KLANG: Bekas juruterbang pesawat komersial dan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat antara individu yang mengibarkan bendera butih kerana memerlukan bantuan berikutan terkesan dengan pandemik Covid-19.
Perkara berkenaan dikesan Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) Kapar, di sini ketika menghulurkan bantuan kepada 300 penduduk dekat sebuah kawasan perumahan di situ apabila mengibarkan bendera putih, malah turut menemui keluarga golongan M40 menjadi antara mereka yang memerlukan bantuan.
Setiausahanya, Mohamad Razif Ibrahim Muniandy berkata, situasi itu membuktikan impak besar sosioekonomi pandemik Covid-19 terhadap rakyat negara ini khususnya di kawasan Kapar.
Katanya, semasa heboh isu bendera putih, pihaknya telah memberi bantuan segera kepada 300 pengibar bendera putih di kawasan tersebut.
“Apabila kami membuat tinjauan pengibar bendera putih, amat mengejutkan apabila mengetahui golongan T20 dan M40 seperti juruterbang pesawat komersial dan bekas CEO berada dalam keadaan yang memerlukan bantuan.
“100 keluarga memang dalam senarai sedia ada, 200 keluarga adalah orang susah baharu. Kita menganggap jika keadaan kewangan tidak begitu mendesak, golongan tersebut tidak akan meminta bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian 100 Kotak Makanan Misi Ummah Bantu Ummah Bantuan SOS Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Kampung Sementa hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agong MAPIM, Zuhanis Zainol. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan