'Penunggang motor rempuh polis nak masuk kawasan PKPD'
N Faizal Ghazali
Tindakan penunggang motosikal merempuh sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Gong Jering Selising, Pasir Puteh dan melanggar anggota polis bertugas kelmarin, membawa padah apabila berjaya ditahan pihak berkuasa.
Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, suspek suspek lelaki berusia 18 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda yang dibonceng seorang remaja perempuan 17 tahun.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri, berkata ketika anggotanya sedang bertugas di SJR PKPD tersebut, didatangi sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dari arah Selising dan memasuki laluan ke Kampung Gong Jering, dalam keadaan laju.
"Sebaik sampai di SJR, anggota bertugas mengarahkan penunggang motosikal supaya berhenti untuk pemeriksaan, namun lelaki memecut laju masuk ke dalam kawasan PKPD terbabit.
"Beberapa minit kemudian, penunggang dan pembonceng motosikal itu berpatah balik dan merempuh SJR selain melanggar seorang anggota yang ketika itu berada di lokasi berkenaan.
"Anggota yang bertugas kemudian mengejar motosikal berkenaan sebelum berjaya menahan dua individu berkenaan tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Mohd Azmir berkata susulan insiden itu, anggota bertugas mengalami kecederaan di lengan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
"Hasil siasatan awal, mereka mendakwa dalam perjalanan dari Kok Lanas ke Melor dengan melalui SJR Gong Jering.
"Mereka mendakwa melalui SJR dan tidak menemui jalan untuk menuju ke Melor sebelum berpatah balik ke arah SJR itu untuk keluar dari kawasan itu.
"Mereka juga mengaku tidak mempunyai sebarang surat kebenaran rentas daerah dan kenderaan yang ditunggang mereka milik bapa kepada remaja lelaki tersebut," katanya.
Tambahnya, kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan polis merampas motosikal untuk siasatan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan