Nicholas Chung
PETALING JAYA: Penganalisis berpandangan sikap Umno yang “berdiam diri” di Parlimen ketika Pakatan Harapan (PH) lantang menghentam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) semalam di Dewan Rakyat akan mengundang padah.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya dan ahli akademik, Azmi Hassan, percaya Umno akan hilang kepercayaan penyokong sekiranya terus berdiam diri, khususnya apabila beberapa pemimpin parti itu lantang bersuara di luar Parlimen.
Bagaimanapun bagi Azmi, bersuara sahaja tidak memadai. Umno, katanya, harus bertindak selain lantang bercakap tentang prestasi kerajaan.
“Seperti pepatah orang Melayu ‘cakap tak serupa bikin’. Di luar Parlimen kamu bercakap seolah-olah antikerajaan, tetapi di Parlimen, senyap,” katanya.
Awang Azman memberi amaran bahawa pengaruh Umno dalam kalangan rakyat boleh terkesan sekiranya parti itu terus berdiam diri dalam mesyuarat khas Dewan Rakyat selama lima hari itu.
Beliau percaya keadaan sedemikian boleh menjejaskan proses membaik pulih Umno.
Namun katanya, sikap Umno “berdiam diri” di Dewan Rakyat itu mungkin disengajakan supaya orang ramai tidak keliru bahawa parti itu menentang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, bukannnya kerajaan.
“‘Kluster Presiden Umno’ punya cara tersendiri dalam mengkritik kepemimpinan Perdana Menteri supaya mereka tidak kelihatan secara terbuka menentang PN di Dewan Rakyat,” katanya.
Oh Ei Sun dari Singapore Institute of International Affairs pula berkata, Umno terlepas peluang untuk menonjol di Parlimen yang menyaksikan kelantangan pihak pembangkang.
Beliau memberitahu FMT, Ahli Parlimen Umno nampak keliru dan bingung, terutama selepas parti mereka menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin tetapi masih menyokong kerajaan PN.
“Apa maksudnya? Ia mengelirukan kerana secara perlembagaannya, kerajaan adalah perdana menteri dan perdana menteri adalah kerajaan. Bagaimana anda menentang perdana menteri tetapi menyokong kerajaan?
“Saya fikir, Ahli Parlimen Umno keliru, ditambah pula rakan mereka yang menjadi menteri secara terbuka menyokong kerajaan, manakala kepimpinan parti masih berdolak dalih,” katanya.
Di sebalik kritikan terhadap beberapa pemimpin Umno kerana dilihat gagal menegur kerajaan di Parlimen meskipun begitu lantang di media sosial, Najib Razak meminta semua pihak menunggu gilirannya berucap pada Rabu.
Bekas perdana menteri itu berkata, bukan gaya beliau untuk “melompat-lompat di Parlimen” seperti Ahli Parlimen tertentu.
“Saya bukan seperti Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, atau Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad,” katanya di Facebook semalam.
“Tunggu giliran saya beraksi hari Rabu nanti. Saya jamin ia luar biasa.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan