkit”.

Awang Azman pula berkata, kini timbul spekulasi bahawa Agong belum memberi perkenan berhubung pembatalan itu.

Isnin lalu, Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan, memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan pada 21 Julai lalu, membatalkan semua Ordinan Darurat mengikut Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan. Beberapa Ahli Parlimen mempersoalkan sama ada Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan. Persoalan berkenaan kekal tidak dijawab.

Kata Oh, persoalan terbabit adalah penting kerana pembatalan hanya boleh dibuat dengan perkenan Agong, lebih-lebih lagi Ordinan Darurat diisytiharkan atas nama baginda.

Katanya, tindakan membatal Ordinan Darurat sebelum persidangan Dewan Rakyat memberi isyarat kerajaan tidak mahu ordinan itu diundi dan berkemungkinan disebabkan persoalan membelenggu Perikatan Nasional (PN) berhubung sokongan majoritinya.

“Sekiranya kerajaan tidak mempunyai majoriti, ia mengesahkan kecurigaan bahawa kerajaan sedia ada adalah kerajaan minoriti dan kredibiliti serta keabsahan untuk memerintah pastinya terjejas teruk,” katanya.

Awang Azman berkata, Ordinan Darurat sepatutnya diperdebatkan dan ditarik balik hanya selepas undi di Parlimen.

“Kegagalan mendapatkan sokongan menarik semula Ordinan Darurat di Dewan Rakyat mendedahkan bahawa kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan mendedahkan sama ada Agong memainkan peranan dalam pembatalan memberi tamparan terhadap kredibiliti kerajaan.

“Ini akan dilihat cubaan mengelirukan Ahli Parlimen dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu, terutama jika Agong belum memberi perkenan ketika pengumuman dibuat.

“Imej kerajaan sudah tercalar. Biarpun kerajaan menunjukkan Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan, tanggapan bahawa pengumuman pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong akan kekal,” katanya.

Tiada ulasan: