"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sistem kesihatan di tahap kritikal

Raja Noraina Raja Rahim

rnoraina@hmetro.com.my

Keadaan penempatan pesakit Covid-19 yang ditempatkan dibawah khemah di wad kecemasan Hospital Serdang. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Keadaan penempatan pesakit Covid-19 yang ditempatkan dibawah khemah di wad kecemasan Hospital Serdang. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Kuala Lumpur: Walaupun 17 juta dos suntikan vaksin Covid-19 sudah diberi kepada warganegara dan bukan warganegara namun jumlah jangkitan baharu terus bertambah dan semalam mencecah 1 juta kes sejak kes pertama dikesan di negara ini, Februari tahun lalu.

Menurut beberapa pakar kesihatan yang ditemu bual, trend ini boleh berterusan untuk dua hingga tiga bulan lagi kerana virus itu sudah menular dalam komuniti dengan kadar kematian dan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan membimbangkan.

Malaysia mencatat 17,045 kes baharu semalam yang juga jumlah kes harian tertinggi setakat ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan Covid-19 meningkat kepada 1,013,438 kes.

Pakar Virologi Universiti Malaya Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, kes harian akan terus merekodkan peningkatan kerana wabak itu menular dalam komuniti selain ujian saringan giat dilakukan.

"Angka kes harian yang tinggi tidak menjadi kebimbangan pakar kesihatan ketika ini kerana 99 peratus daripada mereka akan pulih.

"Apa yang membimbangkan kadar kematian dan kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi tidak menunjukkan penurunan. Ia menggambarkan sistem kesihatan di tahap kritikal," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 0.8 ketika ini berbanding 0.3 sebelumnya, iaitu purata setiap 1,000 individu dikesan positif Covid-19, lapan daripadanya meninggal dunia.

Justeru, katanya, tindakan lebih drastik perlu dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antaranya menyediakan petugas kesihatan mencukupi, tambahan ventilator dan rawatan optimum bagi memastikan sistem kesihatan tidak lumpuh.

Selain itu, beliau berkata, persediaan membabitkan urusan jenazah perlu dilakukan termasuk memperbesarkan tanah perkuburan bagi menampung jumlah kematian yang meningkat.

"Bagi mengelak penularan wabak lebih besar dan membahayakan, rakyat perlu dipastikan mendapat vaksinasi terutama golongan berisiko berusia 50 tahun ke atas.

"Setiap individu perlu memastikan diri dan keluarga dilindungi dengan vaksin selain mengamalkan norma baharu iaitu memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan kerap melakukan sanitasi," katanya.

Menurutnya, penamatan sekatan pergerakan penuh (SPP) dan pembukaan semula sektor ekonomi boleh dilakukan jika rakyat terus patuh kepada prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Tiada ulasan: