Annabelle Lee
Perikatan Nasional mungkin buat sementara waktu telah kehilangan kuasa eksekutifnya untuk mengurus tadbir negara.
Ini apabila PN memaklumkan telah membatalkan semua ordinan darurat, kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang menyoal cara pembatalan ordinan darurat itu.
Dalam keadaan darurat, Yang di-Pertuan Agong telah memberikan kuasa pentadbiran yang ada pada seri paduka baginda kepada kerajaan melalui Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.
Ordinan itu menetapkan perdana menteri dan jemaah menteri yang diberikan kuasa eksekutif sebelum Proklamasi Darurat pada 11 Jan tahun ini hendaklah terus menjalankan kuasa eksekutif persekutuan dan perundangan.
Ia turut memperuntukkan mana-mana orang yang diberikan fungsi eksekutif oleh undang-undang, hendaklah terus menjalankan fungsi itu.
Menurut Haniff, apabila seksyen 11 ini dimansuhkan maka Malaysia tidak ada kerajaan sehingga 1 Ogos.
“Kuasa untuk urus tadbir negara semasa darurat diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada kerajaan bawah Muhyiddin Yassin menurut Seksyen 11.
"Apabila mereka mengatakan bahawa mereka telah membatalkan atau memansuhkan (semua ordinan darurat) mulai 21 Julai, ini bermakna Seksyen 11 sudah hilang.
"Oleh itu, krisis perlembagaan adalah kita tidak mempunyai institusi yang dapat mengurus tadbir negara dari 21 Julai hingga 1 Ogos," katanya.
Haniff memberitahu Malaysiakini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan kuasa pentadbiran semasa darurat diserahkan kepada Agong.
“Kuasa itu kembali semula kepada Agong. Jadi, jika dalam 10 minit ke depan, Agong melantik anda atau saya untuk mentadbir negara, ini berkuatkuasa sehingga 1 Ogos,” katanya.
Pengumuman Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan pagi ini bahawa ordinan darurat telah dibatalkan mengejutkan Dewan Rakyat.
Takiyuddin juga berkata lantaran itu, "isu pembatalan (peraturan-peraturan ordinan darurat) tidak lagi relevan."
Tanpa perlu mengundi ordinan darurat, PN berpotensi menyelamatkan diri daripada kalah undian kerana ramai ahli parlimennya tidak hadir hari ini.
Dalam usahanya untuk mengelakkan undian ini, Haniff berkata PN mungkin secara tidak sengaja 'menembak dirinya sendiri'.
"Anda sendiri yang memegang kekuasaan, anda sendiri berkata kami telah membatalkannya. Ini bermakna anda mengatakan tidak ada orang yang mengurus tadbir negara ini dari sekarang hingga 1 Ogos.
"Pihak yang melakukan proses itu - yang salah - mereka 'sendiri yang bunuh diri'," katanya menyoal proses pembatalan ordinan darurat.
Adakah Takiyuddin perdaya Dewan Rakyat?
Peraturan darurat hanya dapat dibatalkan dengan salah satu dari dua cara: Agong membatalkannya dan warta diterbitkan, atau kedua dewan di parlimen mengundi untuk membatalkannya.
Walaupun pengumuman Takiyuddin, tidak ada rekod mengenai pewartaan pembatalan di laman web Jabatan Peguam Negara.
Tarikh 21 Julai menunjukkan pembatalan itu dilakukan semasa mesyuarat kabinet Rabu lalu, walaupun perdana biasanya mempunyai sesi mengadap Agong sebelum pertemuan tersebut.
Sementara itu, peguam New Sin Yew menyoal apakah pembatalan itu sah dan jika Takiyuddin telah "memperdaya" Dewan Rakyat dengan pengumumannya itu.
Katanya, ini kerana dia tidak melihat pewartaan mengenai pembatalan ordinan darurat itu.
"Sebarang pembatalan mesti ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong. Hanya Agong yang boleh mengisytiharkannya maka sewajarnya baginda yang membatalkannya. Kabinet tidak boleh bertindak secara sepihak dan melangkaui Agong.
"Sekiranya kerajaan telah membatalkannya, maka ia perlu diterbitkan dalam Warta (Persekutuan) agar dapat dikuatkuasakan. Ia hanya akan berkuatkuasa dan mula beroperasi dari tarikh penerbitan dalam warta.
"Sehingga ini selesai, tidak boleh dikatakan ada pembatalan," katanya kepada Malaysiakini.
"Saya rasa dia 'memperdaya' Dewan Rakyat," tambah New.
Peguam Malik Imtiaz Sarwar juga membangkitan hal sama melalui ciapan di Twitter, menyoal sekiranya "pembatalan" itu sah.
Peguam Syahredzan Johan pula menyoal kenapa kerajaan menunggu enam hari untuk mengumumkan pembatalan tersebut kepada orang ramai.
"Dari 21 Julai sehingga pagi 26 Julai, tiada siapa melainkan menteri kabinet, termasuklah penguasa, yang mempunyai pengetahuan bahawa Ordinan-ordinan Darurat telah dibatalkan.
"Dalam tempoh tersebut juga, berapa ramai yang sudah kena kompaun, kena tahan, harta disita dan penerbitan dipadam berdasarkan suatu undang-undang yang menurut kerajaan sudah 'dibatal'?
"Adakah kerajaan akan bayar pampasan kepada mereka yang telah dikenakan tindakan bawah Ordinan Darurat yang sudah batal," soalnya pada hantaran di Facebook.
"Rakyat berhak untuk tahu sekiranya terdapat perubahan dalam undang-undang, melalui warta atau sekurang-kurangnya pengumuman.
"Ini bukan macam hantar mesej dalam group WhatsApp dan minta orang sebarkan.
"Ini undang-undang yang memberi impak dan kesan ke atas 32 juta rakyat Malaysia," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan