"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz: Perdana Menteri lancar peperangan terhadap Agong

FAZLI RADZI

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Seri Mahfuz Omar menyifatkan Perdana Menteri melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut Naib Presiden AMANAH itu, kerajaan Melayu Islam yang di dalamnya terdapat ahli agama dan ulama termasuk bekas mufti jelas tidak menghormati Ketua Agama iaitu Yang di-Pertuan Agong.

“Ternyata kerajaan Melayu Islam yang melakukan perbuatan buruk terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Perdana Menteri melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan cuba memperkecilkan kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Malaysia Dateline malam tadi.

Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa kenyataan Takiyuddin di Parlimen pada 26 Julai lalu adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong juga menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.

Kenyataan Istana Negara turut menyebut hal itu bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) jelas telah melakukan satu pembohongan yang nyata ke bawah Yang di-Pertuan Agong seperti dibuktikan melalui kenyataan Istana Negara.

“Mereka telah melakukan pembodohan terhadap Yang di-Pertuan Agong. Saya sedih melihat kerajaan tang memerintah ini sudah sampai kepada peringkat memperbodohkan dan mempermainkan Seri Paduka Baginda,” katanya.

Beliau juga berpendapat kerajaan diterajui Tan Sri Mahiaddin Md Yasin melakukan perbuatan sangat menjijikkan, terkutuk dan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Ini keadaan paling buruk dalam sejarah politik di negara kita apabila Yang di-Pertuan Agong diperbodohkan oleh Perdana Menteri, Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara,” katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz menegaskan Ahli-Ahli Parlimen AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) akan terus memartabatkan institusi Yang di-Pertuan Agong yang perlu dihormati oleh semua pihak.

“Kami menuntut Mahiaddin untuk datang ke Parlimen pada Isnin ini untuk melepaskan jawatan di dalam Parlimen. Begitu juga dengan Datuk Seri Takiyuddin Hassan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau juga berharap Pas yang dipanggilnya sebagai “rakan-rakan” itu agar tidak bersikap biadab terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Tiada ulasan: