Hakimie Amrie Hisamudin
Bapa dan kakak Zahari Ayub membuat laporan polsi terhadap pegawai AADK.
PETALING JAYA: Keluarga seorang penganggur berusia 24 tahun bercadang menyaman Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atas kematiannya minggu lalu, dua hari selepas lelaki itu ditahan.
Peguam Mohamad Ashraf Ahmad Sohaimi yang mewakili keluarga itu berkata, ibu bapa dan kakak mangsa membuat laporan polis sebagai persediaan untuk memfailkan saman sivil.
Katanya, keluarga itu turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil.
Menurut laporan itu, Zahari Ayub ditahan pada 18 Julai oleh pegawai AADK itu di rumahnya di Gurun, Kedah.
Keluarganya mendakwa mereka nampak pegawai agensi itu memukul Zahari dengan cota ketika dia digari.
Keesokannya, keluarga itu dimaklumkan Zahari dalam keadaan kritikal di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani, Kedah. Dia meninggal dunia pada 20 Julai lalu.
Susulan kejadian itu, keluarganya membuat laporan bagi menggesa polis menyiasat pelaku dan mengheret ke muka pengadilan.
Ashraf berkata, keluarga mangsa dipanggil ke Balai Polis Sungai Petani hari ini untuk tujuan pengecaman.
“Mereka mengenal pasti dua suspek dalam proses pengecaman itu.”
FMT sudah menghubungi AADK untuk mendapatkan komen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan