"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ulama Pas beri amaran jangan sesiapa jadi ‘abang long’

FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik mengingatkan parti-parti dalam kerajaan untuk tidak mengulangi kesilapan yang pernah menghancurkan mereka.

Tegasnya, hanya orang yang bodoh tidak mampu mempelajari apa-apa daripada perkara yang telah berlalu.

“Masing pihak perlu belajar dari sejarah. Belajar tawaduk dan bertolak ansur. Kerana kaedah berkawan ‘yang memberi jangan kedekut dan yang menerima jangan tamak’.

“Seperti yang saya selalu sebut dalam gabungan parti-parti kerajaan ini jangan ada siapa pun nak jadi ‘abang long’ kepada yang lain,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Untuk rekod, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas memperoleh 114 sokongan Ahli Parlimen.

Jumlah sokongan itu terdiri daripada Umno sebanyak 37 Ahli Parlimen, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (31), Pas (18), Gabungan Parti Sarawak (18), Bebas (empat), MCA (dua) dan masing-masing satu daripada MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star).

Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkata, berkat persefahaman dan keinsafan parti-parti terbabit, kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya dipertahankan walaupun terpaksa menghadapi saingan yang hebat dari Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa mengintai peluang menggulingkan PN.

“Walaupun PM baru telah berjaya dilantik dan PH gagal mengubah status mereka sebagai pembangkang, namun mempertahankan kerajaan ini walaupun dalam masa beberapa bulan sebelum PRU-15, bukan suatu yang mudah,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar parti-parti kerajaan saling bertolak ansur.

“Duduk elok-elok dan berpakat baik-baik selaku adik beradik. Jika kapal ini (PN) bocor lagi, bukan hanya parti-parti yang kecil sahaja yang akan lemas, bahkan semuanya akan berselerak dihanyutkan arus.

“Jangan jadi macam anjing dan bayang-bayangnya,” kata Mokhtar lagi menjelang pengumuman senarai anggota Kabinet yang dikatakan akan berlangsung minggu ini.

Tiada ulasan: