"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Speaker diasak Ahli Parlimen pembangkang

SITI NUR ZAWANI MISCON

Speaker Dewan Rakyat hari ini menerima tekanan hebat daripada barisan Ahli Parlimen pembangkang berhubung sidang Parlimen yang berlangsung bukan seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

Sebaik sahaja sidang bermula jam 10.00 pagi ini Ahli Parlimen pembangkang bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat dan beberapa terma di dalam Ordinan Darurat sebagaimana yang diperintahkan YDPA.

Antaranya, Ahli Parlimen Langkawi (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya pagi ini bahawa mesyuarat kali ini bukanlah sidang Parlimen seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya hanya majlis penerangan kepada Ahli-ahli Parlimen.

Beliau berkata, kerajaan secara terang-terangan memperdaya rakyat kerana cuba menjadikan sesi penerangan yang diadakan di Dewan Rakyat itu sebagai sidang Parlimen.

Beliau menegaskan bahawa mereka tidak memerlukan sesi mendengar penerangan kerana kesemua pelan kerajaan itu boleh ditulis di dalam kertas putih dan dibaca sendiri oleh Ahli-ahli Parlimen.

“Titah Diraja bahawa Parlimen perlu bersidang tentulah kerana masalah bertambah. Tetapi kerajaan ambil masa amat panjang dan cuba memperdaya dunia dengan mengadakan majlis taklimat di Dewan Parlimen (dan mengatakan ianya) sidang Parlimen.

“Ini adalah satu penipuan. Lebih-lebih lagi apabila tekanan wabak yang jadi alasan untuk isytihar darurat tidak dibentang dalam Dewan untuk dibahas akan cara-cara mengatasinya

“Jika kerajaan ingin mklumkan kepada Dewan ini berkenaan sesuatu perkara, kerajaan boleh keluarkan ‘white paper’. Kita boleh baca. Tak perlu beri penerangan. Kita perlu perbahasan tentang penderitaan rakyat,” katanya dalam sidang Parlimen pagi ini.

Mahathir turut menyifatkan tiada keperluan lagi untuk mendengar pelan kerajaan yang sudah jelas telah gagal.

Sementara itu Ahli Parlimen Semporna (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal yang bangkit berdiri di Dewan tadi turut meminta penjelasan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menjawab sama ada persidangan Dewan ini selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong atau tidak.

Shafie berkata, Datuk Azhar Azizan Haruna perlu menjelaskan adakah sidang Parlimen kali ini tidak bercanggah dengan perlembagaan Malaysia.

“Anda tidak boleh menggantung perlembagaan. Kalau nak ubah persidangan, kena bagi pengundian. Begitu juga darurat, mesti dibahas dan diundi di Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin meminta Speaker bertindak sebagaimana yang dititahkan YDPA.

“Jangan jadikan Parlimen sebagai sarkas, kita mesti ikut titah YDPA, kita angkat sumpah untuk junjung perlembagaan,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar turut jika tidak mengikut titah YDPA bermakna Parlimen seolah-olah mengisytihar peperangan kepada perlembagaan dan YDPA.

Tiada ulasan: