"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KKM: Jangkitan harian Covid-19 dijangka melambung

FMT Reporters

PETALING JAYA: Jumlah jangkitan harian Covid-19 dijangka melambung melebihi paras tertinggi direkodkan sebelum ini, 17,045 kes, namun situasi berkenaan dalam jangkaan kementerian kesihatan, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Chong Chee Kheong.

Beliau berkata, pihaknya sedaya upaya mengesan sebanyak mungkin kes positif bertujuan mengurangkan penularan wabak dalam komuniti.

Chong yang bertindak sebagai jurucakap Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF), berkata jumlah kes dijangka meningkat kerana pihaknya menggalakkan penggunaan ujian kendiri dan RTK-AG, sekali gus bagi tempoh beberapa hari akan datang jumlah kes juga bertambah.

“Jika anda berada di Greater Klang Valley dan mengalami gejala Covid-19, anda perlu menganggap bahawa diri anda berkemungkinan telah dijangkiti dan perlu menjalani ujian saringan.

“Setelah disahkan positif, sila jalani isolasi di rumah, membuat notifikasi dan pemantauan kendiri melalui aplikasi MySejahtera. Pengasingan kendiri di tempat kediaman bagi pesakit yang tidak bergejala dan bergejala ringan yang tidak perlu ke hospital dan boleh sembuh sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, keberkesanan vaksin diterima bermula selepas dua minggu melengkapkan dos kedua.

“Jadi, vaksin ini memerlukan masa bertindak balas dan melindungi individu tersebut. Berdasarkan data dari negara merekodkan kadar vaksinasi tinggi, jangkitan virus masih boleh berlaku disebabkan varian Delta walaupun terdapat pengurangan ketara pesakit yang masuk ke hospital dan pesakit bergejala teruk,” katanya.

Chong berkata, pihaknya tidak mahu menyebabkan kesesakan di hospital dengan kes ringan agar rawatan bagi pesakit lebih teruk dapat diutamakan.

“Bagaimanapun, kakitangan kesihatan akan menghubungi mereka yang ‘red flagged’ sebagai pesakit berisiko tinggi untuk tampil ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) ataupun hospital.

“Sekiranya positif, sila maklumkan individu yang mempunyai kontak dengan anda untuk turut melakukan pengasingan kendiri selama 10 hari. Ujian tidak perlu dilakukan melainkan mereka mempunyai gejala. Apa yang penting adalah kekal duduk di tempat kediaman dan melakukan pemantauan kesihatan kendiri setiap hari,” katanya.

Tiada ulasan: