Geraldine Tong
Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menegur ahli-ahli parlimen pembangkang selepas kira-kira sejam mereka menyatakan rasa tidak puas hati pada persidangan khas parlimen hari ini.
"Duduk. Oleh kerana tidak ada seorang pun ahli parlimen nak dengar apa yang saya cakap, saya hanya nak kata satu saja. Saya tak bersetuju dengan semua yang berhormat cakap tadi.
"Kita teruskan dengan aturan mesyuarat sekarang,” tegas Azhar dengan nada berang setelah cuba menyampaikan keputusan terhadap bantahan ahli-ahli parlimen pembangkang, yang terus mengganggu ucapannya.
Belum sempat Azhar menghabiskan percakapannya, salah seorang ahli parlimen pembangkang bangun dan menyatakan mereka juga tidak bersetuju dengan Speaker itu.
"Kami pun tak setuju apa yang Speaker cakap," kata salah seorang wakil pembangkang.
Terdahulu, sejumlah anggota parlimen pembangkang berdiri seorang demi seorang untuk membangkitkan rasa tidak puas hati mereka terhadap ucapan perasmian Azhar di Dewan Rakyat hari ini.
Speaker berkata ahli parlimen akan dibenarkan mengemukakan soalan dan berbahas mengenai taklimat daripada para menteri selepas itu.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo bangkit mempersoalkan sekiranya sesi taklimat dan soalan dibenarkan, mengapa ahli-ahli parlimen tidak dibenarkan mengundi.
"Tadi Speaker ada menyatakan untuk soal jawab dan hujahan dibuat, tetapi kenapa terhenti di situ.
"Kalau Speaker mengguna pakai budi bicara di bawah aturan-aturan ini untuk membenarkan ahli parlimen menyuarakan pendapat dan juga berhujah, kenapa tidak diberikan ruang kepada kita untuk membuat keputusan melalui dewan ini? Di mana kita mengambil undi satu keputusan yang dibuat berkenaan apa yang berlaku?" soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan