"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tawaran PM kepada pembangkang dilihat sebagai satu ‘perangkap’

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyusun satu perangkap yang “pintar dan licik” kepada pembangkang dengan menawarkan mereka menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19, kata seorang penganalisis politik.

Oh Ei Sun, felo dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata ia adalah “idea yang buruk untuk menyertainya” memandangkan majlis dan jawatankuasa itu adalah institusi sekunder dan bukannya badan tertinggi pembuat keputusan dan badan pembuat dasar kerajaan.

“Ia di bawah Jemaah Menteri dan bukannya sebahagian daripada Jemaah Menteri,” katanya dan cadangan daripada pembangkang mungkin tidak diterima.

Katanya, malah, nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham supaya tidak menamatkan khidmat pengamal perubatan am (GP) daripada program imunisasi kebangsaan juga tidak diikuti.

“Beliau adalah tokoh terkemuka dan panduannya ditolak. Apatah lagi jika cadangan itu datang daripada pembangkang,” katanya.

Ahli pembangkang juga akan mengangkat sumpah simpan rahsia dan tiada siapa yang tahu cadangan mereka tidak diterima.

“Sekiranya kerajaan gagal, pembangkang akan turut terpalit kerana mempunyai kaitan,” katanya.

Ismail menawarkan kerjasama rentas parti itu menerusi ucapan sulungnya sebagai perdana menteri pada 22 Ogos lalu.

Oh berkata tawaran itu tidak sama dengan pembentukan kerajaan perpaduan sebaliknya sebagai cara untuk mengatakan “saya menawarkan mereka untuk menyertainya tetapi mereka tidak mempunyai semangat kenegaraan. Ia adalah umpan yang pintar dan licik.”

Penganalisis sosio-politik Awang Azman Pawi menasihatkan Pakatan Harapan supaya berwaspada kerana ia mungkin boleh mencalar imej mereka sekiranya kerajaan gagal untuk menguruskan pandemik Covid-19.

Beliau berkata mereka perlu melihat peranan dalam majlis dan jawatankuasa berkenaan.

“Sekiranya mereka akan menjadi ahli biasa tanpa kuasa membuat keputusan, mereka mungkin terperangkap jika berlaku masalah,” katanya kepada FMT.

Awang Azman turut menasihatkan PH supaya memastikan mereka memainkan peranan aktif dan diberi peranan sama seperti ahli kerajaan dalam menangani Covid-19.

“Mereka harus tahu tahap keterlibatan dan kesannya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan,” katanya lagi.

Namun, ahli akademik Azmi Hassan mempunyai pandangan yang berbeza dan berpendapat ia adalah satu perkara yang baik apabila Ismail menghulurkan tangan perdamaian kepada pembangkang dalam menangani krisis kesihatan.

“Sekiranya mereka tidak menerimanya, ia mungkin tidak bagus untuk pembangkang kerana mereka mahu menyelesaikan krisis ini.”

Beliau berkata, Ismail dilihat sebagai orang yang suka terlibat secara aktif dan mungkin banyak turun ke lapangan berbanding bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang bergantung kepada penasihatnya.

“Tidak ada siapa yang tahu sama ada kerajaan ini akan gagal atau tidak. Dengan penglibatan Ismail secara aktif, persepsi dari bawah akan menjadi lebih baik,” katanya yang menambah ia mungkin idea yang baik sekiranya tawaran itu disambut pembangkang.

Namun, Azmi berkata mereka yang menyertai majlis atau jawatankuasa itu tidak harus dirujuk sebagai mewakili pembangkang atau kerajaan.

“Keputusan harus dibuat berdasarkan majoriti,” katanya.

Tiada ulasan: